Wednesday, May 15, 2013

TUHAN KIRIMKAN DIA UNTUK AKU BAB 15



BAB 15



            Syed Aqil Amzar duduk di birai katil. Memerhati ibunya yang masih lena walaupun fajar sudah menyinsing. Perlahan tangannya menyentuh pipi dan membelai wajah itu dengan penuh kasih sayang. Perasaan hiba menyelinap masuk ke dalam sanubari setiap kali dia menatap wajah itu. Wajah yang penuh duka, wajah yang penuh rasa sakit. Dia tahu selama ini ibunya menderita. Menderita di atas sebuah kehilangan. Dan dia…dia adalah penyebabnya. Dia yang telah meragut kebahagiaan ibunya selama ini.
            “Maafkan abang. Maafkan abang mummy. Abang dah tak tahu apa yang harus abang lakukan selain meminta kemaafan daripada mummy. Abang tahu, abang dah rampas kebahagiaan mummy. Abang yang menyebabkan kematian arwah daddy dan tak mungkin mummy akan maafkan abang untuk semua tu. Abang yang salah. Mummy tak perlu tanggung semua ni. Biar abang saja yang tanggung semuanya di atas dosa-dosa yang abang telah lakukan selama ni. Mummy kena sembuh, mummy kena sihat seperti dulu. Abang perlukan mummy. Abang rindukan mummy,” air mata yang mengalir tanpa sedar diseka perlahan. Nafas ditarik dalam. Dihembus sebelum merapatkan bibir ke dahi ibunya.
            “Doakan abang ya mummy. Bermula hari ini dan mungkin hari-hari yang berikutnya abang kena berdepan dengan dia. Walaupun abang masih belum berani untuk berterus-terang tapi abang berharap sangat suatu hari nanti abang akan mampu menebus dosa-dosa abang pada dia. Mummy doakan kejayaan abang ye. Nanti kalau semua dah selesai, abang bawa dia jumpa dengan mummy. Dia baik sangat, lemah-lembut, penyayang, sama macam mummy,” sebelum bangun dari birai katil Syed Aqil Amzar sempat membelai lembut rambut ibunya dan buat sekian kalinya, pipi ibunya itu dihadiahkan dengann sebuah ciuman.
            “Ehem!”
            Syed Aqil Amzar menoleh. Ternyata neneknya sedang berdiri di muka pintu bilik sambil tersenyum kepadanya. Kakinya melangkah perlahan mendapatkan wanita tua yang sentiasa kelihatan elagan dan kuat walaupun menggunakan bantuan tongkat untuk melangkah.
            “Nenek ni tak habis-habis nak mengintip abang. Sudah-sudahlah nek. Kat luar nenek nak intip abang, kat rumahpun nenek nak intip abang juga ke?” perli Syed Aqil Amzar walaupun hakikatnya lebih kepada gurauan semata-mata.
            “Dah cucu nenek ni berahsia sangat. Bukan nak bercerita apa-apa pada nenek,” jawapan Dato’ Syarifah Zaharah sedikit sinis. Senyuman masih mampu terukir walaupun dia benar-benar maksudkan dengan apa yang diberitahu sebentar tadi.
            “Berahsia apa pula ni?” Syed Aqil Amzar sudah melangkah keluar dari bilik ibunya. Tidak mahu perbualan mereka nanti akan mengejutkan mummynya yang masih lena dibuai mimpi.
            “Semalam abang ke mana? Nenek telefon tak jawab. Bila nenek telefon hotel, abang tak ada. Nenek pergi ke SAA pun abang tak ada kat sana. Abang sebenarnya sedang buat apa tanpa pengetahuan nenek ni?” Dato’ Syarifah Zaharah sudah menghentikan langkahnya. Merenung cucu kesayangan yang sedang menatap tepat ke wajahnya. Tongkat di tangan beberapa kali diketuk ke lantai seakan-akan memberi isyarat bahawa dia memerlukan jawapan yang jujur daripada cucunya itu.
            “Abang tak boleh nak beritahu nenek lagi buat masa sekarang ni. Tapi percayalah nek, abang bukan cucu nenek yang dulu lagi. Abang dah berubah. Abang takkan lakukan sesuatu yang boleh merugikan diri sendiri dan menyusahkan nenek dan mummy. Nenek percayakan abang kan? Abang janji, kalau semua dah selesai, abang akan beritahu nenek semuanya,” entah mengapa, Syed Aqil Amzar begitu susah untuk bercerita akan perihal sebenar kepada neneknya. Dia risau sekiranya mendapat tentangan. Dia bukan tidak kenal dengan neneknya itu. Bukan mudah untuk bersetuju akan sesuatu. Apatah lagi dengan ‘rancangan’ yang sedang dia rancangkan. Dia sendiripun masih lagi tidak pasti dengan tindakan sendiri, apatah lagi neneknya. Silap-silap rancangan itu mesti dihentikan sebelum sempat ia bermula.
            “Apa yang cucu nenek sedang rancangkan ni?” gusar hati Dato’ Syarifah Zaharah memikirkan perihal cucunya yang seorang ini. Walaupun dia tahu cucunya sudah banyak berubah tetapi perasaan risau dan takut tetap hadir.
            “Abang sanggup lakukan apa saja untuk tebus dosa-dosa abang. Nenek percayakan abang ok,” kaki Syed Aqil Amzar sudah melangkah menghampiri neneknya. Tangan wanita yang sudah ditelan usia itu disentuh lembut. Digenggam erat dan dicium. Dato’ Syarifah Zaharah sekadar mengangguk perlahan. Seakan-akan mengerti apa yang cuba disampaikan oleh cucunya. Perasaan kesian mula timbul. Ya Allah, kau kurangkanlah penderitaan cucuku. Dia berdoa sayu di dalam hati.
            “Dah lewat dah ni. Abang nak bersiap. Pagi ni ada meeting kat SAA,” sempat bibir Syed Aqil Amzar singgah di pipi neneknya sebelum melangkah menuju ke arah tangga.
********************
            “Siapa call? Kenapa tak jawab?” soal Ismie melihat Nur Aisya mencampakkan telefon bimbitnya ke katil.
            “Tak penting,” jawapan ringkas daripada Nur Aisya sudah mampu membuatkan Ismie mendiamkan diri. Jawapan yang cukup padat. Faham sangat dengan perangai gadis yang sudah dianggap seperti kakak sendiri. Kalau jawapan Nur Aisya kedengaran dingin dan endah tidak endah, maksudnya perkara itu tidak mahu dikongsikan dengannya.
            “Eh…Mie nak tanya akak sesuatu boleh?” Ismie sudah bangun dari katilnya. Melangkah menuju ke tingkap bilik. Menjenguk ke luar walaupun dia tahu, dia tidak boleh melihat ke arah jalan sekiranya dia berdiri di situ.
            “Nak tanya apa?” Nur Aisya meletakkan sikat sebaik sahaja rambutnya yang diparas belakang selesai diikat.
            “Betul akak tak diekori sepanjang akak balik dari kerja malam-malam?” Ismie menoleh sejenak sebelum pandangannya sekali lagi dilepaskan ke luar bilik. Kali ini Nur Aisya turut melakukan perkara yang sama. Apa yang dilihat oleh budak ni? Tak ada apapun kat luar selain daripada dapat melihat pokok besar dan tinggi yang betul-betul ada di hadapan bilik mereka. Ada hantu ke kat pokok tu? Hatinya mula berbisik. Memikirkan perkara yang bukan-bukan walaupun dia bukannya takut sangat dengan benda-benda itu semua.
            “Mie cakap apa ni?”
            “Mie perasankan kak. Hampir setiap malam, ada sebuah kereta parking betul-betul bertentangan dengan rumah sewa kita ni. Kalau tengok kat sini memang la tak nampak. Tapi kalau akak duduk di beranda, akak akan nampak kereta tu. Macam tengah perhatikan kita,” Ismie berterus-terang. Hampir setiap malam dia terganggu dengan kehadiran kereta itu. Walaupun ada kalanya bertukar kereta, tetapi dia tetap yakin dan pasti, kereta itu memang sedang memerhatikan rumah mereka.
            “Eh, Mie ni. Kita tinggal kat rumah flat dik oi. Memang itupun tempat parking kereta pemilik di kawasan blok ni kan? Mungkin kereta salah seorang penghuni kat blok ni. Pandai-pandai je dia buat andaian yang bukan-bukan,” akhirnya tercetus tawa kecil dari bibir Nur Aisya. Menggeleng-gelengkan kepala perlahan melihat tingkah Ismie yang mungkin terlebih imaginasi.
            “Eh, Mie tak tipu la kak. Betul. Mie selalu intai setiap malam. Kalau betul la pemilik kereta tu duduk satu blok dengan kita, kenapa dia tak keluar daripada kereta. Duduk dalam kereta dalam keadaan gelap macam tu. Menyeramkan je. Betul kak. Mie rasa dia memang tengah perhatikan kita. Akak ada bermusuh dengan sesiapa ke?” tiba-tiba terkeluar soalan itu dari bibir Ismie. Nur Aisya masih mengekek ketawa.
            “ Akak pulak? Tak ada apalah Mie. Perasaan Mie je tu. Alhamdulillah selama akak balik kerja sorang-sorang, tak pernah pula akak diekori. Rasa macam diekori tu adalah, tapi itu mungkin perasaan akak je kot. Berjalan seorang diri kat tempat sunyi, mungkin perasaan tu timbul sendiri. Mie jangan risaulah. Mungkin andaian Mie yang ada orang sedang memerhati betul, tapi bukan perhatikan kita. Mungkin perhatikan orang lain. Manalah tahu, kat blok kita ni ada anak raja ke, anak jutawan ke tinggal kat sini. Sebab tulah ada pengawal peribadi yang selalu perhatikan dia pada waktu malam. Takut kena culik,” Nur Aisya menyambung gelak tawanya. Sengaja membuat andaian yang bukan-bukan semata-mata mahu menyakat Ismie. Ismie sudah menghadiahkan jelingan tajam. Bibirnya sudah ke depan. Geram!
            “Ish! Akak ni. Geram betullah Mie. Orang cakap benda yang betul dia main-main pula. Akak ingat kita ni tengah berlakon drama Melayu ke apa? Siap ada anak raja la, anak jutawan la. Bodyguard segala,” akhirnya Ismie melabuhkan punggungnya ke katil. Memeluk tubuh dan merengus kasar. Mengalihkan pandangan dari terus memandang wajah Nur Aisya.
            “Eh…akakpun cakap benda yang betul. Mie ingat anak raja, anak jutawan hanya ada dalam drama saja ke? Kat luarpun ada kan? Tapi mereka takkan sesekali nak menjatuhkan martabat sendiri tinggal kat tempat-tempat macam ni. Mereka kan kaya, berlagak dengan status yang mereka ada. Sampai kadang-kadang sanggup buat apa sahaja asalkan hati mereka puas, walaupun melakukan kekejaman pada orang yang tak bersalah,” entah mengapa, bila bercerita mengenai ‘orang kaya’, Nur Aisya sedikit beremosi. Peristiwa lama seakan-akan kembali menjengah dalam kotak ingatannya. Persepsi itu sukar untuk dibuang walaupun dia tahu tidak semua orang kaya kejam seperti ‘lelaki’ itu.
            “Akak ni, sejak dulu Mie perasan. Selalu bersangka buruk dengan orang kaya. Sama juga akak beprasangka dengan Abang Farid anak Datuk Mazlan tu. Lelaki tu punyalah kaya, baik, nak kenal dan nak rapat dengan akak, tapi akak buat-buat tak endah je. Kesian pula Mie tengok Abang Farid tu,”
            “Eh…ini kenapa tiba-tiba masuk bab Farid pula? Tak ada kena mengena la,” dahi Nur Aisya berkerut. Mula membayangkan salah seorang lelaki yang cuba rapat dan mahu berkawan dengannya. Namun entah mengapa, dia merasakan salam perkenalan itu ada maksud ‘tersembunyi’. Perkara yang paling dia mahu hindari selagi dia belum dapat membuktikan kemampuan diri. Matlamatnya masih jauh untuk digapai.
            “ Ada kena mengelah. Abang Farid tu kan kaya. Tapi dia baiklah kak. Cuma akak tu je. Selalu cakap… baik Abang Farid tu ada makna. Baik ada maknatu!” Ismie mengajuk bicara Nur Aisya yang meniru lenggok ayat yang terdapat dalam Filem P.Ramlee ‘Madu Tiga’.
            “Memang ada maknapun. Dan akak tahu Mie dah besar. Mie sendiripun tahu apa makna salam persahabatan yang dia hulurkan pada akak tu kan? Dah la, malas akak nak layan Mie. Tadi sibuk pasal orang mengintip kita, sekarang sibuk pula dengan Si Farid yang tak faham bahasa tu. Akak nak siapkan makan malam. Kejap lagi akak kena kerja. Hari ni kena masuk awal sikit. Kena gantikan orang,” Nur Aisya melangkah menuju ke pintu. Keluar dari bilik dan menuju ke dapur. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul tiga petang. Hari ini dia akan memulakan kerja pukul lima petang. Awal dua jam daripada kebiasaannya.
            “Akak telefon!” jeritan Ismie dari dalam bilik menghentikan langkahnya seketika.
            “Biarkanje. Jangan memandai nak menjawab,” pantas Nur Aisya menjawab. Sudah tahu siapa gerangan pemanggil. Sejak kebelakangan ini, dia kembali diganggu oleh lelaki itu. Lelaki yang sedikit menjengkelkan. Dia ingat lelaki itu sudah melupakan dirinya. Sudah membuang dia jauh-jauh memandangkan perkenalan mereka dahulu begitu singkat. Tetapi ternyata, lelaki itu masih menyimpan nombor telefonnya. Masih seperti dahulu. Suka menghantar pesanan dengan kata-kata indah. Indah ke? Entah. Tak ada perasaan!
**************************
            "Kak Cha! Tunggu," suara seorang budak lelaki mematikan langkah Nur Aisya yang sedang memanjat tangga untuk naik ke rumahnya.
"Wafi! Ada apa dik?" Wajah polos budak lelaki yang masih di sekolah rendah dan tinggal di tingkat bawah itu dipandang. Dah malam begini masih belum tidur? Oh. Patutlah. Esok cuti. Senyuman terukir. Namun mati setelah melihat bungkusan plastik yang dihulurkan oleh Wafi kepadanya.
"Apa ni?"
"Abang Amzar bagi. Tadi Wafi dengan papa ke kedai dia. Dia kirim ni pada Kak Cha," jawapan yang diberikan oleh Wafi semakin menambahkan kerutan di dahi Nur Aisya. Abang Amzar? Siapa? Namun melihat Wafi yang terus menerus menyuakan bungkusan itu kepadanya membuatkan dia menyambut pemberian itu.
"Abang Amzar tu siapa? Apa dalam bungkusan ni?" bungkusan di tangan diangkat, ditilik dan buat seketika hidung Nur Aisya dapat menangkap bau yang cukup dia cam selama ini.
"Burger. Abang Amzar yang jual burger tu la. Yang gantikan Abang Mamat," kali ini Wafi tersengeh. Lalu berlari menuruni anak tangga dan meninggalkan Nur Aisya yang masih belum berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Wafi. Masih banyak soalan yang dia nak tanya sebenarnya. Tetapi apalah sangat yang mampu dijawab oleh Wafi, kanak-kanak yang baru berumur tujuh tahun itu.
"Oh lupa! Abang Amzar pesan jangan lupa makan burger tu. Dia kata burger tu dia buat sendiri," terkejut Nur Aisya apabila Wafi tiba-tiba muncul semula sebelum kembali berlari dan menghilangkan diri. Namun pesanan terakhir itu semakin membuatkan Nur Aisya bertambah pelik. Burger dia buat sendiri? Siapa? Amzar? Siapa Amzar?
"Eh! Macam pelik je," akhirnya Nur Aisya turun semula. Ada sesuatu yang tidak memuaskan hatinya. Bukan dia tidak mahu menerima pemberian itu. Tetapi pada zaman sekarang, apa-apa sahaja boleh terjadi. Orang yang dekat dengan kitapun belum tentu boleh percaya, inikan pula orang yang sememangnya langsung tidak kenal. Malah nama 'Amzar' itu sendiri begitu asing dalam hidupnya selama ini.
"Assalamualaikum," salam diberikan sebaik sahaja dia berdiri di hadapan seorang lelaki yang sedang sibuk menyediakan burger untuk pelanggannya.
"Waalaikumussalam," wajah diangkat.
"Awak?" mulut Nur Aisya sudah ternganga tanpa dia sedar. Lelaki di hadapannya pula tersenyum memandangnya. Dan senyuman itu...ya! Tidak mungkin Nur Aisya dapat melupakan senyuman 'semanis' itu.
“Awak buat apa kat sini?” tanpa menunggu lama Nur Aisya menyoal. Tidak pernah terlintas di fikirannya mahu ketemu lagi dengan lelaki ini. Lelaki yang pernah membantu dia dahulu. Lelaki yang menyelamatkan dia dari ditampar oleh lelaki dayus.
“Melawat kawasan,” bersahaja Syed Aqil Amzar itu menjawab. Sebenarnya mahu menyembunyikan debaran yang menyesakkan dadanya. Sudah dapat diduga, Nur Aisya pasti datang berjumpa dengannya walaupun hanya disebabkan sebiji burger. Selama dia perhatikan Nur Aisya dari jauh, dia seakan-akan mula memahami perangai gadis ini.
            “Huh?”
            “Tak adalah. Wafi tentu dah beritahu saya siapa kan? Saya yang gantikan Mamat berniaga kat sini,” Syed Aqil Amzar memberikan isyarat kepada salah seorang pembantunya agar menggantikan dia melakukan kerjanya. Nur Aisya pula dihantui rasa bersalah apabila menyedari kehadirannya di situ seakan-akan menganggu lelaki itu.
            “Oh. Maaf. Saya tak tahu awak yang ganti Mamat. Tapi ini?” Nur Aisya mengangkat bungkusan plastik yang ada di tangannya. Memandang tepat ke wajah lelaki itu.  Masih belum percaya dengan apa yang dilihat. Nampak dari sudut penampilan dan gaya lelaki itu sebelum ini,  lagaknya seperti seorang yang bekerjaya walaupun pakaian yang dikenakan ketika bertemu dahulu kelihatan biasa-biasa. Namun apa yang dilihat hari ini agak sedikit berlainan. Sedikit selekeh berbanding sebelumnya. Tetapi sedikitpun tidak menjejaskan ketampanan dan kemanisan senyuman itu. Errkkk…apa yang dia melalut ni!
            “Pemberian ikhlas daripada saya kepada Nur Aisya,”
            Bibir itu menguntum senyum lagi. Senyuman yang mampu membuatkan Nur Aisya rasa lain macam. Manisnya. Subhanallah. Buat seketika, dia melarikan wajah. Tersedar dengan khilaf sendiri. Tidak pasal-pasal membuat dosa dengan memandang lelaki bukan muhrim itu dengan pandangan yang sungguh mengujakan.
            “Huh? Mana boleh macam tu. Awak kan berniaga. Berapa ni? Saya bayar,” Nur Aisya cuba menyelongkar beg slig yang tersangkut di bahunya. Namun cepat-cepat lelaki itu menghalang. Mengangkat kedua-dua tangan, memberikan isyarat.
            “Tak apa. Betul saya ikhlas bagi burger tu pada Nur Aisya,”
            “Mana boleh. Tak boleh. Saya bayar ye. Mungkin lain kali awak boleh belanja saya. Lagipun awak baru mula berniaga kan?”
            “Nur Aisya!” suara Syed Aqil Amzar sedikit tinggi. Tegas juga!  Menyebut nama Nur Aisya sehingga gadis itu mengangkat wajah dan sekali lagi memandang tepat ke wajahnya. Lama.
Nur Aisya pula sedikit terkejut. Entah mengapa panggilan itu membuatkan jantungnya tiba-tiba berentak tidak sekata. Apa dah jadi ni? Suara tegas itu seakan-akan memberikan arahan kepadanya dan dia tanpa sedar terus sahaja mengikut tanpa banyak soal.
            “Dengar dulu apa yang saya nak cakap ni. Burger tu saya buat ikhlas untuk Nur Aisya. Sebenarnya hari ni saya bagi burger secara percuma pada semua pelanggan saya termasuk Nur Aisya,”
            Nur Aisya terdiam. Memandang sekeliling. Patutlah ramai semacam sahaja manusia yang ada di sini malam ini. Rupanya ada benda ‘percuma’. Alhamdulillah. Masih wujud peniaga yang baik seperti lelaki yang ada di depannya itu. Akhirnya dia menguntum senyum. Mula berfikir secara ‘waras’ semula. Tetapi ada sesuatu yang mula terdetik di hatinya.
            “Nur Aisya?” Nur Aisya menyebut namanya sendiri. Lelaki di hadapannya mula mengerutkan dahi. Mungkin tidak faham dengan apa yang cuba dia sampaikan.
            “Macam mana awak tahu nama saya Nur Aisya?” Nur Aisya menjelaskan lagi maksud tersirat dengan soalannya sebentar tadi. Akhirnya lelaki itu mengangguk perlahan sebelum menyentuh perlahan dahinya. Macam ‘takut’ semacam saja. Nur Aisya membuat andaian sendiri.
            “Kebanyakan orang dekat sini kenal awak bukan?”
            “Ya. Bukan Nur Aisya tapi Cha. Rasanya saya belum pernah kenalkan diri saya dekat mana-mana orang kat sini dengan nama penuh saya tu,” Nur Aisya seakan-akan sedang menduga. Tetapi memang pelikpun. Macam mana orang baru seperti lelaki ini tahu akan nama penuhnya. Pelik kan?
            “Boleh kita duduk kat sana?” Pelawa Syed Aqil Amzar. Mencari tempat yang lebih selesa. Dalam masa yang sama mencari akal untuk memberikan jawapan yang tidak mengundang syak gadis itu.
 Nur Aisya menghalakan pandangan ke tempat yang ditunjukkan oleh lelaki itu. Sebuah meja kosong tanpa pelanggan.
            “Tak apalah. Dah lewat malam dah ni,”
            “Sekejap saja Nur Aisya. Lepas ni saya sendiri yang akan hantar awak naik ke rumah. Kalau nak suruh saya hantar hari-haripun boleh,” kali ini senyuman di bibir lelaki itu kelihatan sedikit berlainan pada pandangan mata Nur Aisya. Tengah menggatal ke? Aish! Dia senyum lagi. Nur Aisya seakan-akan sedang berperang dengan diri sendiri.
            “Maaf. Saya bergurau. Tapi ibu saya sentiasa berpesan pada saya. Sentiasa berbuat baik. Terutama pada kaum hawa. Jangan risau, saya sedikitpun tak ada niat jahat,” kelembutan pada tutur bicara lelaki itu membuatkan Amani melangkah tanpa sedar menuju ke meja yang ditunjukkan sebentar tadi. Kerusi kosong ditarik sebelum dia duduk di hadapan lelaki itu yang masih lagi berdiri. Menunggu dia duduk dahulu sebelum menarik kerusi dan melabuhkan punggung berhadapan dengannya.
            “Saya Amzar. Boleh panggil saya Amzar. Berkenaan dengan nama awak tu. Macam mana saya tahu nama awak? Ismie yang beritahu saya. Katanya awak serumah dengan dia. Tadi diapun datang ke sini. Masa awak lalu di kawasan ni tadi, ada orang beritahu saya awaklah Cha. Kawan serumah Ismie. Sebab tulah saya hantar Wafi bagi burger tu pada awak. Ingatkan awak nak singgah ke gerai saya ni. Manalah tahu, awak pandang ke sinipun tidak,” Syed Aqil Amzar mula membuka cerita. Memang benar Ismie bercerita kepadanya mengenai Nur Aisya petang tadi. Walaupun hakikatnya dia sudah lama mengenali Nur Aisya tanpa pengetahuan gadis itu sendiri. Lega! Maaf saya masih belum mampu untuk bercerita perkara sebenar pada awak. Hati Syed Aqil Amzar berbisik. Rasa bersalah kembali menerjah.
            “Errmmm…patutlah. Jadi hari ni awak bagi percuma pada semua orang yang datang ke gerai awak ni ke?”
            “Ini sajalah yang saya mampu lakukan sebagai permulaan perniagaan saya,” Syed Aqil Amzar menjawab. Sedikit lega apabila melihat Nur Aisya semakin selesa berbicara dengannya. Walaupun dia perhatikan Nur Aisya lebih banyak menundukkan wajahnya sejak tadi. Dan dia pula, makin suka pula menilik wajah mulus itu. Ya Allah. Astaghfirullahalazim.
            “Alhamdulillah. Ok la tu. Insya-Allah lepas ni rezeki awak akan melimpah ruah lagi,”
            “Insya-Allah. Amin. Tapi…sebelum ni saya ni macam berlagak pula kan? Pernah berjanji dengan awak, nak sponsor awak untuk dapatkan lesen tampar lelaki tu. Padahal saya ni penjual burger je. Silap-silap saya bankrupt sebelum mula berniaga,” Syed Aqil Amzar berseloroh. Berseloroh? Sejak bila dia peramah begitu. Banyak bercakap dengan seseorang yang selama ini tidak pernah rapat dengannya. Pelik. Tetapi itulah kelebihan Nur Aisya sejak dia bertemu semula dengan gadis itu. Bibirnya seakan-akan begitu ringan menuturkan kata tanpa paksaan. Otaknya pula ligat memberikan idea untuk terus berbicara. Macam bukan aku je!
            “Bankrupt?”
            “Manalah tahu lelaki tu saman saya ke?”
            “Lelaki tu penakut sebenarnya. Dengan perempuan bolehlah dia nak tunjuk lagak. Mentang-mentanglah orang kaya. Dia ingat kekayaan dia tu boleh bagi dia lesen buat apa saja yang dia nak. Huh! Berlagak dengan harta dunia. Tak ke kemanapun. Allah tu Maha Kaya. Orang yang takbur, sombong dan bongkak pasti akan mendapat balasan nanti. Tidak di duniapun, di akhirat dia tak akan terlepas. Oh sebut pasal hal tu, saya belum berkesempatan nak ucap terima kasih pada awak. Terima kasih sebab awak sudi tolong saya waktu tu. Kalau tak, tentu perit pipi saya kena penampar,” Nur Aisya tersenyum. Namun lelaki di hadapannya itu pula tiba-tiba sahaja mendiamkan diri. Wajahnya pula sedikit suram. Dia tersalah cakap ke?
            “Awak?”
            “Huh? Tak ada apalah. Kalau bukan sayapun yang selamatkan awak, saya percaya akan ada orang lain yang akan buat benda yang sama yang saya buat. Cuma Allah dah hantar saya untuk selamatkan awak waktu tu,” Syed Aqil Amzar cuba menghilangkan resah sendiri. Kata-kata yang diungkapkan oleh Nur Aisya benar-benar terkena batang hidungnya sendiri. Walaupun dia tahu Nur Aisya tidak menujukan kata-kata itu kepadanya. Dan dia…dia mendapat ‘balasan’ yang setimpal. Tuhan bayar ‘cash’ di dunia lagi.
            “Alhamdulillah. Oh ya. Saya benar-benar dah lewat dah ni. Saya balik dulu. Terima kasih untuk burger ni,” Nur Aisya sudah bangun dari kerusi.  
            “Saya hantar,” Syed Aqil Amzar turut melakukan perkara yang sama. Mempelawakan diri untuk menghantar Nur Aisya pulang ke rumah.
            “Eh…tak apalah. Dekat je. Blok belakang ni je,” tolak Nur Aisya lembut. Bukan dia tidak mahu, tetapi dia memang tidak biasa. Sejak bila pula dia berteman bagai nak balik ke rumah?
            “Tak apa ke? Dah malam sangat ni. Saya hantar ye?”
            “Tak! Tak apa. Betul! Insya-Allah saya boleh balik sendiri. Assalamualaikum,” lebih baik Nur Aisya cepat-cepat melangkah meninggalkan lelaki itu sebelum dia benar-benar balik berteman malam ini. Kalau budak Ismie tu tahu, kecoh satu rumah. Kalau satu rumah sahaja tak apalah. Nanti satu flat heboh!
            “Waalaikumussalam. Hati-hati,” senyuman yang terukir di bibir menghantar Nur Aisya pulang. Gadis yang semakin menjauh meninggal dirinya diperhati lama. Alhamdulillah. Ya Allah! Bantulah aku.
            “Pastikan dia selamat masuk ke rumah,” bicara itu dituturkan sebaik sahaja panggilan yang dibuat dijawab. Syed Aqil Amzar melepaskan keluhan berat, walaupun dadanya sedikit lapang.
            “Hai bang! Dah berkenan dengan Cha ke?” satu suara menegurnya membuatkan Syed Aqil Amzar menoleh. Salah seorang pelanggannya sedang tersenyum penuh makna kepadanya.
            “Bertuahlah abang kalau Cha tu sudi berkawan dengan abang. Cha tu bukan mudah nak rapat dengan mana-mana lelaki. Bila kita tegur dia jawab, bila kita bercakap dia layan, tapi bila kita nak dekat, dia ‘lari’ walaupun bukan dengan langkah seribu,” budak lelaki lain pula menambah. Malah kata-kata budak itu penuh dengan maksud tersirat.
            “Kau kenal dengan Cha ke?” soal budak lelaki lain pula. Kali ini Amzar sekadar menjadi pemerhati.
            “Mahu tak kenal. Satu kampus. Lain course je. Aku jarang jumpa dia. Tapi dia ‘hot stuff’ jugalah kat kampus. Cantik kot bro!” kali ini bicara budak lelaki itu mengundang tawa kawan-kawannya yang lain.
            Syed Aqil Amzar tersenyum. Senyuman yang terukir tanpa rela. Entah mengapa dia sedikit ‘tidak gemar’ mendengar cerita itu walaupun dia tidak menafikan. Siapa tidak suka dengan gadis sebaik dan secantik Nur Aisya? Dia sahaja yang buta dahulu!



p/s: sorry lambat update...semoga terhibur...jangan lupa komen =)


Friday, April 26, 2013

TUHAN KIRIMKAN DIA UNTUK AKU BAB 14







BAB 14

"Kenapa awak pandang saya macam tu?" soal Syed Aqil Amzar kepada pengawal peribadinya. Renungan Zaidi yang sedikit pelik membuatkan dirinya tidak selesa. Lantas dia tertunduk dan mula menilik diri sendiri. Rasanya dah sesuai la kot!
"Tuan Syed pasti ke?" soal Zaidi dengan kerutan di dahi. Sememangnya inilah kali pertama dia melihat gaya dan penampilan majikannya yang sebegitu. Terlalu biasa. Dan mungkin juga agak selekeh bagi seorang lelaki yang berkedudukan seperti Syed Aqil Amzar. Cucu Dato' Syarifah Zaharah bergaya seperti orang kebanyakan? Ermmm...agak pelik sebenarnya.
"Apa yang pastinya?" soalan berbalas soalan. Sekali lagi dia menilik pakaian yang melekat di badannya. Pada pengamatan matanya, inilah penampilan yang paling sesuai untuk dia menjayakan 'rancangan' yang agak 'gila' itu. Dia tidak mahu penampilan yang biasa dia tonjolkan selama ini akan menimbulkan syak dan membuatkan segala yang dirancang akan menemui kegagalan. Pakaian itu sendiripun dia beli di pasar malam. Murah dan kualitinyapun boleh tahan!
"Tak adalah...pelik saya tengok Tuan Syed yang selama ni sentiasa kelihatan kemas dan bergaya tiba-tiba selekeh begini. Ini kalau Dato' tahu, macam manalah agaknya reaksi Dato' nanti," butir bicara yang keluar dari bibir Zaidi membuatkan Amzar tersenyum sumbing.
"Nenek kalau dia tahu hal sebenar...silap-silap dia sendiri turun padang nak jayakan rancangan saya ni. Sebab itulah saya nak awak rahsiakan benda ni dari dia. Soal dia awak jangan bimbang. Masalah saya sekarang ni...awak tahu masak burger?"
"Huh? Burger? Buat apa nak masak burger? Tuan Syed nak makan burger ke? Kenapa tak suruh chef je yang masak?" soalan yang bertub-tubi daripada mulut Zaidi membuatkan Syed Aqil Amzar melepaskan tawa kecil. Silap dia juga sebenarnya. Dia masih belum memberitahu Zaidi secara terperinci mengenai rancangannya itu. Kalau dia di tempat Zaidi sudah tentu dia pelik. Lelaki yang tidak pernah masuk ke dapur seperti dia tiba-tiba nak memasak. Silap-silap dia dituduh buang tebiat nak mati oleh Zaidi. Tetapi rancangan yang berlegar dalam kepala otaknya waktu inipun memang perkara yang 'buang tebiat' sebenarnya. Adui! Betul ke tak rancangan kau ni Amzar oi! Dia berbicara di dalam hati. Resah memikirkan perkara yang selama ini tidak pernah terlintas dalam benaknya.
"Awak tahu tak masak burger tu? Burger yang tepi jalan tu...yang harga dia...saya pun tak tahu berapa harga dia sebenarnya,"
                                   
Syed Aqil Amzar tersengeh. Menunggu jawapan daripada Zaidi. Dan Zaidi....dia menggarukan kepala yang tidak gatal!
            “Betul awak tak tahu berapa harga dia? Takkan awak tak pernah makan? Awak memang tak tahu nak buat burger tu ya?” Syed Aqil Amzar tidak berpuas hati apabila Zaidi seakan-akan tidak mampu menjawab soalannya yang dianggap begitu mudah. Takkanlah Zaidi sama sepertinya, tidak pernah menyentuh burger di tepi jalan? Waktu itu, timbul juga sedikit rasa menyesal kerana hidupnya selama ini terlalu angkuh dan bongkak. Memilih dalam segala benda termasuklah soal makanan.
            “Pernah makan tu pernah la. Hargapun tak adalah mahal macam burger dalam restoran tu. Biasanya paling mahalpun yang saya biasa makan, dalam tiga ringgit je. Itu burger yang biasalah. Tapi sekarang ni dah macam-macam jenis burger dah ada jual kat tepi-tepi jalan Tuan Syed. Burger bakar la, burger kukus la….
            “Awak tahu buat tak?”
            “Tak,” Zaidi tersengeh.  Itulah hakikatnya. Sekadar makan dia tahu. Untuk buat, rasanya bukan semudah yang dilihat. Kalau pandaipun mungkin rasa tak akan sama dengan yang dibuat oleh penjual burger itu sendiri. Namun yang menjadi tanda tanya di dalam kepalanya waktu itu, apa rancangan sebenar Tuan Syed? Sekali lagi tangannya mendarat di atas kepala. Menggaru sambil tersengeh.
            “Awak tolong saya buat burger boleh? Awak jadi pembantu saya ke? Saya nak jual burger. Tapi saya memang tak tahu macam mana nak buat burger tu. Minggu depan saya dah nak mula berniaga. Boleh kan?”
            Sah! Tuan Syed Aqil Amzar yang tidak betul ataupun telinga dia yang salah mendengar. Majikannya yang kaya-raya nak menjual burger? Buang tebiat nak mati ke apa? Hatinya mula berbicara perkara yang bukan-bukan. Sakit kepala juga ni kalau memikirkan perkara ini lama-lama.
            “Tuan Syed ni menakutkan saya sajalah. Kenapa nak jual burger pula ni? Bussiness Tuan Syed dah bankrupt ke?”
            “Mulut awak tu. Kalau nenek saya dengar, habislah awak. Kan saya beritahu awak yang saya kena jadi orang biasa kalau saya nak dekat dengan dia. Ini salah satu cara untuk saya dekat dengan dia tanpa dia tahu siapa saya,” terang Syed Aqil Amzar tidak terlalu terperinci. Rasanya tidak perlu untuk dia menceritakan segala-galanya kepada Zaidi. Lagipun lelaki itu hanya pekerjanya sahaja tidak lebih daripada itu.
            Kali ini Zaidi mengangguk-ngangguk perlahan. Namun masih belum berpuas hati mengenai ‘jual burger’ yang dibicarakan oleh majikannya. Kenapa perlu jual burger? Ingat senang ke nak buat burger ni?
            “Kita memang kena jual burger ke Tuan Syed?” Zaidi memberanikan diri untuk bertanya dengan lebih lanjut.
            “Habis tu awak ada rancangan yang lebih baik untuk saya dekat dengan dia? Berkawan dengan dia, tanpa dia tahu siapa saya yang sebenarnya?”
            Akhirnya Zaidi terdiam. Memang dia tiada jawapan untuk soalan yang baru sahaja dikemukakan oleh majikannya. Malah sehingga hari ini dia masih samar-samar akan tujuan sebenar Tuan Syed Aqil Amzar mendekati gadis itu. Orang kaya ni memang suka menyimpan seribu rahsia gamaknya? Dah macam dalam TV pulak! Zaidi akhirnya tersengeh. Membuka pintu kereta di bahagian belakang kepada majikannya. Perkara yang sering dia lakukan walaupun sudah beberapa kali dilarang oleh Syed Aqil Amzar sendiri.
            “Dah berapa kali saya pesan. Tak perlu nak buat semua ni untuk saya. Dan lagi satu…awak tak rasa pelik ke, dengan kereta macam ni, awak tiba-tiba buka pintu belakang untuk saya. Orang tengokpun dia boleh tuduh awak ataupun saya yang tak betul,” Syed Aqil Amzar melangkah menuju ke arah pintu penumpang di sebelah pemandu. Lalu memboloskan diri masuk ke dalam kereta.
            Dahi Zaidi berkerut cuba mencernakan kata-kata dari mulut majikannya sebentar tadi. Akhirnya, mata terus memandang kereta Proton Saga yang baru dibeli oleh majikannya itu lalu dia mengangguk perlahan. Bibir menguntum senyum tipis. Nampaknya, lepas ni dia terpaksa membiasakan diri memandu kereta buatan Malaysia. Aishh! Macam-macamlah cucu Dato’ Syarifah Zaharah ni!
************************
Nur Aisya menarik kerusi plastik di hadapannya lalu duduk. Slig beg yang tersangkut di bahunya dilucutkan lalu diletakkan ke atas meja. Dia melepaskan lelah sambil memerhatikan sekeliling. Jam di tangan sudah menunjukkan hampir pukul sebelas malam.
            “Baru balik dari kerja Cha?” seorang wanita menegur.
            “A’ah kak. Esok ada kelas pagi. Jadi malam ni Cha kerja sampai pukul sepuluh je,” jawab Nur Aisya masih mampu menguntumkan senyum walaupun badannya sungguh terasa penat.
            “Errmmm…rajin sungguh dia berkerja. Orang lain, kalau dah belajar, belajar sajalah. Tak payah lagi nak berkerja macam Cha ni,” wanita yang dikenali sebagai Kak Linda oleh Nur Aisya sudah menarik kerusi lalu duduk di hadapannya.
            “Biasalah kak. Nak cari duit lebih,” itu sahaja jawapan yang mampu dia berikan setiap kali soalan yang sama diajukan walaupun dari orang yang berbeza. Tidak mungkin dia menceritakan perihal sebenar akan keluarganya kepada orang lain. Itu hal peribadinya. Aib keluarga sendiri tidak akan sesekali dia buka kecuali dengan teman-teman rapat yang begitu mengambil berat mengenai dirinya. Namun, setakat ini, hanya Ismie sahaja yang banyak tahu mengenai kisah sebenar mengenai kehidupannya.
            “Nak minum ke? Akak boleh buatkan,”
            “Eh…tak apalah kak. Cha singgah kejap je ni. Ismie kirim burger,” akui Nur Aisya sempat mengintai jam di pergelangan tangan kirinya. Dia menoleh ke sisi, memandang lelaki yang dikenali sebagai Mamat sedang lincah menyediakan burger yang dipesan oleh pelanggan.
            “Oh…ye ke. Nak burger apa? Cha tak nak? Bila lagi nak makan burger yang Mamat buat ni. Lepas ni orang lain dah ambil alih kedai dia,” ujar Kak Linda lantas bangun menghampiri Mamat. Dahi Nur Aisya berkerut mendengar berita itu. Hakikatnya dia ada juga mendengar ura-ura mengenai hal itu. Sangkaannya itu hanya sekadar khabar angin.
            “Macam biasalah kak. Burger Special,”
            “Jadi betullah Mamat jual gerai dia ni pada orang lain?” tanya Nur Aisya setelah Kak Linda kembali duduk di hadapannya.
            “Kata Mamat dia tak jual. Dia sewakan. Katanya orang tu bayar mahal jugalah,”
            “Habis tu Mamat pula nak kerja kat mana?” tiba-tiba sahaja perasaan ingin tahu meluap-luap dalam dadanya. Mahal sangat ke orang tu bayar sehingga Mamat sanggup lepaskan mata pencariannya ini? Memanglah Mamat dijanjikan dengan bayaran sewa gerai, namun berapa sangatlah duit sewa kalau nak dibandingkan dengan keuntungan yang dia dapat setiap hari.
            “Entah. Akak pun tak pasti rancangan yang ada dalam kepala Mamat tu. Katanya nak ikut kawan dia kerja dekat Johor. Akak tak kisah, janji dia tak goyang kaki duduk kat rumah sudahlah,” cerita Kak Linda, kakak kandung Mamat yang selama ini selalu juga turun padang menolong adiknya.
            “Nah! Saya belanja awak makan burger malam ni. Ismie sekali. Minggu ni minggu terakhir awak boleh makan burger saya. Lepas ni, awak cuba makan burger dari air tangan orang lain pula,” Mamat tiba-tiba muncul sambil meletakkan bungkusan ke atas meja.
            “Eh…mana boleh macam tu. Berapa ni? Saya bayar,” Nur Aisya serba-salah. Mula membuka sling beg yang ada di atas meja.
            “Saya belanjalah. Bukan selalu saya dapat belanja awak. Anggap saja sempena saya letak jawatan buat burger,” Mamat tersenyum. Sudah tahu sebenarnya reaksi gadis yang baru dikenalinya itu. Baik tetapi amat susah untuk didekati. Mesra tapi ada batasnya. Kesimpulannya, Nur Aisya gadis yang begitu istimewa. Dia senang berkawan dengan Nur Aisya walaupun tidaklah serapat mana. Baginya Nur Aisya tidaklah sombong seperti sesetengah pelajar universiti yang duduk di kawasan itu.
            “Kenapa awak bagi orang sewa. Awak dah tak bosan buat kerja ni ke?” soal Nur Aisya cuba beramah-mesra. Suara sedikit dikuatkan memandangkan jaraknya dengan Mamat agak jauh. Kak Linda yang sekadar menjadi pemerhati hanya tersenyum. Ingin juga mendengar jawapan daripada adiknya. Dia sendiripun agak terkejut. Setahu dia, selain dari sumber pendapatan, membuat burger ini adalah kesukaan adik bongsunya.
            “Tak bosan. Kerja ni sebenarnya dah jadi macam darah daging saya. Saja nak tukar angin,” jawapan Mamat sedikitpun tidak memuaskan hati Nur Aisya. Namun siapalah dia nak bertanya lebih lanjut lagi. Nanti dikatakan sibuk jaga tepi kain orang!
            “Habis tu awak kenal siapa yang sewa kedai awak ni?”
            “Tak kenal pula saya. Tak apalah. Janji dia bayar sewa kedai saya ni tiap-tiap bulan,”
            Akhirnya Nur Aisya sekadar mengangguk perlahan. Dia bangun dari kerusi. Mencapai bungkusan yang berisi burger tadi.
            “Cha balik dululah kak. Dah lewat sangat dah ni. Esok ada kelas lagi,” Nur Aisya meminta diri.
            “Mamat…saya balik dulu. Terima kasih sudi belanja saya,” Nur Aisya mengangkat bungkusan plastik yang berisi burger kepada Mamat. Mamat sekadar tersenyum dan mengangguk. Sibuk melayan pesanan dari pelanggan yang tidak pernah putus.
            “Hati-hati,” ada suara garau menegur Nur Aisya sebaik sahaja dia melintasi sebuah meja.
            “Errmm, terima kasih,” hanya itu sahaja jawapan yang keluar dari mulut Nur Aisya. Dia langsung tidak menoleh. Sebenarnya sudah terbiasa ditegur oleh suara-suara nakal di situ. Dia pula, sekadar mengangguk dan tersenyum. Tidak mahu dianggap sombong oleh masyarakat sekeliling. Cuma malam ini sahaja bibirnya begitu ringan menjawab. Namun tiba-tiba dia merasakan suara itu seakan-akan begitu sinonim pada pendengarannya. Dia menoleh seketika namun kelihatan pemuda yang menegurnya tadi memalingkan wajahnya ke tempat lain. Akhirnya bahunya terangkat lalu dia menyambung langkah menuju ke rumahnya yang berada di tingkat paling atas di kawasan perumahan flat itu.
            “Assalamualaikum,” salam diberi sebaik sahaja pintu rumah sewanya dibuka.
            “Waalaikumussalam. Yeahhh! Burger dah sampai,” Ismie berlari anak mendapatkan Nur Aisya. Bungkusan bertukar tangan.
            “Aik! Ada dua…akak beli juga ya. Sejak bila akak suka makan malam ni?” soal Ismie pelik. Kaki sudah melangkah menuju ke dapur, sebelum kembali semula dengan dua gelas minuman di tangan.
            “Mamat yang belanja. Mie punyapun sama. Katanya sempena minggu terakhir dia berniaga kat situ,” Nur Aisya sudah hilang ke dalam bilik tidurnya. Tidak sampai lima minit, dia muncul semula dengan tuala di bahu.
            “Jadi betullah Mamat dah tak nak berniaga lagi kat situ. Erm…nampaknya lepas ni tak bolehlah Mie makan burger malam-malam macam ni lagi,” rungut Ismie perlahan. Bungkusan burger miliknya dibuka sebelum dibawa ke mulut dan digigit dengan penuh selera.
            “Kenapa pula tak boleh? Orang yang sewa kedai dia tupun katanya nak berniaga burger juga. Nanti bolehlah Mie cuba burger buatan orang lain pula,”
            “Akak tahu tak siapa yang sewa kedai mamat tu? Lelaki ke? Handsome tak kak?”
            “Ini apa kena mengena dengan handsome tak handsome pula ni? Awak tu, kalau handsome ke tak handsome ke, awak tak pandangpun orang yang jual burger macam tu. Macam la akak baru kenal Mie semalam. Selalu pandang rendah pada orang yang macam Mamat tu,” perli Nur Aisya tanpa berselindung.
            “Eh…mana ada Mie pandang rendah pada Abang Mamat kak. Untuk jadikan kawan tu bolehlah. Tapi nak lebih-lebih, memang tak boleh. Kalau Mie nak sekalipun, mama dengan papa belum tentu terima. Jadi, sebelum apa-apa, baik Mie elak,” jawab Ismie jujur. Gamaknya mahu menempah maut kalau tiba-tiba dia bawa balik bakal menantu seperti Mamat. Sudahlah dia anak bongsu, apa sahaja yang dia lakukan mesti mendapat persetujuan daripada ibu dan ayahnya terlebih dahulu.
            “Errmm…ye la tu. Akak nak mandi, Nina dengan Suzi dah balik dah?”
            “Dah! Dah tidur kot…penat kata dia orang tadi,” jawab Ismie mengenai dua orang lagi rakan serumah mereka yang bekerja sebagai jururawat.
            “Eh kak sekejap…esok, kalau akak kerja malam. Mie teman ye,”
            “Kenapa pula ni? Ada apa-apa yang akak tak tahu ke?” tanya Nur Aisya. Terbantut niatnyanya untuk segarkan badan apabila mendengar bicara Ismie yang sebegitu.
            “Akak tak dengar ke pasal budak perempuan yang kena rompak semalam. Masa nak balik kerja juga. Mie tadi dah risau tau. Sebab tu Mie mesej akak banyak-banyak kali. Esok kalau akak nak balik, akak call Mie ye. Nanti Mie pergi jemput,”
            “Tak payahlah Mie. Insya-Allah tak ada apa-apa. Lagipun sejak akak tinggal kat sini kan, akak rasa macam selamat sangat. Macam akak sentiasa dijaga. Ke mana saja akak pergi, akak rasa macam ada orang jaga akak dari jauh. Akakpun tak tahu kenapa akak boleh rasa macam tu. Tapi memang terasa selamat sangat-sangatlah,” akui Nur Aisya. Perkara yang selama ini tidak pernah dia ceritakan kepada sesiapa termasuklah Ismie. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu kenapa dia harus berperasaan begitu. Namun itulah yang dia rasakan. Malah dia sendiri melihat bagaimana budak-budak nakal yang selalu lepak di kawasan lorong seakan-akan begitu takut untuk mengusiknya. Setiap kali dia melalui kawasan itu, budak-budak muda itu sekadar membuat urusan mereka tanpa mempedulikan kewujudannya di situ. Pelik tetapi benar! Padahal bukan dia tidak pernah mendengar cerita mengenai gadis-gadis yang sering dikacau oleh budak-budak muda itu. Namun yang menjadi tanda tanya, kenapa budak-budak kutu rayau itu seakan-akan takut dengannya. Allahualam. Alhamdulillah!
            “Iyalah tu akak ni,” Ismie mencebik.
            “Betullah. Insya-Allah tak ada apa-apa. Mie jangan risaulah. Kalau akak rasa akak takut nak balik seorang nanti, akak telefon Mie,” ujar Nur Aisya lalu melangkah masuk ke dalam bilik air. Ismie mengangguk. Dia terdiam sejenak. Meletakkan burger ke atas meja dan melangkah menuju ke pintu. Kunci yang ada di penyangkut tepi dinding dicapai. Lalu pintu dibuka dan dia melangkah ke beranda. Lehernya menjenguk ke bawah. Ada sesuatu yang ingin dia dapatkan kepastian.
            “Errm…malam ni tak ada pula,” bisiknya perlahan. Pelik apabila kereta yang biasa terpakir di situ tidak kelihatan pada malam ini. Timbul perasaan pelik sebenarnya apabila kereta yang tersadar di tempat yang sama pada setiap malam. Apatah lagi pemilik kereta itu seakan-akan duduk di dalam kereta sepanjang malam. Tidur dalam kereta ke? Ermm.. Mungkin dia yang terlebih berimaginasi? Bisik Ismie di dalam hati. Kembali melangkah masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.







p/s: sorry guys...dah lama menyepikan diri...kesihatan tidak mengizinkan...pertama kali admitted sepanjang 28 tahun hidup...huhuhu...Alhamdulillah..sakit itukan penghapus dosa...Insya-Allah...apa2pun syukur sangat dah kembali sihat...ehehehe...semoga terhibur dengan bab yang tak seberapa ini...sudi2 komen ye...luv u...Just me!