Thursday, November 24, 2011

DIA SEGALANYA BAB 7

BAB 7

Faizul bangun dari tidur yang lena. Semalam perutnya cukup kenyang diisi sehinggakan sebaik sahaja dia selesai makan tiba-tiba sahaja matanya terasa mengantuk.

Dia membuka sliding biliknya dan berjalan menuju ke balkoni. Matanya terasa sedikit silau kerana cahaya matahari sudahpun menegak di kepala. Dia mengagak mungkin waktu itu hampir tengah hari. Kenapa tiada sesiapa pun yang mengetuk biliknya untuk mengejutkan dia tidur.

Dia berjalan kembali masuk ke dalam bilik. Kemudian dia masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Dia perlu segera menyiapkan diri kerana selepas makan tengah hari, seseorang akan menjemputnya untuk keluar. Walaupun dia sudah menyesuaikan diri dengan keadaan jalan raya di Malaysia namun dia belum tahu selok belok jalan raya bandar Kuala Lumpur yang agak memeningkan.

Sebaik sahaja selesai menyiapkan diri, Faizul terus melangkah menuju ke tangga dan turun. Dia berjalan menuju ke dapur kerana perutnya mulai terasa lapar kembali dan minta untuk diisi. Kelihatan mamanya bersama orang gaji kesayangan keluarga sedang bertukus lumus untuk menyiapkan makan tengah hari.

“Kenapa mama tak kejutkan Angah?” Faizul bertanya. Datin Rafidah menoleh dan tersenyum. Dia berjalan menuju ke arah anaknya itu yang sudahpun duduk di meja makan yang berada di ruang dapur. Tangannya pantas mencapai cawan dan menuangkan tea panas yang tersedia ada di atas meja dan dihulurkan kepada anaknya. Faizul hanya menyambutnya tanpa banyak soal.

“Bukan mama tak nak kejut tapi pagi tadi sebelum adik ke kampus dia cakap Angah tidur lewat semalam, jadi mama tak naklah kejutkan Angah, takut nanti kalau mama kejutkan Angah awal-awal, Angah marahkan mama pulak,” jawab Datin Rafidah dan terus menyambung semula kerjanya. Dia perlu menyiapkan makan tengah hari kerana suaminya telah memaklumkannya dari awal lagi untuk pulang dan makan tengah hari di rumah.

Faizul mengangguk faham dan terus melangkah menuju ke arah peti sejuk. Jus oren yang sudah tersedia ada di dalam peti sejuk dikeluarkan. Dia mengambil gelas dan terus dituangkan. Kemudian dia kembali duduk di meja makan dan meneguk jus oren tersebut tanpa sepatah kata. Datin Rafidah yang sempat memerhatikan anaknya itu hanya tersenyum dan menggelengkan kepala. Perangai anaknya yang seorang ini tidak pernah berubah. Anaknya itu memang gemarkan air yang sejuk dan dingin. Hanya waktu-waktu tertentu sahaja anaknya itu akan minum minuman panas. Macam manalah tadi dia boleh terlupa dengan kegemaran anaknya yang satu itu.

“Ma, papa balik makan tengah hari ek?”Tanya Faizul.

“Ya, kenapa? Angah nak keluar lagi ke petang ni, anak mama ni nak ke mana lagi, hari-hari keluar, nanti kalau kerap sangat papa bising,” Datin Rafidah seakan-akan dapat mengagak dengan pertanyaan anaknya itu. Dia tahu anaknya itu sedikit takutkan suaminya. Sekiranya suaminya berada di rumah pasti anaknya itu susah untuk keluar. Bermacam-macam alasan yang terpaksa diberikan untuk mendapatkan kebenaran papanya.

“Jalan-jalan je ma, lagipun boring la duk kat rumah,” rungut Faizul.

“Kalau dah boring sangat kenapa tak ikut Along ke pejabat tolong papa?” Tanya Datin Rafidah sambil memandang tepat ke arah anaknya itu. Faizul terkena dengan alasannya sendiri. Abangnya sudah seminggu mula bekerja dengan papanya. Manakala dia menolak dengan alasan dia masih belum puas untuk berehat.

“Alah, Angah tak puas rehat lagi la mama, lagipun Along kan ada, nanti bila Angah dah sedia Angah pergilah kerja, bukannya Angah tak nak kerja langsung cuma Angah belum bersedia lagi,” jawab Faizul. Sememangnya itu adalah kebenarannya. Dia masih belum puas ‘enjoy’ bersama-sama teman-teman yang ada di Malaysia. Dia tahu sekiranya dia mula bekerja di syarikat papanya sudah pasti jadual hariannya padat. Dia bukan tidak berminat untuk menolong papanya cuma dia masih belum bersedia. Dia dengan Alongnya memang minat dengan dunia perniagaan. Mungkin terlalu didedahkan dengan dunia tersebut sejak dari kecil lagi. Sebab itulah setelah tamat sekolah dia dan abang kembarnya bersetuju untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dalan bidang perniagaan.

“Habis tu, sampai bila baru Angah puas enjoy, Angah, dah banyak kali kan mama pesan jangan banyak sangat enjoy, nanti Angah jadi malas tahu tak, cuba Angah tengok Along, dia bukannya tak pernah keluar dengan kawan-kawan dia tapi ada masa-masa tertentu, kalau setiap hari asyik nak suka-suka saja, kelak diri Angah sendiri jugak yang rugi, tak ke mana enjoy tu, sekadar nak mengisi masa lapang bolehla,” bicara Datin Rafidah lembut. Dia terpaksa menggunakan nada yang rendah untuk anaknya yang seorang ini. Bukannya dia tidak kenal dengan anaknya yang tengah itu. Anaknya itu cepat sangat melenting sekiranya tersilap tegur. Silap hari bulan kalau tersilap menegur anaknya itu akan memberontak. Dia tahu anaknya yang kedua ini walaupun sudah berusia 26 tahun tetapi perangainya masih belum dapat diteka. Kadang-kadang dia bersifat matang tetapi ada kalanya juga anaknya itu seakan-akan masih remaja yang perlukan layanan yang tertentu.

“Nanti la mama, kalau Angah dah bersedia, Angah akan pergi pejabat papa tu, mama jangan la bimbang, cuma sekarang ni, Angah nak enjoy sikit je lagi, nanti kalau Angah dah kerja dengan papa, Angah mungkin tak ada masa nak lepak dengan kawan-kawan Angah lagi,” jawab Faizul bersahaja lantas menghabiskan sisa minumannya dan bangun melangkah menuju ke ruang tamu.

Datin Rafidah memerhatikan anaknya sambil menggelengkan kepala. Dia berharap sangat kata-kata anaknya itu akan ditunaikan nanti. Bukan dia tidak tahu, anaknya yang tengah itu akan memberikan bermacam-macam alasan untuk mengelak dirinya dari terus membebel.

********************

Faizul termenung sendirian di dalam pub yang sering dikunjunginya. Suasana yang agak sunyi bertemankan muzik yang perlahan dan menenangkan membuatkan dirinya teringat kembali peristiwa yang lampau. Gadis yang menemani dirinya sebentar tadi meminta diri ke tandas memberikan dirinya peluang untuk mengingati memori lama yang sekali sekala membuatkan dirinya dihantui rasa bersalah yang teramat sangat.

“Angah, adik pun nak satu layang-layang macam tu?” Suraya mulai merengek apabila melihat layang-layang yang baru disiapkan olehnya naik ke udara.

“Tak boleh, kalau kau nak kau buatlah sendiri, ataupun kau suruh saja Along yang buatkan, aku malas,” suaranya agak keras. Suraya hanya mendiamkan diri dan terus memandang ke arah Alongnya dengan wajah sedih.

“Tak apa, kalau Angah tak nak buatkan untuk adik, Along boleh buatkan, lagipun bukan Angah saja yang pandai buat layang-layang Along pun pandai,” Alongnya menjawab sambil memandang tajam ke arahnya. Waktu itu dia hanya memandang Alongnya tanpa sekumit pun perasaan bersalah. Dia tidak sukakan Suraya. Suraya terlalu dimanjakan oleh mama dan papanya. Walaupun waktu itu umurnya baru sahaja berusia 12 tahun namun perasaan cemburunya terhadap Suraya semakin menjadi-jadi.

“Tak apa lah Along, adik pun bukannya suka sangat nak main layang-layang tu, jom Along, adik nak balik, adik penatlah,” ajak Suraya. Alongnya tanpa banyak soal terus sahaja membawa adiknya pulang. Namun Faizul masih ingat dengan jelas bagaimana Suraya masih sempat mendongak dan memandang layang-layangnya yang masih terbang di udara. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia sangat membenci adiknya itu sedangkan waktu itu dia masih belum mengetahui bahawa Suraya itu bukan adik kandungnya.

“Maafkan aku Suraya, aku sendiri langsung tidak mengerti waktu itu kenapa aku harus bersifat kejam pada kau,” bicara Faizul sendirian. Air matanya hampir jatuh membasahi pipi namun sempat ditahannya. Dia menarik nafas sedalam mungkin untuk menghilangkan rasa sedihnya sebelum kedatangan gadis yang datang bersamanya tadi.

“Joe, apa kata minggu depan kita pergi jalan-jalan kat Genting, nak tak?” Tiba-tiba gadis yang datang bersamanya tadi bertanyakan solan sebelum melabuhkan pungung berhadapan dengannya.

“I don’t think so, I kena start kerja dengan papa I minggu depan,” jawab Faizul. Bukan dia saja berbohong dengan gadis tersebut tetapi itu adalah kebenarannya. Gara-gara mahu keluar berhibur sebentar tadi, satu janji telah termetrai antara dia dan papanya. Dia terpaksa berjanji mahu memulakan kerja di syarikat ayahnya pada minggu hadapan.

“Alah you kan baru saja balik dari oversea takkanlah you dah nak kerja kot, kita enjoylah dulu ek, Joe bolehla, I nak sangat jalan-jalan dengan you kat sana,” rengek gadis itu lagi.

“Reena, bukannya I tak nak, tapi I dah janji dengan papa I, mungkin kita boleh pergi waktu I free, boleh kan?” Pujuk Faizul sambil menggenggam tangan gadis yang dikenalinya sebagai Ereena. Gadis yang ditemuinya semasa di England dulu. Satu-satunya orang luar pertama yang mengetahui kepulangannya ke Malaysia.

“Kalau kita pergi ke sana esok, nak tak?”

“Esok pun tak boleh, I kena buat persediaan sebelum memulakan kerja,” ikhlas Faizul menjawab. Bukan dia sengaja menolak pelawaan gadis itu tetapi dia betul-betul harus membuat persediaan yang secukupnya sebelum memulakan kerja dengan papanya. Dia tidak pernah memandang remeh dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Mungkin betul dia memang lelaki yang sukakan kebebasan dan keseronokan namun sekiranya dia diberi tugasan sudah pasti dia akan memikul tanggungjawab tersebut dengan penuh dedikasi. Itulah satu-satunya sikap yang membuatkan dia sering sahaja dapat menyaingi abangnya sewaktu mereka belajar dahulu.

“Tak apala, tapi promise me, bila you ada masa lapang you temankan I ke sana ok!”

“Ok! I janji!”

No comments:

Post a Comment