Thursday, December 22, 2011

DIA SEGALANYA BAB 11

BAB 11

Suraya mulai bingung dengan perasaannya sendiri. Dia tidak tahu apa yang sebenarnya yang sedang berlaku tehadap dirinya. Perubahan Faizul yang mendadak membuatkan dia resah sendirian. Apa pula salahnya kali ini? Sudah seminggu Faizul seakan-akan tidak mempedulikan dirinya. Biasanya apabila bertembung di rumah, pasti sedikit senyuman akan diukir walaupun mereka tidak bertegur sapa. Tetapi sepanjang minggu ini abangnya itu seakan-akan mahu mengelak daripada dirinya. Sekiranya mereka berselisih abangnya itu langsung tidak memandang ke arahnya seakan-akan dia tidak wujud. Apatah lagi untuk tersenyum. Tambahan pula sekarang abangnya itu sudah mempunyai kenderaannya sendiri, keretanya sudah tidak diperlukan lagi, biasanya keretanya akan dipinjam oleh abangnya itu untuk keluar.

Suraya melangkah menuruni nak tangga apabila namanya dipangil untuk bersarapan pagi. Hari ini hari minggu, tentu semua abang-abangnya berada di rumah waktu pagi-pagi begini. Sebaik sahaja dia sampai di meja makan dia terus sahaja terpandang Angahnya. Mereka bertatapan seketika. Akhirnya Suraya tertunduk apabila mendapati pandangan abangnya itu menyesakkan nafasnya. Dia menarik kerusi bersebelahan dengan Alongnya.

“Dah packing?” soalan ringkas daripada Faizal membuatkan Faizul terus memandang tepat ke arah Suraya yang berada di sebelah. Dia sebenarnya langsung tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan soalan abangnya kepada gadis yang sedang berhadapan dengannya di kala itu. Apa lagi yang dia ketinggalan kali ini.

“Dah, baru saja siap,” jawapan yang diberikan oleh Suraya makin membuatkan dia resah sendirian. Mana pulak dia ni nak pergi? Dia bertanya kepada dirinya sendiri. Padan muka, siapa suruh dalam satu minggu ini dia langsung tidak menegur gadis itu. Gerutunya di dalam hati.

“ Baru siap, semalam adik buat apa? Kenapa tak siapkan dari semalam lagi?” soalan demi soalan yang keluar dari mulut Alongnya sementara menunggu papanya turun. Mamanya pula masih lagi di dapur menolong orang gaji menyiapkan sarapan.

Sebenarnya awal pagi tadi Suraya sudahpun turun untuk menolong mamanya menyiapkan sarapan tetapi dia hanya menolong sekejap sahaja apabila mamanya suruh dia naik untuk kemaskan pakaiannya.

Hari ini dia akan pergi bercuti bersama dengan kawan-kawan sekuliahnya selama seminggu di Port Dickson. Kalau diikutkan hatinya dia malas nak bercuti ke sana tetapi memandangkan ajakan Fatima yang begitu mengharapkan agar dia ikut bersama akhirnya dia bersetuju.

“Tak ada moodlah nak bercuti kali ni, kalau tak kerana Ima yang beria-ria nak adik ikut sekali, adik rasa adik tak nak ikut rombongan kali ni, tambah-tambah Si Izwan yang anjurkan semua ni, lagi la adik malas nak ikut,” ujar Suraya tanpa berahsia apa-apa pun daripada pengetahuan abangnya yang sulung itu.

Izwan? Faizul menelan air liur sebaik sahaja terdengar nama seorang lelaki yang disebut oleh Suraya. Siapa dia tu? Apa kena mengena Suraya dengan lelaki itu? Soalan demi soalan mula menerjah ke benak fikirannya di kala itu.

“Izwan? Maksud adik lelaki yang selalu adik ceritakan dekat Along masa Along dekat oversea dulu?”Faizal cuba meneka walaupun dia tahu tekaannya itu tepat. Dulu adiknya selalu sangat bercerita tentang lelaki itu yang sentiasa mahu dekat dengan adiknya sehinggakan adiknya itu mendapat musuh secara tidak rasmi. Siapa lagi kalau bukan teman wanita Izwan.

“Izwan mana lagi Long, yang tak tahannya adik yakin girlfriend dia mesti ikut sekali, lagi kecoh dibuatnya,” Suraya mengadu lagi. Faizul mulai tidak senang duduk, perbualan antara Suraya dengan abangnya itu menyesakkan nafasnya. Satu benda pun dia tahu. Kemana Suraya mahu pergi? Lelaki tu pula siapa? Apa kena teman wanita lelaki itu dengan Suraya? Apa pula yang sering Suraya ceritakan kepada abangnya tentang lelaki itu? Ah! Dia semakin berserabut memikirkan itu semua. Dia perlukan penjelasan untuk itu semua. Dia tak mahu ketinggalan. Dia perlukan jawapan dengan segera.

“Selamat pagi anak-anak papa,” Datuk Rashid tersenyum apabila mendapati kesemua anak-anaknya sudahpun setia menunggunya di meja makan.

“Selamat pagi papa,” mereka bersuara serentak.

“Adik, macam mana dengan persiapan, dah siap ke belum?” tanya Datuk Rashid kepada anak perempuan kesayangannya. Suraya hanya mengangguk sambil tersenyum. Sebaik sahaja datuk Rashid duduk di kerusinya, mamanya yang berada di dapur terus sahaja keluar dan menuang air ke dalam cawan yang sudah sedia ada di hadapan suaminya itu.

Sekali lagi Faizul terasa terpukul. Nampaknya dia seorang saja yang ketinggalan dalam soal ini. Entah kenapa hatinya terasa cukup sakit ketika ini. Ingin sahaja dia bangun dan naik semula ke atas. Keinginannya untuk bersarapan pagi itu sudah terbantut. Namun demikian dia masih mampu mengawal perasaannya. Dia tidak mahu tindakan melulu yang dilakukannya nanti akan meyebabkan banyak tanda tanya yang timbul terutamanya daripada papa dan mamanya. Jadi dia mengambil keputusan untuk terus duduk di situ dan menyaksikan apakah sebenarnya yang akan berlaku kelak.

Sebaik sahaja selesai menuangkan air ke dalam cawan suaminya Datin Rafidah terus sahaja duduk di sisi suaminya. Suraya hanya memandang ke arah mamanya sambil tersenyum. Mamanya itu terlalu sempurna di matanya. Dia teringin sangat sekiranya suatu hari nanti dia ditakdirkan mempunyai keluarga sendiri dia akan jadikan mamanya sebagai idola. Sebagai seorang isteri yang hormat dan patuh kepada suami. Dia tidak pernah mendengar mamanya itu meninggikan suara kepada papanya. Kadang-kadang dia hairan bagaimana mamanya itu mampu bersabar dengan papanya yang kadang-kadang agak tegas dan ada kalanya pemarah.

Suraya tersentak apabila terasa ada seseorang menyepak kakinya. Dia terus memandang kea rah Alongnya yang sedang meneguk jus oren di dalam gelas. Dari reaksi muka abangnya itu dia yakin itu bukan kerja Alongnya. Takkanlah Angahnya pula, dia cuba untuk memandang ke arah Angahnya itu namun dia tidak mempunyai kekuatan untuk melakukannya. Entah kenapa dia berasa agak takut untuk memandang tepat ke arah abangnya yang seorang ini. Jadi dia hanya tertunduk.

“Papa, mama lepas ni Angah nak keluar, jumpa kawan, boleh kan?” Faizul bersuara setelah agak lama menyepikan diri. Dia perlu jumpa seseorang untuk menenangkan fikirannya yang tiba-tiba berkecamuk pagi ini.

“Along pun nak keluar jugak ma, pa jumpa kawan,” Faizal turut minta kebenaran dan diikuti dengan senyuman yang penuh bermakna. Sudah lama dia tidak bertemu dengan seorang lagi gadis yang amat disayanginya selain dari Suraya. Semenjak dia pulang ke Malaysia dia belum pernah sekalipun berjumpa dengan gadis itu. Mereka sekadar berbual di telefon sahaja.

“Boleh, apa salahnya lagipun papa tahu anak-anak papa dah penat sangat bekerja, tak salah kalau nak keluar tenangkan fikiran, lupakan sekejap tentang kerja kat pejabat tu,” ujar Datuk Rashid sambil tersenyum. Dia bangga mempunyai anak-anak yang dahulukan dia dan isterinya dalam segala hal. Tidak sia-sia dia mendidik mereka sejak dari kecil lagi. Cuma kadang-kadang anaknya yang tengah itu selalu bikin masalah, tetapi dia bersyukur, semenjak anaknya itu pulang dari luar negara perangainya sedikit sebanyak sudah berubah.Anaknya itu sudah mula berbicara dengan Suraya seperti tiada sebarang peristiwa yang berlaku lapan tahun dahulu.

“Along, kalau macam tu Along bolehlah hantar adik kat kampus, adik kena berkumpul kat sana la Long,” beritahu Suraya.

“Tak boleh la dik, Along kena pergi Shah Alam, sorry ek,” ujar Faizal dengan perasaan serba salah. Suraya hanya mengangguk faham, nampaknya dia terpaksalah suruh driver yang hantarkan dia.

“Aku boleh tolong hantarkan, lagipun aku nak jumpa kawan pun dekat-dekat situ je,” tiba-tiba sahaja Faizul bersuara. Suraya terus memandang tepat ke arah abangnya yang tengah itu. Faizul memandangnya tanpa sebaris senyuman. Suraya jadi serba salah. Apa kena dengan dia ni? Dah seminggu tak bercakap dengan aku, tiba-tiba sahaja baik hati nak hantar aku ke kampus. Ngigau ke apa? Soal Suraya ,namun hanya sekadar di dalam hati. Tidak terluah dari bibir nipisnya itu.

“Bagus juga tu, adik pergi dengan Angah ek? Sorry la, hari ni Along betul-betul tak dapat nak hantar adik,” sekali lagi Faizal meminta maaf. Suraya tersenyum dan mengangguk.

“Tak kisahlah siapa yang hantar cuma mama nak, anak-anak mama bawa kereta tu hati-hati sikit,” datin Rafidah sempat berpesan.

***********************

Suraya hanya mendiamkan diri sebaik sahaja BMW sport kepunyaan Angahnya bergerak. Dia hanya memandang ke luar tingkap tanpa menoleh sekalipun ke arah Angahnya yang sedang memandu. Perasaannya di kala itu tidak keruan. Perangai Angahnya yang cuba mengelak darinya dalam seminggu ini masih menjadi tanda tanya. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia bertanya tetapi dia tidak mempunyai keberanian. Kenapa? Dia sendiri tidak pasti.

“Kenapa aku tak tahu pun pasal percutian kau ni?” Faizul tiba-tiba bersuara memecah kesunyian. Suraya tersentak dan menoleh ke arah Angahnya yang sedang memandangnya menunggu jawapan. Kemudian abangnya itu kembali memfokuskan ke arah jalan raya.

“Macam mana Angah nak tahu kalau Angah macam nak mengelak dari adik je minggu ni, adik ada buat silap ke?” akhirnya soalan yang ingin sangat ditanya oleh Suraya terluah. Dia memandang tepat ke arah abangnya yang sedang memulas stereng kereta. Sebaris senyuman langsung tak terukir dari mulut lelaki itu.

“Kau tak buat silap, saja aku tak ada mood minggu ni,” jawab Faizul tanpa menoleh langsung ke arah Suraya. Itu sahaja jawapan terbaik yang mampu dia berikan kepada gadis yang sedang duduk di sebelahnya. Suraya merengus tiba-tiba. Tak ada mood? Tapi aku yang jadi mangsa? Dia merungut di dalam hati. Dia malas nak bertanya lagi. Dia tidak berapa selesa untuk berbual dengan abangnya yang seorang ini tambahan pula abangnya yang seorang ini tak pernah memanggilnya dengan panggilan yang sering digunakan oleh ahli keluarganya yang lain. Tambahan pula abangnya itu membahasakan dirinya sebagai ‘aku’.

“Berapa lama kau bercuti?” tanya Faizul lagi apabila Suraya kelihatan tidak selesa berada di sebelahnya. Sebenarnya dia sendiri berasa kurang selesa. Jantungnya tak berhenti dari berdegup kencang. Nasib baiklah hanya dia sahaja yang dapat merasai dan mendengar jantungnya berdegup dengan pantas.

“Dalam seminggu mungkin?” jawab Suraya ringkas.

“Mungkin? Maksud kau?” Faizul kurang mengerti dengan jawapan yang diberikan oleh Suraya itu.

“Memanglah adik bercuti kat Port Dickson seminggu, tapi kawan adik ada ajak adik balik ke kampung dia, jalan-jalan, kalau tak ada aral adik ikutlah dia,” jawab Suraya cuba menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

“Kampung? Lelaki ke perempuan?”

“Maksud Angah?” giliran Suraya pula kurang mengerti dengan soalan yang diajukan oleh abangnya itu.

“Maksud aku kawan yang ajak kau balik rumah dia, lelaki ke perempuan?” jawab Faizul. Dia sendiri sebenarnya langsung tidak menyangka soalan itu mamapu keluar dari mulutnya itu. Sebenarnya sifat cemburu yang ada dalam dirinya masih tidak mampu dikawal.

“Tentulah perempuan, takkan lelaki pulak, kalau lelaki ajak adik balik kampung, itu dah jadi maksud lain, lagipun adik bukan pergi sorang je, ada dua tiga orang lagi yang nak ikut, Angah jangan bimbang la, adik tak akan ikut lelaki sebarangan, lainlah kalau teman lelaki adik yang ajak adik balik kampung dia kan?” ujar Suraya cuba beramah mesra dan bergurau dengan abangnya itu untuk melupakan apa yang terjadi sepanjang minggu ini. Tiba-tiba kereta yang dipandu oleh Faizul membrek secara mengejut. Kebetulan lampu trafik bertukar merah. Suraya memandang ke arah abangnya di sebelah dengan penuh tanda tanya. Kalau ya pun nak berhenti di lampu isyarat janganlah mengejut begitu, boleh sakit jantung dibuatnya. Ngomel Suraya dalam hati.

“Teman lelaki? Kau kata kau tak ada teman lelaki,” kali ini Faizul tepat memandang ke arah Suraya sementara menunggu lampu jalan bertukar kepada hijau. Suraya tidak selesa dengan pandangan tersebut. Jantungnya mula berdegup kencang secara tiba-tiba.
“Siapa kata adik ada teman lelaki, adik cakap kalau, maksudnya kalau adik ni ada teman lelaki dan teman lelaki adik tu ajak balik kampung, mungkin adik akan pertimbangkan ajakannya tu, adik tak ada masa nak bercinta buat masa sekarang,” cukup terperinci Suraya memberikan penjelasan. Entah kenapa lancar sahaja lidahnya bersuara menjelaskan salah faham yang terjadi akibat penerangannya sebentar tadi.

“Oh, aku ingatkan kau dah ada teman lelaki, yalah, kau kan pernah beritahu aku yang kau tak pernah bercinta,” ujar Faizul. Dalam masa yang sama dia menarik nafas lega dengan jawapan yang diberikan oleh Suraya.

“Adik belum bersedia nak fikir semua tu, banyak benda lain yang adik perlu fikir buat masa sekarang ni,” lembut sahaja Suraya bersuara menyambung perbualannya dengan abangnya itu yang semakin lama semakin rancak. Dia sedikit hairan sebenarnya, setiap kali dia berdua-duaan dengan abangnya yang seorang ini, tidak ada topik lain yang dibualkan, semuanya berkaitan dengan percintaan.

“Baguslah kalau kau fikir macam tu,” Faizul bersuara dan kereta terus meluncur laju apabila lampu bertukar kepada hijau.

“Apa kata kalau Angah saja yang bercinta, Angah kan dah kerja, dah boleh rasanya Angah jaga anak dara orang,” laju sahaja ayat itu keluar dari mulut Suraya. Sekilas Faizul memandang ke aranya. Kemudian Faizul tersenyum sendirian. Dia menoleh sekilas memandang Suraya di sebelah dengan wajah yang bersahaja tanpa sebaris senyuman.

“Kau ni kan, ada saja modal kau nak kenakan aku,” beritahu Faizul cuba menahan bibirnya dari tersenyum. Entah kenapa dia merasakan kata-kata Suraya itu agak lucu.

“Kenakan Angah, mana ada? Tak adalah, adik beri cadangan saja, Angah kan pernah cakap yang Angah ada ramai kawan perempuan, takkanlah tak ada seorang pun yang Angah berkenan?” Tanya Suraya. Dia mulai selesa dengan perbualan mereka di kala itu.

“Ada, tapi dia bukan tergolong dalam kawan perempuan aku,” jawab Faizul tanpa berfikir panjang. Dia tahu Suraya tidak akan tahu orang yang dimaksudkan olehnya. Hanya dia dan Deraman sahaja yang tahu.

“Oh, maksudnya Angah ada secret admire la ni ek?” Suraya bertanya lagi. Dia tersenyum. Lucu sekiranya apa yang ditekanya tepat. Takkanlah orang seperti Angahnya itu mempunyai wanita yang dicintainya dalam diam. Takkanlah lelaki yang kacak seperti Angahnya itu hanya mampu memendam perasaan tanpa meluahkannya.

“Entah, aku pun tak tahu, malas nak fikir, sama macam kau, buat masa sekarang ni banyak benda lain yang aku nak fikir, kalau aku fikir pasal benda ni pun buat fikiran aku jadi kacau, buat apa? Tak guna kan?” jawab Faizul. Dia mulai selesa berbual dengan gadis itu. Biarlah perasaan yang ditanggungnya itu hanya dia sahaja yang merasainya.

“Kalau kena kebas kat orang lain macam mana?”

“Entah,” ringkas sahaja Faizul menjawab. Gadis di sebelahnya itu tidak akan faham tentang isi hatinya. Dia tahu perasaannya itu adalah satu kesilapan. Kesilapan bagi sesetengah pihak. Baginya dia tidak pernah menyesal mempunyai perasaan tersebut, walaupun kadang kala ianya cukup membuatkan dia merana.

“Angah ni asyik entah je, tapi kan adik tetap percaya pada jodoh, kata orang kalau ada jodoh tak ke mana, walau macam mana kita mengelak sekalipun kalau kita dah ditakdirkan bersama seseorang itu, ia akan tetap terjadi, jadi Angah tak payahlah bimbang, kalau gadis tu jodoh Angah Insya-Allah dia tetap akan jadi milik Angah walau macam mana sekalipun halangan yang bakal Angah tempuh,” Suraya bersuara dengan penuh yakin. Senyuman pula tak lekang dari bibirnya.

“Insya-Allah, aku harap kata-kata kau tu jadi kenyataan,” Faizul menjawab kata-kata Suraya sambil tersenyum. Kemudian keretanya berhenti di pintu masuk utama Universiti Malaysia. Suraya turun dari kereta dan diikuti Faizul yang turut keluar dan membuka bonet kereta sportnya dan mengeluarkan beg pakaian Suraya.

“Terima kasih Ngah, sebab sudi hantar adik,” ucap Suraya sebaik sahaja mendapatkan beg pakaiannya dari tangan Faizul.

“Anytime, jaga diri elok-elok, ada apa-apa hal telefon,” ujar Faizul diikuti dengan sebaris senyuman.

“Insya-Allah,” jawab Suraya. Inilah kali pertama rasanya Faizul berbicara dan memberikan pesanan padanya seperti seorang abang.

“Aku pergi dulu,” ucap Faizul dan mulai melangkah masuk ke dalam perut kereta. Suraya hanya memerhati. Setelah Faizul menghidupkan enjin keretanya, tiba-tiba sahaja Suraya mengetuk cermin kereta Angahnya. Faizul membuka tingkap keretanya.

“Ada apa?”

“Manis senyuman Angah, Angah sedar ataupun tak, ini adalah kali pertama Angah senyum pada adik, senyuman yang adik anggap cukup ikhlas, Assalamualaikum,” beritahu Suraya terus sahaja berlalu dan menarik beg pakaiannya menuju ke arah kawan-kawannya yang sedang menunggu di perkarangan letak kereta di kawasan kampus.

Faizul kelu seketika. Kemudian dengan perlahan dia menjawab salam. Tiba-tiba sahaja hatinya tersentuh dengan kata-kata yang dituturkan oleh Suraya sebentar tadi. Jahat sangat ke dia selama ini pada gadis itu? Kejamkah dia?

“Aku minta maaf, I have to, walaupun aku sendiri tak pernah gembira dengan apa yang aku lakukan, aku minta maaf Suraya,” ucap Faizul perlahan. Tanpa disedari air matanya jatuh membasahi pipi. Dia menyapu air matanya dan terus meluncur laju menuju ke destinasi yang dia sendiri tak tahu ke mana. Orang yang perlu dijumpainya pun masih belum dihubungi.

Suraya melangkah menuju ke arah Fatima yang sedang tersenyum menyambut kedatangannya. Suraya membalas senyuman tersebut dan meletakkan bagasinya di sebelah bagasi Fatima. Dia kemudiannya terpandang ke arah Izwan dan menguntumkan senyuman apabila lelaki itu yang turut memandang ke arahnya.

“Siapa yang hantar kau tadi?” Tanya Fatima walaupun sebenarnya dia sudah dapat mengagak siapa lelaki yang menghantar teman baiknya itu.

“Angah aku,”Jawab Suraya bersahaja. Namun senyuman yang diberikan oleh Fatima membuatkan dia resah sendirian. Ada maksud di sebalik senyuman tersebut.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” Tanya Suraya yang kurang berpuas hati dengan pandangan yang dianggapnya sungguh pelik dan kurang menyenangkan.

“Kau dengan Angah kau dah ok ke?” Tanya Fatima. Dia tahu sahabatnya itu kurang rapat dengan abangnya yang tengah. Namun hari ini kelihatan berbeza. Suraya dengan abangnya yang tengah itu kelihatan agak mesra.

“Entah, dah ok la kot,” Jawab Suraya ringkas. Namun ada rasa yang kurang menyenangkan yang dirasainya di kala itu. Rasa yang jauh tersimpan di susdut hatinya. Namun rasa itu agak sukar untuk dia tafsirkan.

*********************

Faizul memandu laju keretanya menuju ke destinasi yang dia sendiri pun tidak tahu. Dia perlukan seseorang untuk berbual di kala itu. Dia terus mendapatkan telefon bimbitnya dan nombornya terus sahaja dihubungi.

Setelah agak lama berbual dia terus sahaja memandu laju menuju ke arah yang ingin ditujuinya. Kemudin keretanya itu berhenti di kawasan yang lapang mengadap tasik buatan di Putrajaya. Inilah pertama kali dia menjejakkan kaki di kawasan tersebut. Selama ini dia hanya pernah mendengar daripada kawan-kawannya berkenaan dengan tempat tersebut. Pemandangan yang dapat dilihat olehnya di kala itu membuatkan hatinya yang kusut tenang seketika. Faizul terus sahaja keluar dari perut kereta dan berjalan menuju ke arah bangku yang telah disediakan di tepi tasik tersebut. Di kala itu suasana agak lengang mungkin kerana waktu itu masih lagi pagi. Warga kota masih nyenyak tidur memandangkan hari itu merupakan hari minggu.

Faizul duduk bersendirian di atas bangku sambil mamandang ke arah tasik dengan pandangan yang kosong. Fikirannya di kala itu bercelaru, apa yang dia fikirkan dia sendiri tidak tahu. Banyak benda yang menerjah ke dalam benak fikirannya. Termasuklah peristiwa yang berlaku sewaktu dia masih di bangku sekolah.

Suasana yang riuh-rendah tiba-tiba sahaja betukar sunyi. Faizul yang sedang berbual-bual dengan rakan-rakannya tiba-tiba sahaja berhenti berbual. Gadis yang sedang berdiri di depan pintu kelasnya dia kala itu memang menarik perhatian ramai.

“Joe, adik kau!” laung salah seorang pelajar yang sudah berada di depan pintu. Dengan malas Faizul melangkah menuju ke arah gadis tersebut. Gadis itu kelihatan agak pucat berbanding biasa.

“Ada apa kau datang?” tanya Faizul acuh tak acuh. Kemarahanya pada gadis itu masih lagi berbaki memandangkan dia baru sahaja ditampar oleh ayahnya gara-gara gadis yang tidak pernah dianggapnya sebagai seorang adik.

“Angah tahu tak Along kat mana?” Dengan lembut gadis itu bersuara bertanyaan tentang abang kembarnya. Dari awal Faizul sudah dapat mengagak sememangnya kedatangan gadis bertudung yang baru sahaja mencecah umur 15 tahun adalah semata-mata mencari abang kembarnya.

“Dia tak ada, library kot?” beritahu Faizul dengan jawapan yang sinis tanpa sebaris senyuman. Dia tidak tahu kenapa setiap kali dia melihat wajah gadis yang agak lurus itu perasaan marahnya tiba-tiba sahaja datang tanpa diundang.

“Boleh tolong panggilkan Along tak sekejap, adik nak minta tolong sesuatu dengan dia,” gadis itu bersuara agak lemah. Faizul memandang dengan agak hairan. Gadis yang dilihatnya di kala itu agak lemah dan tidak bermaya.

“Kenapa kau dah tak ada kaki nak berjalan, kau pergi carilah sendiri, aku sibuk, ada banyak kerja nak buat,” Beritahu Faizul kasar. Tanpa berfikir panjang dia terus melangkah menuju ke arah kawan-kawannya semula. Kemudian dia menoleh. Kelihatan Suraya berjalan meninggalkan kelasnya. Dia merengus. Walaupun di kala itu timbul perasaan bimbang di hatinya namun perasaan marah lebih menguasai segalanya. Dia terus menyambung perbualannya yang terhenti sebentar tadi akibat kedatangan Suraya.

Setelah agak lama Suraya meninggalkan kelasnya, tiba-tiba dia terperanjat apabila Alongnya melanggar kerusi dan tergesa-gesa mendapatkan beg sekolahnya dan mendapatkan sesuatu dan terus meninggalkan kelas kembali. Faizul agak kehairanan. Wajah abang kembarnya kelihatan agak cemas.

“Woit Joe, adik kau pengsan la!” Satu suara melaung memanggilnya. Faizul agak terkejut dan terus sahaja melangkah menuju keluar kelas. Dia terus berjalan tanpa arah. Tiba-tiba sahaja perasaannya cukup panik. Fikirannya bercelaru. Dia ingin menjenguk adiknya tetapi dia sendiri tidak tahu ke mana yang harus dia tuju. Setelah beberapa minit berjalan tanpa arah kelihatan beberapa kawan Suraya yang dikenalinya keluar dari bilik sakit yang berada berdekatan dengan bilik guru. Faizul terus sahaja melangkah menuju ke tempat tersebut.

Sebaik sahaja sampai di tempat berkenaan dia dapat mendengar perbualan di antara seorang lelaki dan perempuan. Dia kenal suara tersebut. Dia terus mematikan niatnya untuk masuk. Dis terus berdiri dan melihatnya dari celah-celah tingkap yang kain langsirnya tidak ditutup dengan sempurna.

“Kenapa adik tak suruh saja Angah yang cari Along, ataupun adik suruh saja Angah ambilkan ubat adik dalam beg Along, kan tadi kat kantin Along dah cakap ubat adik ada dalam beg Along, tu la, tadi gesa-gesa sangat nak pergi sekolah sampai lupa nak bawa ubat tu. Nasib baik mama bagi kat Along ubat tu, tapi pengsan jugak, kalau mama tahu ni mesti bising,” suara bebelan abangnya itu dapat didengar olehnya dengan cukup jelas sekali.

“Adik tak apa-apa la Long, demam sikit jer, adik tak nak menyusahkan Angah, lagipun tadi masa adik pergi cari Along kat kelas Along, Angah pun tak ada, mungkin dia ada hal,” jawab Suraya. Faizul yang sedang mendengarnya di kala itu menarik nafas sepanjang mungkin dan dihembuskan sekuatnya. Ada perasaan yang ingin disembunyikan di kala itu. Di sudah tidak sanggup untuk mendengarnya lagi dan terus melangkah meninggalkan tempat tersebut.

Faizul tersentak dari lamunannya apabila terdengar suara ketawa daripada pasangan yang sedang duduk tidak jauh dari tempat duduknya. Dia sendiri tidak menyedari kedatangan pasangan tersebut yang sedang asyik bergurau senda. Dari pakaian yang dilihatnya di kala itu dia tahu pasangan tersebut baru sahaja selesai berjogging. Rupa-rupanya agak lama juga dia mengelamun.

“Kenapa aku kejam sangat, dari kecil, sampai ke remaja, sampailah dah besar macam ni aku masih layan dia dengan buruk walaupun aku tahu dia tak pernah berdendam dengan aku, Suraya…Suraya… kenapa kau tak pernah melenting walaupun buruk macam mana sekalipun layanan aku pada kau?” Bicara Faizul sendirian.

“Pada pendapat aku la, orang yang bercakap seorang diri ni tentu ada dua perkara tentang orang ni, pertama orang ni tak berapa betul, kedua pulak orang ni ada kelebihan tersendiri iaitu boleh bercakap dengan makhluk halus yang tak dapat dilihat oleh manusia biasa…tapi kan aku tak rasa kau ni dalam ketegori kedua,”Deraman yang entah dari mana datangnya tiba-tiba sahaja menegur dari belakang.

“Oh, jadi kau nak kata aku ni gila la ek? Mungkin? Gilakan seseorang yang sampai sekarang aku masih tak mampu nak luahkan perasaan yang tersimpan utuh jauh di suatu sudut dekat dalam hati aku ni,” lancar saja Faizul bersuara sambil diikuti satu keluhan yang kuat. Deraman hanya tersenyum, faham sangat dengan maksud di sebalik kata-kata sahabat karibnya itu. Kemudian dia melabuhkan punggung di sebelah Faizul sambil melemparkan matanya ke arah tasik buatan yang cukup cantik dan luas.

“Kenapa ni, pagi ni aku tengok muka kau semacam saja, tambah pulak pagi-pagi lagi kau dah kejutkan aku dari tidur, biasanya kau kalau hari minggu macam ni kau masih terbaring lagi atas katil?” Setelah agak lama mendiamkan diri Deraman bersuara. Menoleh memandang sahabatnya itu yang kelihatan muram seperti banyak sangat masalah yang disimpan dan dipendam.

“Kau rasa kan, aku ni jahat sangat ke?” Faizul bertanya sambil memandang ke arah Deraman dan menunggu jawapan yang akan diberikan oleh sahabat yang paling memahami dirinya.

“Jahat? Kalau kau ni jahat, ramailah manusia atas dunia ni jahat Joe, siapa pulak yang cakap kau jahat ni? Pedulikan kata orang lain, mereka yang kata kau jahat ni mereka sebenarnya antara cemburu dengan kelebihan yang ada pada diri kau ataupun mereka langsung tak kenal kau, aku kenal kau Joe, bagi aku kaulah manusia yang paling baik yang pernah jadi sahabat aku,” Deraman bersuara tanpa memandang ke arah Faizul. Tapi sebenarnya dia tahu apa yang ingin dibincangkan oleh Faizul sebenarnya. Sudah tentu berkaitan dengan satu-satunya wanita yang dicintai oeh Faizul dalam dunia ni.

“Kau tahu tak, hari ni Suraya cakap, buat pertama kalinya aku tersenyum dengan penuh ikhlas padanya, maksudnya selama ni aku tak pernah senyum pada dia, sedangkan kami membesar bersama, jadi itu bermakna aku ni jahat, tak pernah buat baik pada dia,” Faizul bersuara diikuti dengan keluhan. Deraman sekali lagi tersenyum. Tekaan awalnya tepat. Pasti ia berkaitan dengan Suraya. Kemudian Deraman bangun dan berjalan dan menyandar di pagar besi yang dibina di sepanjang tasik. Dia memandang tepat ke arah sahabatnya yang sedang tertunduk seakan-akan mahu menyembunyikan riak wajahnya yang sebenar.

“Joe…Joe… tak habis-habis kau nak salahkan diri kau dalam soal ni, kau kan pernah beritahu aku yang kau terpaksa lakukan itu semua, dengan cara itu sahaja yang membolehkan Suraya membenci kau, dengan cara itu sahaja Suraya akan jauh dengan kau kan? Jadi buat apa sekarang ni kau nak salahkan diri kau pulak, come on lah kawan, lupakan itu semua ok, aku tahu Suraya tak pernah bencikan kau, jadi tak payahlah kau nak salahkan diri kau lagi,” Deraman bersuara ingin memujuk dan cuba untuk menenangkan sahabatnya itu. Dia tahu Faizul dalam keresahan. Perasaan bersalah yang ditanggungnya sejak dari kecil masih belum dapat dikikis.

“Ya, aku tahu Suraya tak pernah bencikan aku, dia tak pernah berdendam dengan aku, tapi aku nak sangat dia marah, benci dan berdendam dengan aku, dengan cara itu mungkin aku dapat kikis perasaan aku ni, kau faham tak? Walupun kadang-kadang aku nak sangat rapat dengan dia, baik dengan dia, bergurau, ketawa, seperti Along aku, tapi aku tak boleh, aku takut kalau aku rapat dengan dia macam Along aku rapat dengan dia, aku makin tak boleh kikis perasaan yang aku rasa ni,” Suara Faizul bergetar cuba menyembunyikan perasaan sedihnya itu. Matanya pula merah seakan-akan mahu menangis dan Deraman tahu Faizul memang ingin menangis namun ditahannya. Sebenarnya dia langsung tidak kisah sekiranya Faizul menangis depan dia malah dia kagum dengan Faizul yang sanggup menjatuhkan air mata lelaki semata-mata kerana tidak dapat memiliki seorang gadis yang sangat dicintainya. Malah pernah suatu ketika dahulu, Faizul menangis teresak-esak di depannya apabila dia menceritakan tentang segala-galanya mengenai hati dan perasaannya.

“Entah la Joe, aku sendiri pun dah tak tahu macam mana lagi nak beritahu kau, aku pernah cakap dulu kan, kau tak perlu buat dia membenci kau, tak guna kau nak kikis perasaan kau terhadap dia, bagi aku perasaan yang ada dalam diri kau sekarang ni langsung tak salah, dia bukannya ada kena mengena dengan kau, dia hanya anak angkat, mak kau pun tak pernah susukan dia kan? Jadi kalau kau ditakdirkan kahwin dengan dia sekalipun, perkahwinan korang sah,” Deraman bersuara laju. Dia pernah beritahu Faizul tentang perkara ini suatu ketika dahulu, namun kawannya itu hanya mendengar tapi tidak mahu menerimanya.

“Kalaulah benda tu senang seperti yang kau katakan, akulah orang yang paling bahagia sekali dalam dunia ni, tapi ia bukanlah mudah seperti yang kau fikirkan, macam mana dengan Suraya? Adakah dia pun cintakan aku seperti aku cintakan dia? Katakan dia pun memang cintakan aku, macam mana dengan mama dengan papa aku, aku tak rasa dia orang boleh terima, tambah-tambah Along aku, aku tahu dia akan tentang habis-habisan, malah sekarang ni pun aku rasa dia dapat bau tentang perasaan aku pada Suraya!” beritahu Faizul. Itulah yang difikirkannya selama ini. Dia tak sanggup kecewa, jadi lebih baik dia buang sahaja perasaan yang dirasainya walaupun sampai sekarang perasaan itu masih belum dapat dia buang dari dalam hatinya.

“Ejal dah tahu, macam mana dia tahu?” Deraman agak terperanjat mendengar kata-kata terakhir yang diungkapakan oleh sahabatnya itu.

“Entah, aku teka saja, lagipun dia selalu ingatkan aku yang Suraya tu adik aku, adik kami setiap kali dia perasan yang aku pandang semacam saja pada Suraya,” Beritahu Faizul.

“La, itu tekaan kau saja, tak payah bimbang la,”

“Kau tahu tak Man, aku tak boleh la nak teruskan sikap aku yang dingin dengan Suraya, aku tak sanggup kau tahu, satu hari aku tak tengok dia tersenyum, aku rasa hidup aku tak lengkap, aku sendiri pun dah naik hairan macam mana aku boleh bertahan sampai lima tahun tak balik Malaysia dan langsung tak tengok muka dia” Faizul bertanya pada diri sendiri. Deraman mengekek ketawa. Lucu pula rasanya mendengar pengakuan sahabatnya itu.

“Tahu tak apa, aku pun hairan, macam mana kau langsung tak nak balik Malaysia dalam masa lima tahun semata-mata mahu melupakan Suraya, boleh la pulak kau bertahan, tapi sekarang kan Suraya depan kau, tinggal serumah dengan kau, hari-hari kau boleh pandang dia, balik lepas ni pun kau boleh pandang dia,” ujar Deraman. Dia tersenyum melihat perubahan riak muka sahabatnya yang sedikit ceria berbanding dengan keadaan sewaku mula-mula dia tiba tadi.

“Mana boleh, dia pergi bercuti, seminggu pulak tu, matilah aku!”

“La, ye ke? Bercuti kat mana? Patut la muka kau dah monyok semacam je pagi ni, hal ni rupanya,” Deraman sudah dapat mengetahui tentang punca sebenar kemurungan sahabatnya itu. Patutlah awal-awal pagi lagi dia dikacau oleh sahabatnya itu.

“PD, rombongan kampus, aku yang hantar dia kat kampus tadi, tu yang aku datang sini pulak, nak tenangkan perasaan, perasaan aku tengah kacau, jadi aku kacaulah kau!” beritahu Faizul sambil tersenyum kea rah rakannya itu.

“Ek eleh, seminggu kejap je, pejam celik, pejam celik cukuplah seminggu, dulu kau boleh bertahan sampai lima tahun, nak tunggu seminggu pun tak sanggup, oklah macam ni, apa kata lepas ni kita gi makan, makan tengah hari terus, sekarang pun dah pukul sebelas, kau belanja aku, aku ada satu tempat, tomyam dia memang best giler, kau kan suka makanan pedas ni, sambil tu bolehlah kau jamu mata, kalau hari minggu macam ni ramai awek cun lepak kat situ, lagipun kita dah lama tak buat ‘kerja’ macam dulu,” Deraman memberikan cadangan.

“Setan kau, aku malas la nak buat kerja tu lagi, dah cukup la aku ‘sesat’ kat England dulu, sekarang walaupun sembahyang tak cukup lagi, tapi aku malas la nak buat kerja tu lagi, rosak anak dara orang,”

“Siapa pulak suruh kau buat ‘kerja’ tu? Lagipun kau saja yang buat ‘kerja’ tu lebih-lebih, aku just usha dia orang jer, paling kurang pun pegang-pegang je, kau je yang lebih-lebih, tahulah muka kau handsome, sekali kau tersenyum, semua awek-awek cun terkejarkan kau,” beritahu Deraman yang mulai mengimbau memori waktu zaman remaja dahulu.

“Oh, jadi kau nak cakap yang kau di still ‘virgin’ la ni ek?” ujar Faizul diikuti dengan gelak tawa yang kuat.

“Well, kita sebagai orang timur, kena jaga maruah ma!”

“Blah la kau, tapi kau layan juga ‘vcd cetak rompak’ tu!”

“Eh, mana kau tahu?” Deraman bertanya sambil tersengeh memandang ke arah Faizul.

“Apa yang nak dihairankan, cuba kau beritahu aku, lelaki mana yang tak pernah layan benda tu, orang alim pun ramai yang layan, bila ditanya, katanya sebagai pendidikan, kepala otak dia, kalau dah tengok tu, tengok je lah, tak payah nak bagi alasan yang bukan-bukan,” rungut Faizul bila teringatkan kembali satu artikel yang dibacanya daripada majalah tempatan berkenaan dengan bahan-bahan porno yang melambak-lambak dijual di pasaran.

“Itu betul, aku sokong kau! Eh, dah la, aku lapar la, dah la aku tak makan apa-apa lagi pagi ni, kau la, pagi-pagi kejutkan aku, kalau aku tidur tak ada la aku rasa lapar macam ni,”

“Yalah-yalah, jom la kita pergi makan, kau datang dengan kereta kau ke?” Tanya Faizul yang baru teringatkan tentang kenderaan yang dinaiki oleh sahabatnya memandangkan dia langsung tak mendengar enjin kereta Honda City sahabatnya itu.

“Aku datang dengan teksi, aku tahu kalau aku bawak kereta aku, tak dapatlah aku nak merasa naik kereta BMW Z4 ko ni,” beritahu Deraman sambil tersengeh dan berjalan menuju ke arah kereta BMW Z4 Faizul yang berada tidak jauh dari tempat mereka berbual. Faizul hanya tersenyum dengan telatah sahabatnya itu yang dirasakan tak pernah berubah. Dia terus melangkah mengiringi sahabatnya ke arah keretanya.

*****************

Faizal menunggu gadis kesayangannya dengan penuh sabar di hadapan sebuah sekolah menengah di Shah Alam. Inilah kali pertama dia ingin berjumpa dengan satu-satunya wanita yang memikat hatinya setelah lama dia berjumpa di England dahulu. Selama ini dia hanya berhubung dengan gadis tersebut melalui telefon ataupun kemudahan internet. Bukan dia tak suka ataupun malu untuk berjumpa namun masing-masing ada komitmen sendiri jadi mereka lebih gemar berhubung dari jarak jauh. Sekarang Faizal sudahpun bekerja manakala gadis kesayangannya itu pula baru sahaja memulakan tugasnya sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di salah sebuah sekolah menengah di Shah Alam. Jadi mereka mengambil keputusan untuk berjumpa. Lagipun perasaan rindunya untuk menatap wajah gadis itu sudah tidak dapat ditahan lagi. Gadis itu cukup sempurna di matanya sewaktu pertama kali mereka bertemu di England dahulu. Gadis itu cukup periang , namun di sebalik sifat periang tersebut tersembunyi sifat garang dan tegas yang pandai dia tampilkan pada keadaan tertentu.

“Assalamualaikum,” ujar gadis yang lengkap dengan baju kurung dan bertudung di kepala. Salah satu ciri-ciri yang disukai oleh Faizal.

“Waalaikummussalam, hai awak, baru jadi guru dah buat kerja lebih masa ke?” perli Faizal. Apa tidaknya gadis itu baru sahaja selesai mengadakan kelas tambahan untuk pelajar yang ingin mengambil peperiksaan penting pada tahun ini.

“Tak adalah, saya saja jer ganti guru yang tak dapat hadir hari ni, ada hal kecemasan, dia tiba-tiba call saya, minta saya gantikan, kebetulan saya free, saya tolonglah,” gadis itu bersuara tanpa rasa sedikit malu walaupun sudah hampir dua tahun mereka tak jumpa.

“Free? Habis tu saya ni macam mana? Kan awak janji nak keluar dengan saya hari ni?” Faizal bertanya ingin menduga. Dia tahu pasti gadis itu mampu menjawab pertanyaannya itu dengan mudah dan memuaskan.

“Wahai En. Faizal, saya kan dah berjanji dengan awak nak jumpa dalam pukul sebelas kan, sekarang dahpun pukul sebelas, tepat-tepat lagi ni, kebetulan pulak kelas tambahan ni habis dalam pukul sepuluh setengah, tu yang saya terima permintaan cikgu yang suruh saya ganti kelas ni, saya tak akan mungkin janji lah sayang! Ada saya pernah mungkir janji dengan awak?” tanya gadis yang dikenali sebagai Zarina sambil tersenyum manja ke arah Faizal.

Faizal tersengeh. Dia tahu gadis itu tak akan mungkir janji. Dia kenal sangat dengan gadis itu walaupun mereka tidak pernah bertemu lagi setelah bertemu buat pertama kali. Percaya ataupun tidak, mereka mengenal hati budi masing-masing melalui telefon ataupun internet. Dia sendiri melamar Zarina untuk menjadi kekasihnya melalui email. Gadis itu pada mulanya menolak dan dia menghormati keputusan gadis tersebut. Namun setelah dia melamarnya sekali lagi pada tahun terakhir dia berada di England iaitu lebih kurang 6 bulan yang lepas, gadis itu tiba-tiba sahaja bersetuju dan pada waktu itu Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya dia di saat itu.

“Allo, jauh termenung, saya kat depan mata pun awak sempat teringatkan orang lain, cantik sangat ke gadis tu sampai awak dah tak nak pandang saya,” giliran Zarina pula mengusik.

“Ish, awak ni, mana ada, saya nak dapatkan awak pun susah bukan main, ni nak ada buah hati lain, lagipun saya dah naik takut, dengan awak dulu pun awak senang-senang je reject saya, nasib baik last-last saya dapat jugak awak, ni kan pulak nak ngorat orang lain, saya dah naik fobia la,” jawab Faizal lancar. Zarina yang mendengar terkekek ketawa. Faizal memang tak berubah. Sama seperti sifatnya di dalam telefon mahupun berbual melalui email. Suka sangat bergurau. Kadang-kadang kata-katanya yang bersahaja membuatkan Zarina terhibur. Faizal terkedu seketika, gelak tawa itulah yang mendorong dirinya untuk berkenalan dengan gadis tersebut ketika mereka bertemu di London. Dia sendiri tak menyangka gadis yang telah membuatkannya terpegun seketika sewaktu di London dahulu telahpun menjadi miliknya walaupun masih belum secara mutlak namun dia akan pastikan semua itu bakal menjadi kenyataan sekiranya tiada aral yang melintang.

“Hebat juga saya ni kan, ada aura yang boleh buatkan awak fobia dengan gadis lain, beruntung jugak tu, tak ada la saya bimbang sangat takut-takut awak terpikat dengan gadis lain pulak,” Zarina membalas. Faizal hanya mampu tersenyum di kala itu. Impiannya untuk berjumpa dengan Zarina buat kali kedua telah termakbul. Tak sabar rasanya dia ingin membawa Zarina berjumpa dengan kedua orang tuanya dan dalam masa yang sama untuk dikenalkan dengan adik kesayangannya yang sering bertanyakan Zurina sekiranya mereka berbual.

“Awak, jom ikut saya jumpa dengan mama dan papa saya,”

Zarina yang sedang galak ketawa tiba-tiba senyap dan memandang satu-satunya lelaki yang sangat memahami dan menghormati prinsipnya dengan pandangan yang tajam. Sebenarnya dia ingin mendalami hati lelaki itu adakah kata-kata yang diungkapkan itu hanyalah gurauan semata-mata ataupun serius. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang. Nampaknya lelaki itu serius, matanya yang galak memerhatikan dirinya untuk menunggu jawapan betul-betul menunjukkan lelaki tersebut tidaklah sekadar bergurau senda.

“Hish, awak ni, saya baru je jumpa dengan awak hari ni, takkanlah awak dah nak bawak saya jumpa dengan mak dan ayah awak dah kot?” Zarina cuba menduga, manalah tahu dia tersilap menilai tentang kata-kata teman lelakinya itu.

“Kenapa? Tak boleh? Memanglah kita baru jumpa hari ni, tapi kita dah jumpa kat London sekali kan, lagipun kita dah lama berkenalan walaupun kita hanya dua kali sahaja bertemu, boleh la,” pujuk Faizal. Zurina hanya tersenyum, dia akui dia sudah lama berkenalan dengan Faizul, hampir dua tahun. Malah hatinya sering berkata lelaki itu memang pilihan yang tepat untuk hatinya. Hampir setahun lebih dia memikirkan sama ada mahu menerima Faizal sebagai teman lelakinya mahupun tidak, malah dia pernah bersembahyang hajat Ishtikharah, semata-mata mahu meminta petunjuk daripada Yang Maha Kuasa, dan dia bersyukur kerana mendapat jawapan daripadanya.

“Bukan tak boleh, boleh, tak ada salahnya, tapi awak, saya pernah beritahu awak kan yang saya ni satu-satunya anak perempuan daripada keluarga. Semua keempat-empat abang saya dah kahwin, saya ni anak bongsu, ayah ambil berat sangat mengenai ajaran agama kami adik beradik terutamanya saya yang perempuan ni, dia pantang tau kalau saya berkunjung ke rumah lelaki,” ujar Zarina dengan bersungguh-sungguh. Bukan dia mahu mengelak, tapi itu adalah hakikatnya dan dia rasa dia pernah memberitahu Faizal namun dia sendiri ingat-ingat lupa. Yalah sepanjang dia bercakap dengan Faizal melalui telefon mahupun email sudah banyak perkara dan topik yang mereka bualkan.

“Ya, saya tahu, awak pernah beritahu hal ni pada saya waktu kita berchatting dulu, dan awak juga cakap lainlah kalau lelaki itu dulu yang pergi rumah awak, berkenalan dengan ahli keluarga awak, barulah lepas tu ayah awak akan pertimbangkan sama ada awak boleh pergi ke tidak rumah lelaki itu, saya ingatlah awak, semua benda yang awak beritahu saya, saya tak pernah lupa,” beritahu Faizal. Zarina terpana seketika. Dia sendiri sudah tidak mengingati semua itu. Dia langsung tak menyangka Faizal masih mengingati setiap kata-katanya setiap kali mereka berbual.

“Jadi awak dah bersedialah nak berjumpa dengan mak dan ayah saya ni?” duga Zarina. Faizal hanya mengagguk. Kemudian geleng kembali.

“Kenapa pulak?” Tanya Zarina agak hairan dengan jawapan yang diberikan oleh Faizal.

“Hari ni mana boleh, saya tak buat persediaan langsung pun, apa benda pun saya tak bawak, takkan lah saya nak pergi rumah awak dengan tangan kosong pulak kot, nanti apa pulak kata bakal bapa mertua saya tu,” bicara Faizal sambil tersenyum nakal. Menunggu reaksi daripada Zarina.

“Perasan, siapa cakap saya nak kahwin dengan awak?” jawab Zurina agak malu-malu. Dia pasti di kala itu mukanya sudah merona kemerahan. Faizal pula hanya tergelak besar. Dia tak pernah melihat muka Zarina merona kemerahan sampai begitu sekali.

“Awak tak nak kahwin dengan saya ke?”

“Malas saya layan awak, awak datang ni nak bercakap dengan saya depan sekolah ni saja ke? Tak romantik langsung la,” selamba sahaja Zarina mengeluarkan ayat tersebut semata-mata mahu mengelak daripada Faizal berbicara dengan lebih lanjut mengenai soal kahwin.

“La, lupa pulak saya, saya ingat saya nak bawak awak makan tengah hari dengan saya, boleh kan? Jangan bimbang sekejap jer, lepas tu saya hantar awak balik depan rumah sewa awak, oh ya, awak tak beritahu saya lagi kenapa awak tinggal dengan kawan-kawan awak dekat rumah sewa, kenapa tak duduk saja dengan mak dan ayah awak?” Tanya Faizal sambil menuju ke seberang jalan ke tempat keretanya diparking bersama dengan Zarina dengan menggunakan jejantas yang disediakan memandangkan jalan raya di kawasan tersebut agak sibuk.

“Senang sikit saya nak ke sekolah, dekat… just jalan kaki saja, nu kat kawasan perumahan sana,” Zarina menunjukkan kawasan perumahan kos rendah yang kelihatan baru sahaja siap dan diduduki oleh penghuninya. Faizal hanya mengangguk tanda faham. Mungkin kedudukan rumah mak dan ayah Zarina agak jauh dari sekolah walaupun dia sendiri masih tidak tahu di manakah letaknya rumah keluarga Zarina.

3 comments:

  1. saya suke n3 ni~~ ^^

    erm..tp xkan faizul dah x 'virgin'? haiya..manyak takut la..:(

    ReplyDelete
  2. harap sgt yg suraya ngn faizul ~ sb jntung dye brdebar bila dgn faizul^^ saye pn loike this n3 ! :D

    ReplyDelete
  3. bila nak sambung ni.. excited nak tahu... huhuhu

    ReplyDelete