Thursday, November 24, 2011

DIA SEGALANYA BAB 6

BAB 6

Suraya melangkah turun dari biliknya menuju ke dapur, begitu pantas masa berlalu, sudah sebulan abang-abangnya balik ke tanah air. Seperti yang dijangkakan, dia hanya mampu rapat dengan Alongnya sahaja sedangkan Angahnya seakan-akan mahu mengelak daripadanya. Hanya sekali sekala sahaja mereka berbual. Itupun hanya sekadar bertegur sapa. Dia sebenarnya langsung tidak faham perangai sebenar abangnya yang tengah itu. Kadang kala Faizul menjawab mesra setiap kali dia menegur, tetapi kadang kala Faizul seakan-akan sinis menjawab tegurannya. Seperti ada kesalahan yang dia lakukan yang menyebabkan lelaki itu memarahinya.

Suraya melangkah perlahan di dalam keadaan yang agak gelap dan hanya bertemankan lampu hiasan yang terlekat di dinding rumahnya. Tiba-tiba sahaja dia terasa dahaga yang teramat sangat. Kepalanya pula sedikit pening dan meminta untuk dia mengambil ubat agar peningnya itu dapat dikurangkan.

Suraya terus sahaja menuang air kosong ke dalam gelas yang diambilnya tadi. Air tersebut diteguk perlahan. Kemudian dia mengambil dua biji panadol lantas ditelannya. Dia memejamkan matanya untuk menghilangkan rasa pening kepalanya yang kadang-kadang terasa perit sangat.

“Kau sakit ke?” tiba-tiba terdengar suara garau menegurnya. Suraya terperanjat. Dia terpandangkan seorang lelaki yang bertubuh sasa yang sedang berdiri di muka pintu ruang dapur. Lantas Suraya mencapai tuala kecil yang terdapat di bahunya dan terus menutup kepala. Nasib baik dia sentiasa bertemankan tuala tersebut sekiranya dia tidak memakai tudung apabila berada di dalam rumah.

Faizul memandang Suraya sambil tersenyum, kenapa gadis itu cukup mengambil kira soal aurat walaupun berada di dalam rumah sendiri. Tetapi yang sebenarnya dari tadi dia memerhatikan gerak geri Suraya. Rambut Suraya yang panjang dan lurus tu sudahpun dilihatnya. Cuma dia sahaja malas nak menegur, dia tahu gadis itu tidak selesa dengannya, nanti tidak pasal-pasal kalau dia menegur, Suraya terus mematikan niatnya untuk minum di dapur. Jadi dia mengambil keputusan untuk memerhatikan sahaja. Setelah dia lihat Suraya sudah selesai minum dan mengambil ubat barulah dia membuat keputusan untuk menegur.

“Angah buat apa kat dapur malam-malam buta ni?”tanya Suraya dalam nada gugup. Rasa terperanjatnya masih belum lagi hilang. Apa tidaknya, tiba-tiba dia ditegur tanpa salam. Siapa yang tidak terkejut?

“Macam kau jugak, nak minum, dalam masa yang sama aku lapar, ingatkan nak cari sesuatu yang boleh dimakan kat dapur ni,”ujar Faizul. Sememangnya perutnya lapar waktu itu. Malam tadi dia pulang agak lewat, terlepas makan malam, bila mamanya menyoal sama dia dia sudah makan ataupun belum, dia berbohong dengan menjawab dia sudah makan dengan kawan-kawannya di luar.

“Apa yang ada, kalau lauk makan malam tadi adalah, Angah nak makan ke, adik boleh tolong panaskan,” Suraya mempelawakan dirinya untuk menolong. Ini sahajalah peluangnya untuk merapatkan kembali hubungannya dengan Angahnya itu.

“Boleh jugak, aku memang lapar sangat ni, tapi tak susahkan kau ke? Aku tengok kau macam tak sihat jer!”

“Adik pening sikit jer, mungkin tak cukup tidur, dah makan ubat dah, sekejap lagi ok la, lagipun adik tolong panaskan saja, bukannya perlu masak,” beritahu Suraya sambil membuka peti sejuk yang khas untuk menyimpan makanan sahaja. Semua lauk makan malam yang masih ada dikeluarkan. Yang mana boleh dipanaskan dengan menggunakan microwave, dia terus memasukkan makanan tersebuat ke dalam microwave. Cuma tinggal gulai lemak cili api ikan masin sahaja yang dipanaskan semula dengan menggunakan dapur gas.

Faizul hanya memerhatikan sahaja tingkah laku Suraya. Dia lebih suka memerhati gadis itu daripada berbual. Suraya sendiri pun seakan-akan sudha untuk berbual dengannya. Dia tahu dia tidak pandai nak bergurau senda dengan Suraya seperti yang selalu dilakukan oleh Alongnya. Alongnya mampu membuatkan Suraya ketawa girang, bertepuk tampar, sedangkan dia tidak pernah pun ketawa bersama dengan gadis itu apatah lagi bertepuk tampar. Sentuh tangan Suraya pun dia tidak pernah. Kecuali masa kecil-kecil dahulu dia terpaksa memimpin tangan Suraya apabila disuruh oleh mama dan papanya.

“Jadi tadi, Angah bohong degan mama la yang Angah cakap Angah dah makan dengan kawan kat luar?” Soal Suraya. Sewaktu Faizul pulang malam tadi, dia sedang menonton dengan ahli keluarganya yang lain di ruang tamu.

“Aku tak nak susahkan mama,” jawab Faizul pendek. Dia melihat Suraya mengangguk faham. Tangan gadis itu pantas sahaja membuat kerja. Satu demi satu lauk yang selesai dipanaskan dihidangkan di atas meja. Cuma tinggal nasi sahaja yang baru selesai dipanaskan dan dicedok oleh Suraya ke dalam pinggan dan diletakkan di hadapannya. Melihatkan hidangan yang terdapat di atas meja, Faizul tersenyum, perutnya yang dari tadi lapar dirasakan makin lapar.

Lantas dia menuju ke singki dan mencuci tangan. Apabila dia kembali duduk di kerusi di hadapan meja makan kecil di dapur, dia melihat Suraya mengeluarkan air oren dari dalam peti ais.

“Angah makan la, adik nak naik atas, adik nak sambung study,” beritahu Suraya tanpa berselindung. Sememangnya tadi dia sedang mengulangkaji pelajarannya. Sejak dia masuk ke tahun akhir dia merasakan beban belajar semakin berat.

“Tadi kau cakap, kau pening, mungkin sebab tak cukup tidur, apa kata kalau kau naik kau tidur, rehatkan badan, dalam masa yang sama boleh rehatkan otak, memang belajar tak salah, tapi jangan melampaui batas, nanti bertambah serius pulak sakit kau tu, belajar kuat macam mana pun, kalau badan dengan otak letih, kau tak dapat jawab jugak bila time exam,” panjang lebar sahaja Faizul menasihati Suraya. Itu adalah berdasarkan pengalamannya. Dulu, dia hanya belajar 4 jam sahaja dalam satu hari. Malah malam dia tidak pernah belajar. Dia hanya keluar bersuka ria dengan kawan-kawannya ataupun tidur.

“Ok! Terima kasih, hari ni baru adik rasa yang adik ada seorang lagi abang, selamat malam Angah, nanti bila lepas makan, Angah tinggalkan ajelah, esok pagi Mak Mah boleh cuci,” beritahu Suraya sambil melemparkan senyuman ke arah Faizul dan terus melangkah keluar dari dapur.

“Abang? Kau tak tahu betapa peritnya aku untuk menerima hakikat itu,”bicara Faizul sendirian. Kemudian dia memandang nasi dan lauk yang terhidang di hadapannya. Dia kembali tersenyum dan terus mengisi perutnya yang diminta untuk diisi sejak dari tadi.

2 comments:

  1. errrmmm....@bluescarf

    ReplyDelete
  2. salam....

    sha,cite ni y dh siap edit tuk d htr mnskrip ny kn??

    tp akak bc, still ada y slah ejaan...kna cek btul2 dlu sblm htr mnskrip ek....

    ReplyDelete