Tuesday, November 15, 2011

DIA SEGALANYA BAB 4

BAB 4

“Adik, cepatlah!” panggilan dari mamanya mengejutkan Suraya yang sedang bersiap di hadapan cermin di dalam biliknya. Dia serba salah, bagaimana reaksi mamanya nanti apabila dia menyatakan hasratnya yang tidak mahu ikut sama untuk menjemput abang-abangnya di KLIA.

Suraya menuruni anak tangga dengan laju. Kemudian dia terus mendapatkan mamanya yang sedang menunggu di ruang tamu. Papanya tidak kelihatan mungkin sudah menunggu di kereta.

“Mama, kalau adik tak ikut boleh tak? Adik jumpa dia orang dekat rumah sajalah,” Suraya berbicara dengan wajah takut. Dia menunggu jawapan yang bakal diberikan oleh mamanya.

Datin Rafidah hanya tersenyum. Dia faham dengan situasi anak bongsunya itu. Dia tahu Suraya masih rasa merendah diri dengan peristiwa yang berlaku lapan tahun dahulu. Terutamanya untuk berjumpa semula dengan anaknya yang tengah yang sejak kecil lagi sudah menunjukan reaksi tidak suka terhadap Suraya.

“Boleh tak ma?” tanya Suraya lagi apabila mendapati mamanya yang hanya menguntumkan senyuman.

“Habis tu adik nak ke mana dengan pakaian yang lawa-lawa ni?” tanya Datin Rafidah melihat anaknya yang sudahpun bersiap seakan-akan mahu ke sesuatu tempat.

“Oh, adik nak ke rumah Ima kejap, nak hantar nota yang dia nak, boleh kan ma?” beritahu Suraya. Memang itu niatnya sekiranya mamanya memberikan kebenaran untuk dia tidak mengikut bersama ke lapangan terbang.

“Mama tak kisah, tapi apa pula kata abang-abang adik nanti, terutamanya Along, dia selalu cakap dekat mama yang dia tak sabar nak jumpa adik bila dah sampai Malaysia,”

“Along tu, tahulah adik cakap kat dia nanti, boleh la mama, boleh la!” Suraya sudahpun separuh merayu. Datin Rafidah tersenyum. Kesian pula dia melihat anak kesayangannya yang sudahpun separuh merayu. Kemudian dia hanya mangangguk. Suraya tersenyum kegirangan lantas pipi Datin Rafidah dikucup mesra tanda terima kasih.

Suraya memberhentikan keretanya di hadapan pintu pagar rumah kawan baiknya. Dia keluar dari kereta lantas memberikan salam. Sekali salam sahaja, Fatima sudahpun muncul di depan pintu rumah teres tersebut dengan sebuah senyuman yang manis. Sememangnya kedatangan Suraya sudahpun diketahuinya apabila Suraya menelefonnya sewaktu berada di dalam kereta.

“Awalnya kau sampai! Kau pandu laju ek?” tanya Fatima apabila mendapati Suraya sampai sepuluh minit lebih awal dari yang dijanjikan sewaktu menelefonnya tadi.

“Kau dah jawab salam aku ke belum ni, tiba-tiba saja bertanyakan soalan kat aku?” tanya Suraya kembali. Dia saja nak menyakat kawannya dan dalam masa yang sama dia mahu mengelak dari menjawab soalan yang diajukan oleh Fatima. Sememangnya dia memandu kereta dengan agak laju dari kebiasaannya. Ada perkara yang harus dia lakukan.

“Dahlah ustazah, kau ni kalau tak kenakan aku dalam satu hari tak boleh ek?” tanya Fatima sambil tangannya sedang membuka mangga yang terdapat di pintu pagar rumahnya.

“Eh, tak payahlah buka mangga tu, aku kejap jer ni, just nak hantar nota ni kat kau, aku ada urusan yang penting yang aku kena buat,” jawab Suraya sambil menghulurkan nota yang berada di tangannya kepada Fatima. Fatima menyambut nota tersebut sambil mengerutkan dahinya.

“Tadi kau beritahu aku yang kau tak nak jemput abang kau kat KLIA, tapi sekarang kau kata kau nak cepat, tahulah rumah aku ni buruk, takkan la dah tak sudi nak masuk kot!”

“Allo! Boleh tak kalau kau jangan merepek yang bukan-bukan pagi-pagi buta ni, betul! Bukan aku tak sudi, aku nak cepat ni, ada benda yang perlu aku uruskan, hari Isnin nanti kau beritahu kat kau ek, ok Ima, aku pergi dulu, Assalamualaikum! Sayang kau! Muah! Muah!” Suraya bersuara manja. Fatima menjawab salam tersebut sambil mencebik menunjukkan reaksi menyampah. Dia kenal sangat dengan sikap nakal Suraya dengan dirinya.

“Hati-hati memandu!” sempat Fatima meninggalkan pesan.

“Yess boss! Saya akur!” jawab Suraya yang masih sempat berseloroh sebelum masuk ke dalam perut kereta. Fatima tersenyum seorang diri apabila kereta yang dipandu Suraya jauh meninggalkan rumahnya. Bagaimanalah dia tak rindukan Suraya sekiranya mereka tidak berjumpa walaupun sehari. Walaupun dari luarannya Suraya kelihatan seperti gadis lembut dan pendiam, tetapi hakikat yang sebenarnya Suraya seorang gadis yang agak lasak dan ceria. Sifat Suraya yang sering ceria dan manja membuatkan dia sentiasa terhibur. Sesungguhnya dia sangat menyayangi gadis tersebut.

************************

Datin Rafidah menjenguk mencari kelibat anak-anak lelakinya dari balai ketibaan. Sudah hampir setahun dia tidak melihat anak-anaknya. Kali terakhir dia melihat anak-anaknya itu sewaktu hari konvokesyen pada tahun lepas. Kemudian dia dan suaminya pulang semula ke Malaysia apabila kedua-dua anak terunanya itu membuat keputusan untuk terus berada di London buat sementara waktu. Kata mereka, mereka mahu berjalan-jalan dahulu sebelum pulang ke tanah air.

“Mana mereka ni bang, dari tadi kita tunggu, tak nampak batang hidung pun, entah-entah mereka tak jadi pulang kot?”

“Hish awak ni, ke situ pulak, kan semalam Along dah telefon, dia kan cakap mereka akan sampai pagi ni, awak tu, kot iya pun sabar la sikit!”

Datin Rafidah hanya mengikut arahan suaminya. Namun di dalam hatinya dia betul-betul tidak sabar untuk melihat kedua-dua anak terunanya yang cukup dirinduinya itu. Dia betul-betul berharap kepulangan anaknya kali ini akan menambahkan lagi kebahagiaan dan keceriaan keluarganya. Namun bila diingatkan kembali perangai anaknya yang tengah itu, hatinya tiba-tiba diruntun rasa bimbang. Anaknya yang kedua itu agak susah untuk diramal perangainya. Selalu membuat perkara yang membuatkan dia dan suaminya risau. Sikap panas barannya pula kadang-kadang tak boleh diramal langsung. Ada sahaja benda yang membuatkan anaknya yang kedua itu rasa tidak puas hati dan lantas memberontak. Namun kali ini dia betul-betul berharap agar perangai anaknya itu akan berubah sekembalinya dari London.

“Itu pun mereka, tengok mereka tu tak berubah langsung, sihat macam kita lihat mereka waktu majlis konvokesyen tahun lepas, awak yang bimbang tentang benda yang bukan-bukan,” Datuk Rashid sempat membebel kepada isterinya yang terlebih bimbangkan perihal anak-anak lelakinya.

Datin Rafidah hanya tersenyum melihat kelibat anak kembarnya yang tak seiras itu. Bebelan suaminya langsung tak dipedulikan. Di dalam hati Datin Rafidah dia sangat berbangga dan bersyukur kerana dikurniakan anak-anak teruna yang mempunyai rupa paras yang elok dan menarik. Memang dia akui sejak zaman sekolah dahulu anak-anaknya itu sering menjadi perhatian anak-anak gadis. Malahan anak keduanya itu sendiri mempunyai beberapa teman wanita yang sering menelefon ke rumah dan yang paling memeningkan Datin Rafidah apabila ada sesetengah daripada mereka sanggup datang ke rumah. Namun lain pula yang berlaku kepada anaknya yang sulung, walaupun ramai gadis-gadis meminati nak sulungnya itu namun semuanya dipedulikan oleh Faizal. Anaknya yang sulung itu sering sahaja berkepit dengan Suraya, anaknya yang bongsu. Anaknya yang seorang itu jarang sangat bercerita tentang perempuan lain selain adiknya sendiri. Tetapi, baru-baru ini, Suraya ada memberitahunya bahawa anak sulungnya itu telahpun mempunyai teman wanita yang menetap di Malaysia. Bila ditanya bagaimana mereka boleh berjumpa, Suraya menjawab bahawa mereka berkenalan apabila gadis tersebut pergi membuat rombongan universiti ke London. Berita tersebut sedikit sebanyak menggembirakan perasaan Datin Rafidah yang agak risau sekiranya anak lelakinya itu tidak akan bertemu jodoh. Dia tak kisah gadis yang menjadi pilihan anaknya itu datang daripada keluarga yang macam mana asalkan gadis itu mempunyai perwatakan yang sopan dan sedap mata memandang.




“Assalamualaikum mama, papa!” Faizal memberi salam sebaik sahaja mendapatkan mama dan papanya dan diikuti oleh adiknya Faizul. Faizal memandang ke kiri dan ke kanan, orang yang ingin sangat dijumpainya langsung tidak kelihatan. Datin Rafidah yang menyedari perlakuan anak sulungnya terus sahaja bersuara.

“Adik tak ikut sekali, dia kata ada hal, tapi Along jangan la bimbang, lepas ni kita jumpalah dia kat rumah. Angah pula tengah cari siapa, dah janji dengan seseorang nak jemput Angah kat sini ke?” Datin Rafidah beralih kepada anaknya yang kedua itu yang dari tadi pun seakan-akan mencari seseorang. Dia faham sangat dengan perangai anaknya yang seorang itu, walaupun dirinya berada di luar negara tetapi hubungannya dengan rakan-rakan di Malaysia tak pernah putus terutamanya dengan rakan-rakan yang terdiri daripada wanita.

“Huh! Tak de lah, Angah tak tunggu sesiapa pun!” jawab Faizul dengan tergagap-gagap. Dia tidak menyangka pula perbuatannya diperhatikan oleh mamanya.

“Dia pun tengah cari adik juga ma, dia pun rindu jugak kat adik, tapi tak nak mengaku!” selamba sahaja Faizal megusik. Papa dan mamanya serentak ketawa. Faizul hanya mencebik dan menjeling tajam kearah Faizal. Dia tahu wajahnya suka merona kemerahan menahan malu. Sememangnya tekaan Alongnya itu adalah tepat. Dia inginkan kepastian, adakah betul apa yang diperkatakan oleh Alongnya bahawa adik bongsu kesayangan Alongnya itu semakin cantik. Dia memang akui Suraya memang mempunyai wajah yang lembut dan manja tetapi sewaktu dia meninggalkan Suraya untuk menyambung belajar ke London, Suraya merupakan seorang gadis yang tidak mementingkan gaya. Pakaian gadis itu agak selekeh jika dibandingkan dengan pakaian rakan-rakan perempuannya yang lain yang sering bergaya mengikut peredaran zaman.

“Dah la, jom kita ke kereta, kalau rindu sangat kat adik, kita jumpa dia kat rumah” kata Datuk Rashid. Mereka hanya mengangguk mengikut perintah.

“Mama dan papa pergi dulu, Along nak ke toilet sekejap,” beritahu Faizal yang dari tadi tak senang duduk. Dia seakan-akan mendengar namanya dipanggil. Bila dia menoleh, tiada sesiapa pun yang kelihatan. Datuk Rashid hanya mengangguk lantas dia mendapatkan troli yang membawa bagasi anaknya yang sulung itu.

Selepas semua orang berjalan ke kereta Faizal sekali lagi mendengar namanya dipanggil. Dia cuba mencari, akhirnya dia terpandang seorang gadis yang cukup dirinduinya, tersenyum dengan girang memandangnya. Dengan pantas Faizal mendapatkan gadis tersebut. Sebaik sahaja dia mendapatkan gadis itu, tangannya dicium dengan mesra.

“Along ingat adik dah tak sudi nak datang jemput Along kat sini, Along rindu sangat kat adik tau, kenapa adik tak join papa dan mama?”

“Saja!” jawab Suraya pendek dan ringkas namun Faizal dapat mengagak kenapa adiknya itu tak mahu turut serta dengan mama dan papanya tetapi dia hanya mendiamkan diri. Dia tak mahu merosakkan suasana apabila adiknya yang kelihatan gembira waktu itu.

“Along, jom kita jalan-jalan!” ajak Suraya manja. Faizal hanya tersenyum melihat telatah adiknya itu. Adiknya itu tidak pernah nak berubah, sentiasa manja apabila berbicara dengannya. Macam manalah dia tidak rindukan adiknya itu apabila mereka berjauhan.

“Apa kata kalau kita jalan-jalan jer esok. Along penat la dik hari ni, lagipun mama dan papa dah tunggu kat kereta, nanti mereka tercari-cari Along pulak,”jawab Faizal memandang tepat ke arah adiknya menunggu reaksi adiknya itu.

“Ala, bolehla, kejap jer, Along telefon la mama, beritahu dia, mama tentu bagi punya, nah!” Suraya menghulurkan telefon bimbitnya kepada Alongnya. Faizal hanya tersenyum dan menyambut telefon tersebut. Dia tahu, waktu itu dia tak akan menang. Di sebalik kemanjaan dan kelembutan adiknya itu sebenarnya tersembunyi sifat degil yang jarang sangat ditunjukkan.

Faizal hanya mengikut arahan adiknya. Butang ‘call’ ditekan apabila sudah terdapat nombor telefon mamanya di skrin. Dia terus memberitahu mamanya perkara yang sebenar dan adiknya yang berdiri di hadapannya hanya tersenyum dan mendengar.

“Terima kasih Long, sayang Along!” Suraya bersuara sebaik sahaja panggilan Alongnya dimatikan. Faizal tersenyum lantas hidung mancung adiknya ditarik mesra. Dia tahu kadang-kadang dia terlalu manjakan Suraya. Tapi itulah yang paling dia sukai. Dia terlalu menyayangi adiknya itu. Sejak kecil Surayalah yang banyak menghiburkannya. Tetapi dia hairan kenapa adik kembarnya Faizul tidak boleh menyayangi Suraya seadanya seperti dia menyayangi adik bongsunya itu. Waktu kecil dahulu, dia tidak hairan sangat kenapa Faizul membenci Suraya, mungkin dia agak cemburu kerana Suraya sering kali diberi perhatian yang lebih sejak dari kecil kerana sewaktu kecil Suraya bukanlah seorang kanak-kanak yang agak cergas, adik kesayangannya sentiasa sahaja jatuh sakit, tetapi mujurlah, apabila Suraya semakin membesar dia bertambah sihat. Tetapi semakin mereka meningkat dewasa dia semakin hairan kenapa Faizul semakin membenci Suraya, kadang-kadang layanan buruk Faizul terhadap Suraya agak melampau lantas menimbulkan rasa marah dalam dirinya. Dia sentiasa sahaja bergaduh dengan kembarnya itu semata-mata mahu membela adik bongsu kesayangannya. Dia betul-betul berharap agar suatu hari nanti Faizul akan berubah sikap.

**********************

Faizul termenung seorang diri di balkoni biliknya. Dia memandang jauh ke arah hutan yang menghijau di bukit berhampiran dengan banglo mewah papanya. Suasana pagi itu agak sejuk memandangkan rumah mereka berada di kawasan bukit dan tinggi. Kadang-kadang dia mengalih pandangan ke balkoni sebelah dan kadang-kadang matanya memandang ke arah pintu pagar utama banglo yang dapat dilihat dengan jelas sekiranya dia berdiri di balkoni biliknya itu.

Perasaannya di kala itu bercampur baur dan kadang-kadang dia agak keliru dengan perasaanya sendiri. Hatinya tiba-tiba panas sewaktu mamanya memberitahu bahawa abang kembarnya tidak dapat pulang bersama sewaktu di KLIA tadi disebabkan Suraya tiba-tiba datang dan meminta abangnya itu menemaninya ke suatu tempat.

Faizul kadang-kadang cemburu dengan abangnya yang sering sahaja mesra dengan Suraya. Dia cemburu kenapa dia masih tidak boleh menganggap Suraya sebagai adik kandungnya sendiri seperti yang dilakukan oleh abangnya. Agak susah untuk dia tafsirkan perasaannya itu. Biar dia sahaja yang menanggung apa yang dia rasakan selama ini.

Sebenarnya dia sendiri tidak memahami kenapa dirinya terlalu menbenci Suraya sedangkan sebelum peristiwa lapan tahun dahulu, dia tidak pernah mengetahui bahawa Suraya itu bukan adik kandungnya. Perasaannya terhadap Suraya didapati berbeza sejak kecil lagi. Dari kecil dia sentiasa merah-marah terhadap gadis itu malah dia sering merungut dengan menyatakan bahawa Suraya seakan-akan bukan adiknya.

Faizul tersentak apabila telefon bimbit yang dipegangnya tiba-tiba berbunyi. Dia melihat nombor yang tertera di skrin. Nombor yang tak pernah dilihatnya. Yang paling membuatkan dia hairan itu nombor telefon mudah alih di Malaysia.

“Hello!”

“Hai baby,” Faizul mengerutkan dahinya. Suara manja di corong telefon membuatkan dia tersenyum sendirian. Macam mana gadis itu dapat mengetahui nombor telefonnya yang baru sahaja dia aktifkan seminggu sebelum pulang ke Malaysia.

“Hai, macam mana you boleh tahu nombor baru I ni?” tanya Faizul, tapi dia tak hairan sangat sebenarnya. Dia tahu sangat perangai gadis yang dia kenali sewaktu di London bila gadis itu berkunjung ke sana untuk makan angin. Gadis yang agak sosial itu adalah salah seorang gadis yang amat memahami kehendak dan perangainya.

“Adalah, nak harapkan you bagi kat I, jawabnya sampai bila-bila pun I tak kan tahu, sampai hati you tak beritahu pun I yang you dah balik ke Malaysia,” sekali lagi Faizul tersenyum. Gadis ini memang betul-betul tergilakannya. Kalau tidak masakan kepulangannya ke Malaysia pun gadis itu dapat mengetahuinya. Sedangkan setahu dia, dia tidak pernah memberitahu semua rakan-rakannya di Malaysia mengenai kepulangannya hari ini. Dia sengaja mahu membuat kejutan, tetapi gadis ini terlebih dahulu mengejutkannya.

“Macam mana you boleh tahu ni, ataupun you main agak-agak saja?” Faizul cuba untuk menduga.

“Alah I tahulah, bila I boleh jumpa you, I rindu sangat kat you tau, Joe, jomlah kita jumpa,” suara di telefon tersebut mulai merengek. Faizul tersenyum lagi. Kebanyakan gadis yang mendekati dirinya akan bersikap manja walaupun mereka semua tahu dia memang tidak suka melayan gadis yang suka mengada-ngada.

“Tengoklah macam mana nanti, lagipun I baru jer sampai, penat I pun tak hilang lagi, tunggulah, jangan bimbang I lama kat Malaysia, actually I memang akan menetap kat sini pun, kerja kat sini, banyak masa lagi untuk kita jumpa,” jawab Faizul yang sememangnya tidak terlalu manjakan sangat gadis yang mendekatinya. Entahlah perasaannya terhadap mana-mana gadis sekalipun tidak pernah serius. Dia sekadar mahu hilangkan rasa bosannya. Gadis-gadis yang dikenalinya pula sanggup menyerahkan segala-galanya untuk dirinya. Malahan dia sendiri pun sudah banyak menyimpang dari ajaran agama. Dia sedar itu semua tu tetapi dia masih belum bersedia untuk berubah. Sudah jenuh abangnya menasihatinya agar berubah dan mengingatkannya bahawa apa yang dia lakukan itu adalah salah di sisi agama, namun dia sekadar mendengar namun tak pernah mengikutinya.

“Joe! Are you still there?” suara yang agak kuat memeranjatkan Faizul yang sudah jauh mengelamun. Belum sempat dia menjawab pertanyaan gadis yang sedang berbual dengannya melalui telefon dia terpandang sebuah kereta Honda Jazz memasuki perkarangan banglo.

“Can you call me later, I have to go,” Faizul terus mematikan taliannya. Dia memandang tepat ke arah kereta yang memasuki perkarangan banglo. Tekaannya tepat, abangnya yang keluar dari kereta tersebut. Tetapi bukan abangnya yang ingin dilihatnya, tetapi seseorang yang sudah lima tahun tidak bersua muka dengannya.

Kemudian Faizul terpandang seorang gadis yang cukup ayu dengan tudung di kepala dan berbaju kurung hijau berbunga halus. Kelihatannya gadis itu sedikit tinggi jika dibandingkan kali terakhir dia melihat Suraya lima tahun dahulu. Walaupun dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah gadis tersebut namun dia tahu gadis itulah yang sudah lama dia tidak temui. Tiba-tiba sahaja perasaan marahnya kembali menerjah apabila dia melihat gadis itu cukup mesra dengan abangnya.

Suraya yang baru sahaja keluar dari perut kereta dapat merasakan seperti ada seseorang yang sedang memerhatikannya dari atas. Dia mendongak ke balkoni biliknya kemudian terpandang seseorang yang sudah banyak berubah dari segi wajah serta penampilannya di balkoni di sebelah biliknya. Pemuda yang sedang berdiri di balkoni tersebut langsung tidak mengubah pandangannya walaupun mengetahui kehadirannya di situ sudah disedari oleh Suraya.




“Adik, apa tunggu lagi tu, jom kita masuk, Along dah penat la, Along lapar!” Suraya terperanjat dengan panggilan abangnya dari pintu utama banglo. Suraya tersenyum lantas mendapatkan abangnya. Jiwanya mulai rasa tidak selesa berbeza dengan perasaannya semasa berjalan-jalan dengan abangnya yang sulung tadi.

Sebaik sahaja dia melangkah masuk lelaki yang berdiri di balkoni tadi sudah berdiri di tangga dan memandang tepat ke arahnya. Suraya tidak selesa dengan pandangan tersebut lantas dia mengalih pandangan ke arah Alongnya yang sudahpun menyandar penat di kerusi di ruang tamu.





“Apa yang kau pandang tu Angah, takkan adik sendiri pun tak kenal?” Rupa-rupanya Faizal memerhatikan kelakuan kembarnya itu. Faizul tersentak lantas mengalih pandangan ke arah Alongnya dan berjalan menuju ke ruang tamu lantas berselisih dengan Suraya yang masih kaku berdiri.

“Bukannya aku tak kenal, cuma……..

“Cuma kau terpegun dengan kecantikannya!” Faizal meneka walaupun dia ketahui tekaannya adalah tepat. Suraya sudahpun hilang dari pandangan. Mungkin ke dapur mencari kelibat mamanya.

“Mengarut, mana ada!” Faizul menafikan. Kadang-kadang dia hairan dengan Alongnya. Walaupun mereka dilahirkan bukan kembar seiras tetapi dia merasakan Alongnya sering sahaja tahu apa yang sedang dia fikirkan. Sukar untuk menipu abang kembarnya itu.

“Orang lain bolehlah kau tipu, tapi aku jangan, kau ingat aku tak tahu, kau adik aku Angah, aku yang sering jaga kau, walaupun umur kita sama tapi aku aku yang lahir 10 minit awal dari kau, kau jangan lupa tu,” Faizal tersenyum melihat perubahan wajah adiknya itu. Entah kenapa sejak kebelakangan ini dia suka sangat mengenakan adiknya yang seorang itu. Sebenarnya sejak dari dahulu lagi dia merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan adik kembarnya itu, tetapi dia tidak suka membuat sebarang tekaan dan lantas dia mengambil keputusan untuk melupakan saja perkara tersebut tetapi hari ini perkara tersebut menerjah kembali dalam benak fikirannya.

“Kalau ya kenapa?” Faizul cuba untuk menguji abangnya.

“Tak ada apa! Apa yang nak dihairankan memang adik kita tu cantik, lebih cantik dari lima tahun yang lepas, tapi yang lebih penting adik kita tu lebih cantik dari semua teman wanita kau,” Faizal bangun dan berjalan menuju ke tangga, dia terlalu penat dan dia perlu mandi dan berehat.

“And one more thing bro, she’s our sister, our younger sister, remember that!” selepas berbicara Faizal terus memanjat tangga. Dia tersenyum, sekali lagi dia mengenakan saudara kembarnya itu.

Faizul yang mendengar kata-kata yang dilemparkan oleh abangnya itu merengus. Dia menyandar di kerusi dan menarik nafas sepanjang yang mungkin dan dihembus kuat. Matanya tiba-tiba berat. Sebenarnya tadi selepas mandi niatnya hanya untuk merehatkan diri dengan tidur tetapi niatnya tiba-tiba terpesong gara-gara mahu menunggu orang yang sudah lama dia tidak temui.

******************

Faizul terperanjat apabila suaranya dipanggil. Matanya masih lagi kabur. Rupa-rupanya dia tertidur di sofa dan tiada sesiapa pun yang mengejutkannya.

“Angah, pergi naik atas, basuh muka, sembahyang Maghrib lepas ni turun makan,” Datuk Rashid mengejutkan anaknya itu. Dari tadi lagi dia menyedari yang Faizul tertidur di situ, namun dia tak sampai hati nak mengejutkan anaknya itu memandangkan anaknya itu kelihatan nyenyak sekali.

“Ngantuk la pa!” rengek Faizul seakan-akan masih kecil.

“Ish, budak ni, tak elok tidur Maghrib begini, naik atas basuh muka, sembahyang, lebih elok lagi mandi, segar sikit badan tu!”

Dengan malas Faizul melangkah menuju ke arah tangga. Belum sempat dia memanjat tangga dia terserempak dengan Suraya. Dia memandang tepat ke arah gadis itu dan menyebabkan gadis di depannya itu kelihatan tidak selesa. Kemudian Faizul teringat kata-kata abangnya petang tadi lantas dia mengalih pandangan dan memanjat tangga naik ke atas.

Suraya yang baru sahaja selesai menunaikan solat terus berjalan menuju ke dapur. Dia harus menolong mamanya menyediakan makan malam. Walaupun sejak dari petang tadi dia menolong mamanya namun sedikit pun dia tidak terasa penat. Tambahan pula dia begitu gembira kerana Alongnya sudah berada di rumah bersama dengannya. Selepas ini mungkin dia tidak lagi akan berasa bosan. Namun, dalam masa yang sama dia cukup risau dengan renungan Angahnya terhadapnya. Renungan itu seakan-akan menunjukkan bahawa Faizul masih lagi tidak menyukai dirinya. Mungkin abangnya yang seorang itu masih lagi berdendam dengan dirinya yang menyebabkan dia ditampar buat pertama kalinya oleh papanya lapan tahun yang dulu.

Selepas selesai mandi Faizul terus sahaja menyarungkan pakaian yang sentiasa dipakainya apabila berada di rumah. Seluar pendek di parasa lutu dan t-shirt ketat yang menunjukkan susuk tubuhnya yang sasa. Lantas dia melemparkan tubuhnya ke atas katil. Dia memandang sekeliling biliknya. Dulu, sewaktu dia meninggalkan biliknya itu, hiasan di dalam biliknya itu bukan sebegitu, tetapi sekarang hiasan dalaman biliknya cukup berbeza sekali. Takkanlah orang di dalam rumah ini sudah lupa yang dia tidak suka sekiranya ada sesiapa yang berani mengubah kedudukan semua barang-barang di dalam biliknya tanpa kebenarannya terlebih dahulu. Namun perasaan marahnya tiba-tiba hilang sebaik sahaja dia memerhatikan keseluruhan bilik tersebut. Cantik, orang yang mengubah hiasan dalaman di dalam biliknya itu seakan-akan tahu dengan cita rasanya. Siapa yang mengubahnya? Mama? Orang gaji? ataupun Suraya? Faizul mulai tertanya-tanya. Namun tekaannya terhadap Suraya mulai ditolak ke tepi. Suraya tak pernah rapat dengan dirinya takkanlah Suraya tahu sangat dengan citarasanya.

Suraya! Gadis itu cukup membuatkan dirinya sentiasa dirundum keresahan. Perasaannya terhadap gadis itu tak pernah hilang walaupun sudah lima tahun dia tidak pernah bersua mahupun berbicara dengan gadis tersebut. Dia ingatkan perasaannya itu sikit demi sedikit akan hilang sekiranya dia tidak pulang langsung ke Malaysia namun tanggapannya silap. Gadis itu sentiasa berada di benak fikirannya. Malahan gadis itu sekarang sudah banyak berubah. Gadis itu cukup ayu dengan bertudung walaupun dia sebenarnya tidak menyukai gadis yang bertudung. Bertudung tidak menjanjikan bahawa seorang gadis itu baik dan kuat agama. Di London sendiri dia dapat menyaksikan itu semua, gadis yang bertudung pada mulanya kelihatan baik dan pemalu tetapi tidak sampai sebulan, tudung hilang entah ke mana dan yang paling mengejutkannya gadis-gadis yang sebegini tidak malu dan segan langsung berpelukan dengan lelaki dan bercumbu di depan orang ramai.

Adakah Suraya juga gadis yang sebegitu? Itu belum dapat dikenal pasti lagi olehnya. Tadi pun sewaktu dia terserempak dengan Suraya untuk naik ke atas Suraya masih bertudung walaupun dia berada di dalam rumah. Takkanlah Suraya tidak pernah menanggalkan tudungnya seharian. Namun dia dapat mengagak kenapa Suraya berkeadaan sebegitu walaupun dia berada di rumah sendiri. Itu pun sekiranya Suraya merupakan seorang gadis yang betul-betul tinggi ilmu agamanya. Tapi benarkah?

“Woi Angah, kuatnya kau berangan, aku panggil pun tak dengar!” abangnya tiba-tiba tertonjol di muka pintu biliknya, Faizul tersentak lantas bangun dari katil.

“Kau ni Along, tak boleh tengok aku senang sikit la, apa?”

“Mama suruh turun makan! Yang kau termenung mengalahkan orang rindu kat bini tu apahal?” tanya Faizal. Kakinya sudah mulai melangkah masuk ke dalam bilik adiknya itu. Dia memerhatikan sekeliling kemudian tersenyum sendirian.

“Suka hati akulah, yang kau tiba-tiba saja tersenyum tengok bilik aku apahal? Kau jelous sebab bilik aku cantik?”

“Orang yang jelous, dia senyum ke bila tengok sesuatu yang dia tak puas hati? Kau ni betul ke tak? Kau tahu tak siapa yang hias bilik kau ni?” soal Faizal yang inginkan kepastian.

“Siapa?!” beria-ria Faizul bertanya kembali. Namun abangnya hanya mendiamkan diri dan tersenyum kemudian melangkah menuju ke pintu.

“Siapa? Cakaplah!”

“Kau cari jawapan sendiri, cepatlah orang semua dah tunggu kau dekat bawah!” arah abangnya. Faizul hanya mengikut abangnya turun dengan perasaan marah. Kalau tak nak cakap tak payahlah beria-ria tanya. Rungutnya di dalam hati.

Sebaik sahaja sampai di meja makan. Faizul tersenyum seorang diri memandang ke arah juadah yang tersedia di atas meja. Tiba-tiba sahaja perutnya terasa lapar. Sudah lama dia menginginkan makanan yang sebegitu. Walaupun dia sudah lama berada di London namun seleranya masih lagi selera Malaysia. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah abangnya. Kemudian terpandang Suraya yang baru sahaja keluar dari dapur membawa minuman. Dia cuba untuk merenung gadis itu tetapi terpaksa membatalkan niatnya memandangkan abangnya yang berada di sebelahnya.

Suraya cuba untuk menuang air ke dalam gelas yang terdapat dia atas meja namun ditahan oleh mamanya. Mamanya sendiri yang ingin melakukan semua itu. Suraya hanya akur lantas dia duduk di sebelah mamanya dan dalam masa yang sama dia duduk berhadapan dengan Faizul. Dia hanya tertunduk dan kadang-kadang dia memandang ke arah Alongnya dan tersenyum. Selepas mamanya selesai menuang air, papanya memberi arahan agar menadah tangan untuk dia bacakan doa. Selepas selesai baca doa masing-masing makan tanpa banyak bercakap, sebenarnya itu bukannya rutin harian mereka sekeluarga sekiranya mereka menjamu selera tetapi hari ini lain macam pula jadinya. Datuk Rashid memandang isterinya dan isterinya hanya menjungkit bahu.

“Ni kenapa dengan semua orang ni, tiba-tiba je senyap macam lepas serangan garuda?” tanya Datuk Rashid. Suraya yang tak pernah biasa diam bila waktu makan terus sahaja tergelak. Entah apa yang lucu sebenarnya dia sendiri tak pasti.

“Entahlah pa, mungkin dah bertahun-tahun Along dengan Angah tak makan makan makanan Malaysia sampaikan tak boleh bersuara bila dapat makan makanan Malaysia kot, betul tak Long?” tanya Suraya tersengeh memandang Alongnya. Alongnya mencengelkan matanya memandang adiknya, Suraya hanya membalas dengan mencebik.

Faizul yang memerhati telatah Suraya terpegun seketika. Kenapa gadis itu semakin terserlah keayuannya. Dan ini buat kali pertama dia dapat melihat Suraya tergelak betul-betul di hadapannya setelah dia meninggalkan Malaysia.

“Mungkin dia orang dah biasa makan burger tak dik? Yalah, burger kan diperbuat daripada daging, gigi dia orang pun dah naik sakit, entah-entah Along dan Angah ni dah pakai gigi palsu!” kenyataan Datin Rafidah yang ingin membuat humor mendapat sambutan hangat apabila semua ahli keluarganya ketawa. Faizul yang sedang minum air hampir tersembur lantas turut tergelak.

“Ni sejak bila pulak mama pandai buat lawak ni?” tanya Faizal sebaik sahaja dia berhenti ketawa.

“Mama ni sebenarnya nak join venture Senario Long, tapi tak dapat memandangkan Senario nak kekalkan ahlinya yang hanya terdiri daripada lelaki,” Faizul pula bersuara. Makin bertambahlah gelak ketawa ahli keluarganya.

“Nilah anak-anak papa yang papa kenali sebelum ni, papa dah naik takut tadi, manalah tahu masing-masing dah lupa macam mana nak ketawa!” ujar Datuk Rashid sambil menyambung suapannya yang terhenti seketika apabila semuanya tergelak besar.

“Along, dah lima tahun Along tak balik Malaysia, takkanlah satu hadiah pun Along tak bawa balik untuk adik?” tanya Suraya manja.

“Alah Along lupalah dik, Along tak ingat nak beli!”

“Alah Along ni, sampai hati Along, yalah sapalah adik ni kan, kalau untuk buah hati pengarang jantung Along tentu Along tak pernah lupa, tak apa,” Suraya buat muka sedih meminta simpati daripada Alongnya. Faizal hanya tergelak.

“Takkanlah Along nak lupa nak beli hadiah untuk adik kesayangan Along ni, ada kat atas, lepas ni Along bagi ek,”

“Adik tahu! Adik acah jer tadi, saja nak tahu Along boleh bertahan tak kalau adik merajuk, rupa-rupanya tak, sama macam dulu, sayang Along!” jawab Suraya dengan nada yang betul-betul manja. Faizul hanya memerhatikan telatah Suraya di depannya. Gadis itu sebenarnya tidak banyak berubah, sifat manja yang ada sejak dari kecil rupa-rupanya masih dikekalkan. Dia sekadar boleh memerhati sahaja, dia akui sejak dari kecil dia tidak pernah mesra dengan Suraya, Suraya pula waktu kecil-kecil dahulu cuba untuk bermanja dengannya tetapi dia sering sahaja memarahi Suraya. Sehinggakan kadang-kadang dia perasan Suraya agak takut dengan dirinya. Dia bukan seperti Alongnya yang sentiasa sabar dengan kerenah Suraya, dia seorang yang pemarah dan panas baran. Dan yang paling banyak menerima kesan daripada sifat barannya itu adalah Suraya.

“Mama, kenapa sambal udang mama ni rasa lain macam saja?” tiba-tiba Faizul bertanya. Sambal udang adalah salah satu daripada makanan kegemarannya yang paling dia rindui untuk merasainya apabila dia pulang ke Malaysia.

“Kenapa tak sedap ke?” tanya Datin Rafidah.

“Sedap tu memang la sedap, tapi rasanya lain macam sikit, mama masukkan asam jawa ek?” tanya Faizul, itu salah satu kelebihannya. Dia dapat mengetahui bahan apa yang dimasukkan ke dalam masakan kegemarannya dengan hanya merasa sekali saja.

“Itu mama tak tahu, kena tanya adik, adik yang masak makanan tu tadi, mama tak menang tangan jadi dia bantulah,” jawab Datin Rafidah. Faizul terus sahaja memandang tepat ke arah Suraya dan Suraya mulai tak senang duduk.

“Maaflah Angah, kalau adik masak tak sedap, lain kali adik tak buat lagi,” hanya itu yang mampu keluar dari mulut Suraya. Suraya bersuara agak dalam ketakutan.

“Siapa cakap tak sedap, aku tanya jer!” jawab Faizul terus menyambung suapannya dengan wajah yang bersahaja. Faizal hanya tersenyum. Nasib baik kali ini Faizul tak buat hal seperti selalu terutamanya perkara yang melibatkan Suraya.

10 comments:

  1. BEST CRT NIE...DARI DULU LAGI SY SUKA BACA....nie versi edit ke?

    ReplyDelete
  2. Hehe...Terima kasih..teruskan menyokong karya Sha..a'ah..ini versi yang dah siap edit..hehe

    ReplyDelete
  3. Insya-Allah kalau tiada aral dan murah rezeki..akan menemui pembac awal tahun depan pula...namun bergantung juga pada keadaan..hehehe..sama2 la kita doakan k...hehehe...terima kasih..teruskan menyokong Sha =)

    ReplyDelete
  4. best sangat2 bca.. rsa puas.. hrap2 dpat smbung lgi.. ^_^

    ReplyDelete
  5. akak nk lgi...best sgat2..bler nk kluar dlm bntuk nvel

    ReplyDelete
  6. wah, best sangat kak Sha :D bila nak sambung?tak sabar laa nak tau sambungannya (:

    ReplyDelete
  7. benci dalam kerinduan.....@bluescarf

    ReplyDelete
  8. senyum sorang2 plak bila bca beberapa perenggan yg last tu.. :)

    ReplyDelete