Thursday, November 24, 2011

DIA SEGALANYA BAB 5

BAB 5

Suraya tergesa-gesa keluar dari bilik. Hari ini dia agak terlewat bangun dari tidur. Kerana terlalu banyak berfikir dia langsung tidak dapat melelapkan matanya semalaman. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bersembahyang Hajat Istikharah. Itulah saja jalan terbaik yang boleh dia lakukan. Moga-moga Allah memberikan dia petunjuk. Ternyata selepas bersembahyang hatinya berasa begitu tenang dan akhirnya dia tekad membuat keputusan. Keputusan untuk kebaikan semua.

Belum sempat dia menuruni anak tangga, dia terserempak dengan Faizul yang kebetulan sedang berjalan menuju ke tangga. Suraya tersenyum. Keputusannya malam tadi harus dipraktikkan dengan segera.

“Assalamualaikum Ngah, awal Angah bangun?” tegur Suraya bersahaja. Sempat juga dia menghadiahkan lelaki itu dengan sebuah senyuman manis. Semoga Allah mempermudahkan segala-galanya. Semoga hubungannya dengan Faizul akan bertambah baik.

“Hah! Waalaikummussalam! Aku dahaga nak turun minum!” hanya itu yang mampu dijawab oleh Faizul dalam keadaan yang masih terperanjat. Lain benar gadis itu dengannya pagi ini. Semalam Suraya bukan main takut lagi dengannya sehinggakan untuk memandang wajahnya pun gadis itu tidak berani.

“Oh ya Ngah, kalau Angah tak suka dengan hiasan bilik Angah tu, Angah ubahlah sendiri ek! Adik buat sekadar yang mampu je. Adik pergi dulu!” bicara Suraya sambil meneruskan langkahnya menuruni anak tangga.

Belum sempat Faizul mengeluarkan kata-katanya Suraya sudah hilang dari pandangan. Dia termenung sendirian di tangga. Apa kena dengan Suraya pagi ni? Detik hatinya, namun hatinya tiba-tiba berasa tenang mengingatkan senyuman manis yang dilemparkan oleh Suraya sebelum dia melangkah pergi. Faizul pula yang tersenyum sendirian.

Faizul berjalan menuju ke dapur. Kelihatan mamanya sedang menyiapkan sarapan di dapur. Nampaknya papanya masih belum ke pejabat. Sebenarnya dia sendiri tidak pasti pukul berapa waktu itu. Dia hanya ternampak sinaran cahaya matahari dari dalam biliknya lantas bangun dari katil dan masuk ke dalam bilik air, mandi dan menukar pakaian. Jam meja yang terdapat di tepi katilnya langsung tidak dipedulikan. Dia sebenarnya tidak dapat melelapkan matanya semalam. Mungkin masih belum biasa dengan masa di Malaysia.

“Papa tak pergi kerja lagi ke ma?” tanya Faizul.

“Sekarang baru pukul 7 pagi, kejap lagi papa pergilah kerja, yang Angah pagi-pagi lagi dah bangun kenapa? Biasanya kalau bab-bab bangun pagi Angahlah yang paling susah nak bangun!” tanya Datin Rafidah kembali. Faizul menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Dia sendiri pun dah lupa apa tujuannya turun ke dapur pagi-pagi begitu. Dia memang tidak menafikan bahawa dia memang liat untuk bangun tidur.

“Kalau baru pukul 7 pagi, kenapa Suraya tergesa-gesa tadi, dia ada kelas ke pagi ni?” tanya Faizul tanpa menjawab pertanyaan mamanya.

“Dia ada exam pagi ni, kalau tak silap mama pukul lapan, dia kena pergi awal sebab dia kena jemput kawan dia yang minta tumpang sebab motor dia rosak,” jawab Datin Rafidah tanpa banyak soal.

“Oh, ingatkan kampus dia tu jauh, sebab setahu Angah UM tak adalah jauh sangat dari sini, kawan dia tu lelaki ke perempuan?” tiba-tiba sahaja terpancul soalan tersebut dari mulut Faizul. Datin Rafidah hanya tersenyum dan membawa kopi panas ke ruang makan. Faizul mengikut mamanya dari belakang. Dia tidak puas hati selagi pertanyaannya tidak terjawab.

“Adik, nak tumpangkan kereta dia dengan lelaki yang tak ada hubungan kekeluargaan dengan dia! Jangan harap! Tentulah kawan dia tu perempuan,” jawapan Datin Rafidah sedikit sebanyak melegakan Faizul.

“Manalah tahu dia tumpangkan byfriend dia ke?” duga Faizul lagi. Di dalam masa yang sama mahu mengorek rahsia.

“ Adik? Adik ada teman lelaki? Kalau Angah nak tahu sampai sekarang adik tak pernah ada teman lelaki tau, tak tahulah kalau dia bohong dengan mama, tapi mama percaya sebab selama ni dia tak pernah bohong dengan mama, mama kadang-kadang tanya jugak dekat adik tu, kenapa dia tak ada teman lelaki, Angah nak tahu apa jawapan dia, sepanjang dia belajar dari zaman sekolah dulu sampailah ke universiti sekarang ni, tak ada seorang pun lelaki yang membuatkan jantung dia berdegup kencang dan dalam masa yang sama membuatkan dia resah, mula-mula mama ingatkan dia bergurau tetapi rupa-rupanya tidak, entahlah lelaki macam mana yang boleh buatkan jantung dia berdegup kencang mama pun tak tahu, mungkin macam Tom Cruise kot,” panjang lebar Datin Rafidah menjawab pertanyaan anaknya itu malahan sempat membuat kelakar. Faizul tersenyum. Jawapan yang diberikan oleh mamanya sudah cukup membuatkan hatinya bersorak girang walaupun wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“La, tu nak ke mana pula? Alang-alang dah turun jomlah bersarapan dulu!” panggil Datin Rafidah yang menyedari anaknya yang tengah itu tiba-tiba sahaja berjalan menuju ke tangga.

“Tak apalah ma, Angah tiba-tiba sahaja mengantuk, nak tidur,” jawab Faizul terus memanjat tangga. Dia bukan bergurau sebenarnya tetapi itulah hakikat yang sebenar. Matanya tiba-tiba sahaja rasa mengantuk. Keresahan hatinya malam tadi sedikit demi sedikit berkurangan.

*********************

Suraya melangkah masuk ke dalam bilik kuliah dengan senang hati. Perkara yang dibimbangkan olehnya selama ini semakin berkurangan walaupun tidaklah sepenuhnya. Apa yang dibimbanginya sekarang ini, bagaimana pula dengan reaksi Angahnya nanti. Walaupun sedikit sebanyak dia sudah melupakan peristiwa yang berlaku 8 tahun yang lepas tetapi bagaimana pula dengan abangnya yang kedua itu. Angahnya itu jenis lelaki yang suka sangat berdendam. Sejak dari kecil lagi dia menyedari akan hakikat perangai Angahnya itu.

“Assalamualaikum Su,” Fatima yang entah dari mana tiba-tiba sahaja muncul. Suraya menjawab salam tersebut dan tersenyum girang. Fatima lantas mengambil tempat duduk berhadapan dengan Suraya.

“Kau pergi mana tadi, kan aku dah cakap lepas exam terus saja jumpa aku kat cafe?” Tanya Suraya. Sebaik sahaja peperiksaan selesai Fatima terus sahaja menghilangkan diri, jadi Suraya mengambil keputusan untuk terus menuju ke cafe kerana waktu itu dia cukup dahaga dan lapar. Pagi tadi dia tidak sempat mengambil sarapan pagi semata-mata mahu cepat.

“Sorry, aku tak tahan la, aku pergi toilet, sakit perut!” Jawapan Fatima diterima Suraya tanpa banyak soal. Suraya meneguk tea panas yang baru sahaja dia beli tadi. Kuih yang dibelinya pula hanya separuh sahaja dia sentuh.

“Kau dah makan ke?” Tanya Suraya pendek.

“Pagi tadi aku dah makan dah, malas la nak makan lagi, aku nak minum jer, kau tunggu sini kejap ek, aku nak gi beli air kejap,” pinta Fatima, Suraya mengangguk sambil memerhatikan gelagat kawannya yang kadang kala kalut tak kira tempat.

“Hai Su,” Suraya agak terperanjat apabila ada seseorang datang menegurnya dari belakang. Dia menoleh lantas terpandang Izwan ataupun panggilan ringksnya Iwan. Suraya tersenyum dan membalas sapaan kawannya itu. Memanglah Izwan kawannya tetapi dia kurang gemar untuk berborak ataupun keluar dengan jejaka tersebut. Bukan apa jejaka itu memang menjadi rebutan di kampus itu, dengan rupa parasnya yang berdarah campuran belanda Melayu, sesiapa sahaja pasti tertawan. Dia turut akui pertama kali dia berjumpa dengan Izwan dia memuji ketampanan yang ada pada lelaki itu. Tetapi sekadar memuji.

“Kau dari mana?” Tanya Suraya. Panggilan kau dan aku lebih membuatkan dia selesa walaupun lelaki itu sering kali berbahasakan awak dan saya setiap kali berbicara dengannya.

“Saya dari library tadi, nak rujuk kembali soalan yang kita jawab tadi, tak puas hati la, susah!” jawab Izwan. Tanpa segan silu Izwan duduk berhadapan dengannya. Suraya tersenyum. Pelik, lelaki ini berbicara dengannya seolah-olah lelaki budiman tetapi nak duduk bersamanya di satu meja langsung tidak meminta kebenaran.
“Susah ke? Kau tak study kot?”

“Ish, mana ada, saya study tau, mungkin waktu tu otak saya blank sekejap, awak tak apa la, awak pandai,”balas Izwan sambil tersenyum. Dia cukup kagum dengan gadis yang sedang berhadapan dengannya di kala itu. Gadis secantik Suraya langsung tidak mempunyai teman lelaki walaupun hampir 4 tahun lebih dia berada di kampus tersebut. Tinggal enam bulan lagi mereka akan berada di semester akhir. Pertama kali dia terpandang Suraya adalah hari pendaftaran sewaktu mula-mula belajar di kampus ini, dia sudah meminati Suraya dalam diam. Tetapi satu sahaja yang membuatkan dia hanya memendamkan perasaannya kerana dia sudah mempunyai teman wanita yang sama-sama masuk dengannya di Universiti Malaysia tetapi mengambil jurusan kejuruteraan, tahun ini teman wanitanya itu sudahpun berada di semester akhir. Teman wanitanya itu pula seakan-akan dapat menghidu tentang perasaan yang terpendam yang ada dalam hatinya terhadap Suraya. Setiap kali dia cuba untuk mendekati Suraya pasti ada sahaja halangan daripada teman wanitanya itu.

“Masalahnya di sini bukan soal siapa yang pandai tetapi siapa yang kuat belajar, soalan tadi pun bukan ke kita dah berbincang dalam kelas-kelas yang lepas?” ujar Suraya bersahaja. Bukan dia cuba riak dan taksub kerana dia dapat menjawab kesemua soalan yang dikemukakan di dalam peperiksaan tadi tetapi dia bercakap perkara yang benar.

“Saya tahu la saya ni tak kuat belajar macam Su” tiba-tiba sahaja nada percakapan Izwan berubah. Suraya terdiam seketika. Takkanlah mamat ni merajuk dengan kata-kata dia kot. Bisik hatinya.

“Maaflah kalau aku buat kau terasa, aku tak ada niat pun, aku just beritahu yang betul,” beritahu Suraya. Dia memandang tepat ke arah Izwan yang hanya tertunduk. Tiba-tiba sahaja dia rasa bersalah. Dia tahu kadang-kadang dia bercakap tanpa fikirkan perasaan orang lain, itu adalah salah satu kelemahannya yang tidak dapat dia ubah sejak dulu.

Izwan mendongak memandang Suraya dan tersenyum. Entah kenapa dia terasa dengan kata-kata Suraya sebentar tadi. Suraya seakan-akan memerlinya yang sentiasa berkepit dengan teman wanitanya sekiranya terdapat kelapangan. Boleh dikatakan separuh dari kampus mengetahui tentang hubungannya dengan teman wanitanya. Mereka sering digelar ‘belangkas’ oleh sesetengah penuntut di situ.

“Saya tak terasa pun, mungkin betul apa yang awak cakap, saya kurang study, saya akui itu semua, entahlah saya pun tak tahu bila saya akan berubah, mungkin saya perlukan teman wanita seperti Su kot,”

Suraya ketawa kecil. Lucu dengan telatah Izwan, tadi bukan main monyok sampaikan dia rasa bersalah tetapi sekarang ni, sempat lagi dia bergurau. Suraya memandang Izwan yang sedang tersengeh ke arahnya bagaikan kerang busuk.

“Kau jangan Iwan, nanti tak pasal-pasal mengamuk Mila, aku tak tahu, jangan libatkan aku,”

“Alah, saya just gurau jer, takkan la tak boleh kot, Su kan suka bergurau, bukan saya tak tahu, Su kalau dengan Ima bila berjumpa ada saja lawak yang Su timbulkan, kadang-kadang saya rasa iri hati melihat Su gembira sangat bila dengan Ima, tapi bila dengan saya Su tiba-tiba sahaja jadi pendiam, kenapa? Su takut Mila marah ke?” tanya Izwan inginkan kepastian. Tetapi mungkin tekaannya tepat. Waktu mula-mula dahulu, teman wanitanya itu pernah datang berjumpa dengan Suraya dan memberikan amaran kepadanya, tetapi nasib baiklah Suraya bukannya gadis yang cepat melenting. Dia hanya mendiamkan diri dengan kata-kata pedas yang dilemparkan oleh teman wanitanya itu. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut Suraya waktu itu, hanya sekadar tersenyum lantas memberikan salam sebelum melangkah meninggalkan teman wanitanya dalam keadaan yang masih lagi bersisa kemarahan.

Apa yang paling mengagumkan Izwan, Suraya langsung tak memarahinya malah mereka berkawan seperti biasa. Dia pernah datang meminta maaf dengan Suraya di atas tindakan teman wanitanya tetapi Suraya tidak mahu menerima maafnya itu kerana katanya yang perlu meminta maaf adalah Mila, teman wanitanya bukannya dia. Sejak hari itu dia sudah mengetahui Suraya jenis gadis yang bagaimana. Dia kagum dengan gadis itu dan dia sering berkata di dalam hati bahawa sesiapa yang dapat memiliki gadis ini pasti bertuah.

“Bukan soal takut, tapi aku tak suka kecoh satu kampus semata-mata benda yang remeh, kau faham kan?”

“Ya, saya faham. Ok lah, saya pergi dulu, saya dah lewat ni, nanti tak pasal-pasal kecoh satu kampus dengan benda remeh macam yang awak cakapkan tadi,” ujar Izwan sambil tersenyum dengan penuh makna. Suraya mengangguk sambil tersenyum. Faham dengan perkara yang dimaksudkan oleh Izwan. Izwan berlalu dan berjalan dengan pantas sekali tanpa menoleh ke belakang. Suraya hanya menggelengkan kepalanya melihat telatah Izwan. Dia tidak tahu bagaimana kedudukan sebenar Izwan dengan teman wanitanya itu, nak kata dia tidak sayangkan Si Mila tu, tapi bukan main kalut lagi melangkah meninggalkan cafĂ©. Suraya pasti sudah tentu lelaki itu ada temujanji dengan teman wanitanya.

“Eh, Iwan nak ke mana tu laju semacam jer aku tengok,” Fatima yang baru sahaja selesai membeli bertanya. Suraya hanya memandang tanpa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Fatima. Kemudian dia tersenyum sendirian memandang Fatima sambil menggelengkan kepala.

“Ish, kenapa dengan kau ni aku tanya soalan bukannya dia nak jawab pertanyaan aku, tapi dipandangnya aku macamlah aku ni tengah buat lawak,” marah Fatima lantas menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Suraya.

“Memang kau buat lawak pun, aku dengar tadi bukan main lagi tak nak makan, dah makan sarapan kat rumah, tapi alih-alih aku tengok kau beli mee goreng lagi, kau ni tak reti kenyang ek?” tanya Suraya. Fatima hanya tersengeh. Memang pada mulanya dia tidak mahu makan memandangkan perutnya masih lagi terasa kenyang dengan sarapan yang diambilnya sebelum datang ke kampus pagi tadi tetapi apabila terpandang saja mee goreng yang masih panas perutnya tiba-tiba terasa lapar lantas dicedoknya mee goreng tersebut dan bayar tanpa banyak soal.

“Alah, takkanlah kau tak kenal dengan aku kan,”

********************

Faizul terbangun dari tidur. Dia melihat jam di meja tidurnya di sebelah katil. Sudahpun menunjukkan jam 12 tengah hari. Agak lama juga dia tidur. Dia menggeliat kemudian memandang kembali suasana di setiap sudut biliknya. Dia teringat kembali kata-kata Suraya pagi tadi. Rupa-rupanya gadis itu yang menghias kembali bilik tidurnya yang ditinggalkannya lima tahun dahulu. Dia tersenyum sendirian. Bagaimana gadis yang selama ini tidak pernah rapat dengannya selama ini boleh mengetahui citarasanya dengan tepat sekali. Malah gadis itu seakan-akan tahu semua warna kegemarannya dan penampilan yang disukainya.

Faizul bangun dan melangkah ke bilik air. Towel yang tersangkut berhampiran dengan bilik airnya dicapai. Dia perlu bersiap secepat mungkin. Dia sebenarnya bercadang untuk ke tempat yang selalu dikunjungi oleh dia dan teman-teman lamanya sewaktu remaja dahulu. Sebuah pub yang berkelas tinggi tersebut sering sahaja dikujunginya sewaktu remaja dahulu walaupun waktu itu mereka masih lagi di bawah umur.

Sebaik sahaja selesai bersiap Faizul keluar dari bilik dan pantas menuruni anak tangga. Dia terpandang mamanya yang sedang menyiapkan meja makan untuk makan tengah hari.

“Mama, Angah nak keluar la, boleh pinjam kereta mama tak?” Faizul bertanyakan soalan sebaik sahaja Datin Rafidah memandang ke arahnya.

“Nak ke mana pulak, mama dah siapkan makan tengah hari dah ni, lagipun Angah kan baru saja balik dari luar negara, Angah dah biasa ke jalan kat Malaysia ni?” Tanya Datin Rafidah yang agak bimbang dengan keselamatan anaknya itu.

“Betul kata mama tu Ngah, kau nak ke mana? Aku bawa kereta adik semalam pun dah rasa tak selesa dengan jalan kat KL ni, lagipun banyak jalan yang baru dibina, kalau tak ada adik semalam rasanya aku boleh sesat,” Faizal tiba-tiba muncul dari dapur bersuara.

“Alah Long, kalau sesat tanyalah orang, lagipun aku masih ingat lagi jalan ke tempat yang aku nak pergi ni, boleh la ma? Kejap jer, sebelum malam Angah balik la,” rengek Faizul meminta simpati daripada mamanya.

“Boleh tu boleh, tapi mama risaulah Ngah, kalau apa-apa terjadi kat luar nanti papa bising pulak,” beritahu Datin Rafidah yang masih lagi berkira-kira sama ada mahu melepaskan anaknya itu keluar seorang diri.

“Alah mama, boleh la, kejap jer!”

“Boleh percaya ke kau ni? Aku bukannya tak kenal dengan kau la Ngah, kau janji tak pernah nak tepati, ada je alasan kau kalau apa yang kau janji tu kau tak buat,” jampuk Faizal lagi. Faizul mencebik. Dia memang akui apa yang diberitahu oleh Alongnya itu ada kebenarannya. Memang dia agak sukar untuk menepati janji. Sekiranya berjanji ada sahaja halangan yang menghalang dia dari menepati janji tersebut.

“Angah janji mama, Angah akan pulang awal, sebelum malam,” Faizul mengangkat tangan kanannya dan melakukan seperti orang yang sedang berikrar.

“Ke mana Angah nak pergi sebenarnya ni?” soal Datin Rafidah sekali lagi apabila pertanyaannya masih belum terjawab. Faizul jadi serba salah. Kalau dia beritahu yang sebenarnya sudah tentu permintaannya itu akan ditolak mentah-mentah oleh mamanya.

“Adalah ma……mama please, Angah dah lewat dah ni,” Faizul bersuara seakan-akan merayu.

“Boleh tapi kena ada orang yang hantar, lagipun Angah dah lama tak memandu kenderaan kat Malaysia ni kan, stereng kereta kat sini sebelah kanan, Angah boleh bawak ke?” tiba-tiba Datin Rafidah mengingatkan Faizul tentang perkara tersebut. Faizul pula baru teringat. Dia akui dia agak janggal dengan keadaan di jalan raya Malaysia yang mana kenderaannya bergerak bertentangan arah dengan dengan jalan raya di England.

“Alah, nanti Angah biasa la ma” Rayu Faizul lagi.

“Masalahnya sekarang kau tak biasa Ngah, aku semalam pun bawa kereta macam orang yang baru belajar bawa kereta, nasib baik adik ada,” ujar Faizal yang bersetuju dengan pandangan mamanya yang bimbang akan keselamatan Faizul di atas jalan raya sekiranya permintan Faizul itu dipenuhi.

“Habis tu, takkan la nak suruh driver pula yang hantar, nanti kawan-kawan Angah cakap yang Angah berlagak sampai nak ke mana-mana pun driver yang hantar,”

“Bagus la tu, memang selama ni pun kau berlagak bukan?” perli Faizal. Memang adiknya itu seorang yang suka sangat menunjukkan kekayaannya. Selalu sahaja tunjuk yang dia mempunyai wang yang banyak. Sebab itulah ramai yang ingin mendampinginya, semata-mata untuk mendapatkan manfaat. Dia tahu tidak semua kawan adiknya itu jenis yang suka mengambil kesempatan. Tetapi kebanyakkannya adalah begitu.

“Kau ni, selalu saja nak cari gaduh ngan aku, ada saja yang kau buat yang menyakitkan hati tau tak! Mama, boleh ke tak ni?”

“Kan mama dah cakap tadi, boleh tapi kena ada orang yang hantar, Angah pilih sendiri sama ada nak pergi dengan driver ataupun……….

“Adik boleh hantarkan kalau Angah tak keberatan,” tiba-tiba sahaja Suraya yang baru muncul memotong kata-kata mamanya. Faizul memandang tepat ke arah gadis yang sedang tersenyum ke arahnya. Dadanya tiba-tiba berdegup dengan kencang melihat senyuman itu. Senyuman yang bersahaja dan menawan yang dirinduinya selama ini.

“Ni sejak bila pula adik jadi pengintip ni?” Soal Faizal tiba-tiba dan menyebabkan Suraya tersengeh. Dia tahu dia salah kerana dari tadi dia memerhatikan perbualan mamanya dengan dua orang abangnya itu.

“Maaf, adik tak bermaksud nak curi-curi dengar tapi tak sengaja, adik tengok macam ada masalah besar je, jadi adik perhatikan ajelah, manalah tahu perkara yang dibincangkan sebenarnya tak adalah besar sangat pun,” ujar Suraya.

“So….can we go now! I’m late!”

“Adik ke?”

“Habis tu, tadi kau jugak yang tawarkan diri kan, lebih baik kau yang hantar daripada aku pergi ngan driver,” bicara Faizul dan terus melangkah menuju ke pintu utama. Suraya memandang ke arah mamanya dan Datin Rafidah mengangguk tanda setuju.

“Adik bawa perlahan-lahan tau, jangan dengar cakap Si Angah tu kalau dia suruh bawa laju-laju, Along bukannya tak kenal dengan perangai Angah semua benda dia nak rush!”

“Insya-Allah!”Suraya tersenyum dan berlari anak menuju ke pintu.

*************************

Suraya hanya memfokuskan ke arah jalan raya sepanjang perjalanan. Sejak mereka keluar dari perkarangan rumah, masing-masing hanya mendiamkan diri. Faizul hanya memandang ke luar tingkap dan mengamati keindahan Bandar raya Kuala Lumpur yang sudah banyak berubah. Sekali sekala pandangannya beralih tumpuan ke arah Suraya yang tenang mengendalikan kereta yang dipandunya.

“So, berapa tahun lagi tinggal sebelum kau tamat kat universiti tu?”akhirnya suara Faizul kedengaran memecah kesunyian.

“Tinggal satu semester lagi,”Suraya hanya menjawab pendek. Sebenarnya dia masih lagi agak janggal untuk berbual mesra dengan abangnya yang tengah itu.

Faizul mengangguk tanda faham. Dia sendiri tidak tahu soalan apa yang harus dia tanya untuk berbual dengan gadis di sebelahnya itu. Sebenarnya banyak benda yang mahu ditanya. Kalau boleh semua perkembangan gadis itu dia mahu tahu tapi setelah berhadapan dengan gadis itu lidahnya jadi kelu. Perasaannya pula tidak dapat digambarkan. Macam-macam yang timbul. Adakah Suraya masih berkecil hati dengan tindakannya lapan tahun yang dulu? Adakah Suraya berdendam dengannya? Adakah Suraya membencinya sebagaimana dia menunjukkan perasaan bencinya terhadap gadis itu selama ini walaupun pada hakikatnya dia tidak pernah membenci gadis itu tetapi dia terpaksa. Kenapa? Biar dia sahaja yang tahu.

“Angah tak ada girlfriend lagi ke?” Tiba-tiba terpacul soalan tersebut dari mulut Suraya sehinggakan Faizul yang sedang memandang ke luar tingkap kereta menoleh memandang gadis yang sedang memulas stereng kereta.

“Kenapa kau nak tahu?”

“Sajer. Along dah ada buah hati, takkan Angah tak ada kot?” Soal Suraya lagi. Sebenarnya dia sendiri sedang menyumpah mulutnya yang lancar mengeluarkan soalan yang dia sendiri tidak menyangka langsung akan diajukan kepada abangnya yang selama ini tidak pernah rapat dengannya.

“Ada, ramai, ramai sangat sampai tak terkira!” Lancar sahaja Faizul menjawab sambil matanya tepat memandang ke arah gadis di sebelahnya. Dia mahu melihat reaksi gadis tersebut. Suraya hanya tersenyum, kemudian mengangguk tanda faham. Faizul yang sedang memerhatikannya terasa sedikit pelik, takkan la gadis itu tak mahu menyoalnya lagi memandangkan jawapan yang diberinya itu agak melampau.

“Kau tak rasa aku ni playboy ke?”Soal Faizul kembali memandangkan gadis itu hanya mendiamkam diri dan berpuas hati dengan jawapan yang diberikannya.

“Playboy?Apa sebenarnya istilah playboy, seorang lelaki yang mempunyai ramai teman wanita istimewa tetapi tak pernah serius dengan teman-temannya itu, tetapi jawapan yang Angah berikan tadi terlalu umum, tidak memfokuskan apa-apa, Angah cakap angah ada ramai teman wanita sampai tak terkira, tetapi Angah tak cakap pun yang teman wanita Angah tu teman yang istimewa, dan Angah juga tak beritahu yang Angah serius mahupun tidak dengan teman wanita Angah tu, jadi kenapa adik nak cakap yang Angah ni playboy, ya tak?” Dengan bersahaja Suraya menjawab pertanyaan Faizul dan menyebabkan Faizul tersenyum sendirian namun dia tak tunjukkan senyumannya itu. Gadis itu tidak pernah berubah. Ada sahaja jawapan yang dia berikan dan membuatkan orang yang bertanyakan soalan sudah tidak mampu lagi untuk menyangkal kata-katanya.

“Kalau aku cakap yang aku ni serius dengan semua teman wanita aku tu, dan aku tipu dia orang dan menyatakan hanya dia orang sahaja dalam hati aku sedangkan itu semua bohong belaka macam mana? Adakah aku ni dikategorikan sebagai playboy?” Faizul tidak berpuas hati. Dia cuba untuk menguji setahap mana kepetahan Suraya menjawab setiap soalan yang diajukan kepadanya.

“Entah, tiada jawapan untuk itu, tapi satu sahaja yang adik boleh beritahu, seorang lelaki yang suka sangat mengecewakan hati ramai gadis dia sebenarnya masih mencari, mencari teman yang dia betul-betul cintai, teman yang boleh membuatkan dia rasa tak senang duduk apabila berhadapan dengan gadis tu, jantungnya akan berdebar, tutur katanya pula tak pernah betul, dan ada pula sesetengah daripada mereka hanya suka mendengar gadis yang dia cintai itu berbicara daripada dia sendiri berbicara, dia lebih suka menjadi pendengar yang setia. Angah pernah rasa itu semua ke dengan mana-mana gadis, kalau ya, bersiap sedialah, mungkin itulah teman sehidup semati Angah,” Suraya tersenyum memandang ke arah Angahnya. Kemudian dia memfokuskan semula ke arah jalan raya.

Faizul yang mendengar kata-kata Suraya tiba-tiba berdehem dengan kuat. Dia membetulkan kedudukannya. Tiba-tiba sahaja dia seperti terkena dengan bait bicara gadia itu sebentar tadi. Perasaanya ketika itu pula hanya Tuhan saja yang tahu. Jantungnya berdegup kencang dan dia pasti mukanya dia kala itu merah. Nasib baik Suraya tidak memandang tepat ke arahnya dan hanya memfokuskan ke arah jalan raya.
Kemudian masing-masing kembali menyepikan diri.

“Jadi maksudnya, Angah ni tak ada teman istimewa lagi la,” Suraya kembali bersuara setelah beberapa minit mereka mendiamkan diri. Faizul hanya mendiamkan diri. Mengangguk pun tidak, geleng pun tidak.

“Kau pula, belajar tak habis lagi takkan dah ada teman lelaki kot?”

“Apa kena mengena teman lelaki dengan belajar pulak? Tak salah ada teman lelaki walaupun masih belajar, asalkan kita pandai membahagikan antara masa bercinta dengan masa belajar, teman lelaki tak hilang, pelajaran pun ok,” Suraya tidak berfikir panjang untuk menjawab pertanyaan Angahnya itu.

“Jadi maksudnya kau dah ada teman lelaki la ni?” Faizul mulai resah dengan jawapan yang diberikan oleh Suraya. Jantungnya berdegup kencang menanti jawapan yang akan diberikan oleh gadis itu.

“Ada adik cakap yang adik ada teman lelaki? Tak ada kan, adik belum bersedia untuk itu semua, cinta kadang-kadang boleh datang sendiri walaupun tanpa berusaha, tapi cita-cita tak akan tercapai sekiranya kita hanya duduk diam tanpa buat apa-apa, jadi buat apa nak kejar cinta, kalau cita-cita belum tahu ke mana, jadi itu juga tak bermaksud adik akan menolak sekiranya satu hari perasaan cinta itu datang dalam diri adik terhadap seorang lelaki walaupun adik masih belajar, kesimpulannya, biar Tuhan yang tentukan,”

“Kau ni medict student ke ataupun budak sastera, bercakap mengalahkan orang berkarya,”Soal Faizul. Jauh di sudut hatinya dia kagum dengan gadis itu. Perasaannya pula sedikit tenang.

Suraya memberhentikan keretanya di depan sebuah pub yang agak eklusif melihatkan pintu masuknya yang mempunyai rekaan yang agak menarik. Dia memandang Faizul di sebelah mahukan kepastian adakah tempat yang dibawanya itu seperti yang dikehendaki oleh abangnya itu. Faizul kelihatan memandang tepat ke arah pub tersebut kemudian memandang ke arahnya semula.

“Ok! Thanks! Aku nak kau.......

“Ok!”

“Apa yang ok?”

“Angah tak mahu orang kat rumah tahu Angah ke mana kan? Insya-Allah selagi adik mampu rahsiakan, lagipun ini pub, bukannya night club,” Suraya bersuara sambil tersenyum. Faizul pula hanya mengangguk tanpa sebaris senyuman sekalipun. Suraya merengus di dalam hati, sepanjang Faizul balik dari luar negara semalam, Faizul tak pernah tersenyum kepadanya. Apatah lagi nak bergurau senda macam Alongnya.

Faizul keluar dari perut kereta dan berjalan menuju ke arah pub tersebut. Tiba-tiba ada orang mencuitnya dari belakang.

“Joe, woi! Bila kau balik? Tak beritahu aku pun, blah la kau, balik Malaysia pun tak nak beritahu kawan baik sendiri,” seorang lelaki yang sebaya dengan Faizul bersuara lantang.

“Aku saja nak buat kejutan kat kau, kau tak kerja ke? Awal dah sampai ke mari?” Tanya Faizul dengan wajah yang girang.

“Aku sebenarnya........

“Angah, balik nanti................

“Tak apa, aku balik sendiri!”

Suraya sudah berdiri di luar kereta. Gara-gara inginkan kepastian sama ada lelaki itu mahu dia menjemputnya untuk pulang nanti, Suraya terpaksa melangkah keluar dari perut kereta memandangkan Faizul sudah agak jauh berjalan meninggalkannya.

“Ok!” jawab Suraya pendek lalu melangkah masuk ke dalam perut kereta.

*****************

Faizul beriringan masuk ke dalam pub yang sudah lima tahun dia tinggalkan. Pub itu sudah banyak berubah terutamanya dari segi hiasan dalaman. Bertambah menarik mengikut peredaran masa.

“Kau datang waktu sekarang, macam mana nak jumpa dengan kawan-kawan kita, mereka semua kerja, aku kalau tak hari ni kau ponteng kerja, kau pun tak dapat nak jumpa aku rasanya,” bicara Deraman dan mengajak Faizul duduk di tengah-tengah pub tersebut.

“Kau kerja dengan sapa yang boleh ponteng suka-suka hati ni ha?” Soal Faizul sambil menepuk bahu satu-satunya sahabat yang paling dia percayai.

“Dengan pak cik aku, malas la, hari-hari asyik mengadap akaun syarikat jer, jadi aku ponteng la satu hari, aku bagilah alasan yang aku ni sakit,” Deraman menjawab dengan bersahaja tanpa rasa sedikit pun rasa bersalah. Setahu dia Deraman hanya mempunyai seorang sahaja bapa saudara. Bapa saudaranya itulah yang menyekolahkannya selepas dia kematian ayahnya akibat kemalangan jalan raya. Ibunya pula hanya suri rumah dan tidak mampu untuk menyekolahkan Deraman.

“Tak pernah nak berubah, macam zaman sekolah dulu jugak, asal malas pergi sekolah, kau bagi alasan yang kau ni sakit, yang tak tahannya mak kau mati-mati percaya yang kau ni sakit, sebut pasal mak kau ni, mak kau sihat?”Tanya Faizul.

“Alhamdulillah sihat, tapi aku tak tinggal dengan dia la, aku sewa kondo, pak cik aku juga yang rekemenkan, mak aku tinggal ngan adik-adik aku je la, ish! Asyik cerita pasal aku jer? Kau pulak? Ejal macam mana? Sihat?”

“Abang aku tu, sihat, tetap macam dulu, susah nak bersosial, tempat-tempat yang macam ni manalah dia nak datang,”

“Baguslah tu, sekurang-kurangnya abang kau tak jadi setan macam kau!”

“Setan kau! Kau panggil aku setan ek, kalau aku setan, kau tu bapak setan tau!”

Deraman mengangkat tangan memangil pelayan. Tekaknya mulai terasa dahaga. Faizul hanya memesan segelas coc dan Deraman pula hanya jus oren sama seperti dulu, Deraman kurang minum minuman bergas.

“Hah! Aku baru teringat, gadis yang panggil kau Angah tadi, itu Suraya kan?” tanya Deraman. Faizul hanya mengangguk.

“Siot!” Deraman bersuara kuat menyebabkan Faizul sedikit terperanjat.

“Apasal pulak?”

“Cantik siot! Berubah giler, aku pun boleh terpikat kalau macam tu, patutlah kau....

“Stop it! I’ll try to forget abaut it! Lupakan saja apa yang aku beritahu kau lapan tahun dahulu, aku tak mahu ingat semua benda tu, kau pun tahu kenapa aku beria-ria sangat nak ke luar negara kan?”

“Ok! What ever you say my friend!”

Faizul mendiamkan diri seketika apabila pesanan mereka baru sahaja sampai. Dia mengeluh dan mencapai minuman yang dipesannya dan dihirup perlahan.

“Jadi, kau dah berjaya lupakan semua tu?” Deraman memandang tepat ke arah Faizul. Satu-satunya sahabat yang banyak menolongnya ketika dia di dalam kesusahan. Sahabat yang tidak pernah mengungkit apa sahaja yang telah dia hulurkan. Hanya dia yang mengenali Faizul sepenuhnya. Kalau orang yang tidak rapat dengan Faizul pasti menganggap Faizul adalah seorang lelaki yang berlagak dengan harta kekayaan bapanya. Tetapi tidak bagi Deraman, Faizul adalah seorang sahabat yang cukup sempurna di matanya. Mungkin Faizul sedikit liar, tetapi dia tidak pernah mempengaruhi orang lain. Dia tidak pernah memaksa sahabatnya untuk mengikut apa yang dia lakukan sekiranya sahabatnya menolak.

“Kau ni memang tahu tak? Ada saja soalan yang kau tanya nak suruh aku ingat balik benda tu,” bicara Faizul sambil memandang tajam ke arah satu-satunya sahabat yang tahu banyak rahsia hidupnya dan ahli keluarganya. Dia terlalu percayakan lelaki itu. Setakat ini Deraman masih belum lagi mengkhianati kepercayaan yang diletakkan kepadanya.

“Sorry! Kalau kau tak nak beritahu pun tak apa, aku tak paksa pun,”

“Susah aku nak cakap Man, makin aku cuba, benda tu makin menghantui aku, makin aku nak lupakan dia, nama dia makin melekat kat sini kau tahu tak!” Faizul memukul lembut dadanya. Kemudian mengeluh panjang. Deraman mengangguk mengerti. Dia juga tahu mengapa Faizul seakan-akan menyepikan diri setelah ebrada di luar negara. Malah dengan dia sendiri pun lelaki itu jarang berhubung kecuali pada masa-masa tertentu.

“Aku rasa kau tak patut nak mengelakkan benda tu, lagipun apa yang kau rasa tu, bagi aku tak salah, langsung tak salah!” bicara Deraman dengan penuh simpati.

“Kau cakap senang, tapi aku yang menanggungnya, sakit, pedih, sampai kadang-kadang aku rasa macam nak mati, aku cuba untuk mengelak tapi sampai bila? Benda ni takkan selesai, sampai aku jumpa orang lain yang boleh membuatkan aku lupakan dia, tapi ada ke orang yang mampu buatkan aku lupakan dia?” keluhan demi keluhan yang dilepaskan oleh Faizul. Deraman pula bersimpati dengan kawan karibnya itu. Baginya benda ini tak akan rumit sekiranya orang yang dimaksudkan oleh Faizul juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Faizul.

“Joe! Is that you! I miss you so much!” tiba-tiba perbualan mereka diganggu oeh seorang wanita yang mempunyai pakej yang cukup untuk menjadi seorang model. Dengan tubuhnya yang ramping, pakaiannya yang seksi, mukanya tak usah dicakap memang cantik.

Faizul dan Deraman berpandangan. Deraman memandang Faizul dengan penuh makna manakala Faizul hanya tersenyum sambil menjungkit bahu.

*************

Suraya yang sedang berbual mesra dengan Alongnya di taman dikejutkan dengan deruman kereta sport bewarna merah di luar pagar banglo papanya. Mereka serentak menjenguk ke luar, walaupun mereka hanya mampu melihat keretanya sahaja, tetapi masing-masing sudah dapat mengagak siapa yang bakal keluar dari perut kereta tersebut. Tekaan mereka tepat apabila Faizul yang keluar dari perut kereta itu. Suraya tersenyum, begitu juga dengan Faizal.

“Awal kau balik Ngah, pandai pulak kau tepati janji hari ni?” sindir Faizal apabila adik kembarnya itu berjalan melintasi taman di hadapan banglo mewah papanya. Faizul menoleh, dia sebenarnya dari tadi sedar yang Suraya dan abangnya sedang berbual di taman, tetapi dia pura-pura tidak nampak, dia malas nak menegur, tetapi harapannya meleset apabila abangnya itu menyapa dengan sapaan yang menyakitkan hatinya.

“Kau ni kan Long, aku tepati janji tak boleh, kalau aku tak tepati janji lagilah tak boleh, ada je benda yang kau tak puas hati dengan aku,”

“Aku bukannya tak puas hati, saja terkejut, biasanya kau susah nak tepati janji. Tapi hari ni boleh pulak kau balik awal seperti kau janji ngan mama tadi, baguslah, jangan hari ni saja kau tepati janji kau, lain kali kau buat lagi, tu pun nak marah ke?” bicara Faizal. Kenapa kata-katanya selalu disalah tafsirkan oleh adiknya. Dia sayangkan adik kembarnya itu walaupun sayangnya itu jarang sangat dia tunjukkan.

“Ah, malaslah aku nak layan kau Long, aku nak naik atas mandi, lagi bagus!” ujar Faizul sambil melangkah menuju ke pintu banglo.

“Yalah, jangan lupa sembahyang Asar sekali, Asar dah nak habis dah ni!”
Faizul hanya meneruskan langkah tanpa menghiraukan kata-katanya abang kembarnya itu. Malas dia nak cari gaduh. Dia sendiri tak faham dengan pergaulannya dengan abangnya itu. Kadang-kadamg mereka selalu bertekak, ada sahaja perkara yang mereka tidak sependapat, tetapi kadang-kadang juga dia boleh melepak dengan abangnya sambil berbual kosong tentang pelbagai topik.

“Along ni, tak habis-habis nak pancing kemarahan Angah!” Suraya bersuara sebaik sahaja Faizul hilang dari pandangannya.

“Along beritahu benda betul apa!”

“Yalah! Tapi tengok situasi la, dia baru balik, penat lagi, nanti tak pasal-pasal pulak ada jugak peperangan meletus!”

“Amboi! Ni sejak bila pandai sangat bercakap ni ha!” Faizal membalas sambil menarik hidung mancung adiknya. Suraya ketawa riang, diikuti pula dengan Faizal.

Faizul melangkah masuk ke dalam bilik. Tiba-tiba sahaja dia merasakan angin yang bertiup di balkoni biliknya panas. Dia dapat melihat dengan jelas kemesraan yang terpacar di antara abangnya dengan Suraya, dan dia betul-betul benci melihat itu semua.

1 comment: