Thursday, December 29, 2011

DIA SEGALANYA BAB 12

BAB 12

Faizul turun agak lewat jika dibandingkan dengan abang dan papanya. Hari tu entah kenapa dia rasa semacam. Dia langsung tiada hati untuk ke tempat kerja. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia ponteng kerja hari itu, namun dia sedar itu bukannya satu keputusan yang baik, tambahan pula dia baru sahaja mulakan kerja. Tentu papanya bising kalau dapat tahu nanti.

Dia menuju ke arah meja makan. Kelihatan ahli keluarganya yang lain sedang rancak berbual seperti sedia kala walaupun tanpa Suraya.

“Selamat pagi semua,” ucap Faizul dan terus sahaja melabuhkan punggung berhadapan dengan Alongnya. Datin Rafidah dengan pantas menuangkan jus oren untuknya, Faizul hanya memerhati tanpa sepatah kata. Tiada apa yang mahu dibualkannya.

“Kita suruh saja adik balik sajalah ma ek?” Faizal tiba-tiba sahaja bersuara.

“Mama dah suruh, mama cakap biar Along saja pergi jemput tapi dia tak nak, katanya dia demam sikit je,” beritahu Datin Rafidah. Faizul yang baru sahaja mahu meneguk jus oren terus meletakkan semula gelas ke atas meja.

“Siapa yang demam? Suraya ke?” Faizul bertanya inginkan kepastian. Dia tiba-tiba sahaja terasa panik. Jantungnya berdegup kencang.

“Ya, mama telefon adik kejap tadi, mama dengar suara dia lain macam saja, bila mama tanya, katanya dia demam, kena hujan katanya semalam, adik tu, kamu tahu sajalah, dia selalu saja sakit, kecil-kecil dulu lagi teruk, nasib baik sekarang ni dia jarang sangat sakit,” beritahu Datin Rafidah.

“Suruh sajalah dia balik, duduk kat sana pun buat apa, bukannya dia boleh berjalan sangat pun, kalau mama nak Angah pergi jemput dia pun boleh,” giliran Faizul pula menawarkan diri.

“Kau ingat adik nak ke Ngah, kan tadi mama dah cakap dia tak nak balik, maksudnya dia tak nak balik la tu…kau nampak je adik tu lembut macam tu, degil dia sebijik macam kau tau, bila dia cakap A, A la jawabnya, tak adanya dia nak ubah kepada B,” Faizal menjawab bagi pihak mamanya. Dia tahu jauh di sudut hati adik kembarnya itu pun bimbangkan kesihatan adik bongsu mereka, cuma tidak ditunjukkannya. Kenapa? Dia sendiri pun kurang pasti.

“Dah tahu dia degil, tak payah pujuk just pergi jemput je! Lagipun PD bukannya jauh sangat pun dari KL,” jawab Faizul lagi. Faizal hanya tersenyum. Entah kenapa dia merasakan kebimbangan yang ditunjukkan oleh Faizul adalah lebih daripadanya.

“Papa pun setuju kata Angah tu, bukan apa, adik tu bukannya sihat sangat pun, papa takut, demamnya tu makin melarat pulak,” Datuk Rashid tiba-tiba sahaja menjampuk dan bersetuju dengan kata-kata Faizul. Faizul tersenyum.

“Kalau macam tu biar Along pergi sajalah pa,” Faizal sukarela menawarkan diri. Lagipun dia betul-betul bimbang akan keselamatan adiknya itu. Walaupun Suraya baru sahaja seminggu pergi bercuti tetapi dia sudah merindui sangat-sangat gadis yang sering menceriakan hidupnya.

“Along dah lupa ke? Hari ni kan Along kena ikut papa nak bertemu dengan klien dari Jerman tu, suruh Angah saja yang pergi, ataupun Angah pun ada meeting juga hari ni?” datuk Rashid bertanya kepada anak keduanya itu.

“Ada pa, tapi pagi ni, petang Angah free, Angah boleh jemput dia lepas meeting tu nanti, just bagi address kat Angah je hotel tempat adik menginap tu, lagipun Angah biasa la juga dengan jalan nak ke PD,” beritahu Faizul dengan nada ceria. Dia langsung tidak menyangka papanya akan menyuruh dia yang pergi jemput Suraya. Lagipun memang benar dia tahu jalan untuk ke PD, sebab sebelum ni pun dia pernah ke tempat tersebut dengan kawan-kawannya pada hujung minggu.

“Nanti mama bagi kat Angah,” Datin Rafidah bersuara. Faizul mengagguk sambil tersenyum. Di dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dia gembira di saat itu. Sudah empat hari dia tidak bertemu dengan Suraya. Rindunya pada gadis tersebut kadang kala tidak dapat dibendung lagi. Hatinya berbunga keriangan. Sarapan pagi yang dijamahnya pada pagi itu terasa sungguh enak sekali.

“Tapi kau ingat sikit Ngah, adik tu sakit, kau jangan bawak laju sangat nanti dia termuntah pulak, adik tu bila dia demam tentu kepalanya pening,” beritahu Faizal yang masih bimbang akan kesihatan adiknya. Dalam masa yang sama dia rasa bimbang kerana Faizul yang akan pergi menjemput Suraya. Bukannya dia tidak percayakan Faizul tetapi dia bukannya tidak kenal dengan adiknya itu, sejak kecil Faizul memang tidak menyukai Suraya. Namun entah mengapa sejak balik dari England Faizul seakan-akan mahu mendekati Suraya. Hakikatnya memang dia gembira dengan perubahan yang ditunjukkan oleh Faizul terhadap adik bongsu mereka, namun jauh di sudut hatinya tercalit juga rasa bimbang yang kadang-kadang menyesakkan dadanya.

*******************

Faizul melangkah menuju ke pejabatnya dengan perasaan gembira. Dia asyik tersenyum sendiri tanpa dia sedari. Walaupun pada saat itu dia bimbangkan akan kesihatan Suraya namun dia berasa cukup gembira kerana petang nanti dia akan menjemput gadis itu di Port Dickson.

“Hai Joe, happy nampak, ada apa-apa ke?” Najihah, satu-satunya gadis yang paling memahaminya di syarikat tersebut. Gadis yang juga merangkap setiausaha peribadinya terlalu memahami dirinya sehinggakan Faizul tidak pernah mengaggap gadis tersebut orang bawahannya tetapi dia merasakan gadis tersebut adalah salah seorang sahabat yang banyak mengetahui tentang dirinya walaupun tidak kesemuanya.

“Ye ke? Mana ada apa-apa, biasa jer, nampak sangat ke I happy?” tanya Faizul sambil berjalan mendekati gadis tersebut yang sedang menyemak fail.

“Mana boleh tak nampak, dari jauh lagi you asyik tersenyum sorang-sorang je, takkanlah tak ada apa-apa kot, ataupun you ni dah terjatuh cinta dengan mana-mana gadis masa on the way datang office kot?” galak gadis itu cuba untuk menyakat Faizul. Dalam syarikat itu hanya dia sahaja yang berani berbual dan bergurau dengan Faizul seperti seorang kawan.

“Allo, you ingat I ni jenis yang macam tu ke? Tengok jer perempuan cantik terus saja jatuh cinta, dalam kamus hidup I, tak ada istilah cinta pandang pertama tau,” lancar sahaja Faizul menjawab. Najihah mengekek ketawa. Dia tahu sebenarnya lelaki yang perwatakan seperti bosnya itu tidak akan jatuh cinta hanya pada pandangan pertama. Dia tahu bosnya itu jenis lelaki yang mempunyai banyak peminat wanita dan dalam masa yang sama, bosnya itu akan melayan mana-mana gadis yang meminatinya sehinggakan ada di antara mereka salah anggap akan status sebenar hubungan mereka dengan majikannya itu. Hampir dua bulan dia bekerja dengan Faizul, sudah banyak kali dia menerima panggilan dari ramai gadis yang mengaku mereka dalah teman wanita Faizul.

“Yalah, I percaya you bukan jenis lelaki yang begitu, habis tu yang pagi-pagi buta ni you dah tersenyum sorang-sorang kalau bukan angau apa kebendanya?” soal Najihah lagi yang masih belum berpuas hati selagi tidak mendapat jawapan yang munasabah daripada majikannya itu.

“Adalah, satu hari nanti you akan tahu,” beritahu Faizul sambil mengenyitkan mata kepada Najihah. Najihah hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

“Joe. Masuk bilik I kejap, ada hal yang I nak bincang dengan you,” tiba-tiba sahaja Amira, gadis yang berada di sebelah pejabatnya yang dikatakan agak sombong dan sinis memanggilnya. Faizul memandang Najihah sambil mengangkat kening, Najihah yang faham dengan bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh Faizul hanya mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

“I ada apa-apa kerja kena buat untuk dia ke? Ataupun I ada fail apa-apa yang kena serahkan pada dia?” Tanya Faizul sebaik sahaja Amira hilang di sebalik pintu bilik pejabatnya.

“Tak ada pun, ala, you pergi ajelah, yang you nampak takut tu kenapa? You tetap bos la,” beritahu Najihah. Memang dia akui hubungan Faizul dengan Cik Amira kurang baik. Mereka asyik bertekak sahaja akibat berlainan pendapat terutamanya dalam bilik mesyuarat, tambahan pula Cik Amira kurang senang melihat perangai Faizul yang suka melayan staff bawahan terutamanya kaum hawa.

“Siapa kata I takut, cuma I pelik, sejak I kerja kat sini, nilah kali petama dia panggil I masuk pejabat dia, kalau tak, asyik I je yang kena panggil dia masuk pejabat I, lepas tu jual mahal nak mati, dia ingat I terpikat sangat dekat dia ke? Tahulah cantik, seksi, tapi kalau jual mahal sangat lelaki pun naik menyampah tau,” Faizul bersuara dengan bersungguh. Najihah mengekek ketawa.

“Yang you geram sangat tu kenapa? You rasa tercabar ke sebab dia tak terpikat dengan you?” Najihah cuba berlawak jenaka dengan Faizul.

“Sorry sikit eh, tak ada masa I nak marah sebab dia tak layan I, lagipun entah-entah, dia memang minat kat I tapi saja je tak nak tunjuk, dia panggil I ke pejabat dia sekarang pun sebab nak rapat dengan I,” beritahu Faizul sambil tersenyum nakal.

“Ish, you ni memang perasan tau, dah la, baik you pergi je masuk pejabat dia tu, nanti dia bising pulak, you bukan tak kenal dengan perangai Cik Amira tu,” ujar Najihah.

“Yelah, I nak pergilah ni pun, oh ya, lepas ni I kena keluar jumpa klien dengan Cik Amira kita tu, tapi lepas tu I tak balik ke pejabat, I kena ambil Suraya dekat PD,” beritahu Faizul.

“Suraya? U mean adik you,” tanya Najihah yang keliru takut-takut dia tersilap tafsir, manalah tahu ada di antara teman wanita bosnya itu yang namanya sama seperti adik bongsu bosnya itu.

“Yelah, habis tu you ingat siapa? You ingat I senang-senang boleh ponteng kerja semata-mata nak jemput perempuan yang tak ada kena mengena dengan family, you nak mati, jenuh I nak menjawab dengan papa I nanti,” terang Faizul.

“Tak adalah, you tak pernah membahasakan Cik Suraya tu adik bila you sebut tentang dia, kalau En. Faizal tu lain, dia lebih suka bahasakan Cik Suraya adik bila dia bercerita tentang adik bongsu you tu, kenapa ek?” Tanya Najihah sambil mengerutkan dahinya.

“Saja, dah la, I nak kena jumpa Cik Amira kita tu,” jawab Faizul dan terus melangkah meninggalkan setiausahanya itu. Dalam masa yang sama dia cukup gugup bila disoal begitu oleh Najihah, dia langsung tak menyangka yang Najihah perasan akan itu semua. Perkara yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai perkara yang remeh dan tak perlu untuk dipersoalkan.

Faizul terus sahaja mengetuk pintu bilik Amira. Sebaik sahaja menerima arahan masuk dia terus sahaja menguak pintu dan masuk ke bilik tersebut. Percaya ataupun tidak itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke bilik pejabat gadis tersebut. Gadis yang berumur dua tahun lebih tua darinya sedang tenang mengadap laptop di hadapannya. Gadis itu langsung tidak memandangnya. Dia akui gadis itu cantik dari sudut paras rupa dan mempunyai bentuk badan yang seksi namun sayang gadis itu dianggap terlalu sinis baginya. Perwatakannya yang agak susah untuk senyum dan sedikit degil menyebabkan Faizul kadang-kadang naik menyampah. Gadis itu terlalu sombong, setiap kata-katanya mahu dituruti kalau tidak mahu dia berdebat sampai apa yang dia nak itu diperolehi.

“Apa hal yang you tiba-tiba nak jumpa I pagi-pagi lagi ni?” Tanya Faizul sinis. Dia manarik kerusi dan duduk berhadapan dengan gadis tersebut walaupun tanpa dijemput. Kalau diikutkan pangkat siapa yang lebih besar dia tahu pangkatnya sedikit tinggi daripada gadis tersebut di dalam syarikat.

“Kenapa you pandai-pandai mengubah harga asal pada client kita tentang soal pembelian bangunan pejabat tu?” Tanya Amira sambil memandang lelaki yang cukup sempurna pada pandangan matanya dan sudah tentu juga pada pandangan gadis-gadis lain.

“Allo Cik Amira, kita berniaga, kalau dia rasa harga yang I tawarkan tu terlalu mahal tak adanya dia bersetuju nak tanda tangan surat perjanjian pembelian tu, yang you ni pun, I bukannya turunkan harga, I naikkan harga, syarikat kita juga yang dapat keuntungan kan, dan lagi satu, you ingat I senang-senang nak naikkan harga tanpa fikir baik buruknya dulu?” Faizul agak bengang dengan pertanyaan yang diajukan oleh Amira sebentar tadi. Soalan yang ditanya oleh gadis tersebut seakan-akan mempertikaikan kredibilitinya sebagai salah seorang pengurus di syarikat tersebut.

“I tahu, tapi you tak boleh nak ubah harga asal dalam masa yang singkat, nanti apa pula kata client, syarikat kita syarikat yang besar, semua client kita sebelum ni percayakan syarikat ni, I tak nak dengan tindakan you akan membuatkan sesetengah client tak percayakan syarikat ni lagi,” Amira tetap dengan pendangannya yang menganggap tindakan Faizul manaikkan harga bangunan pejabat sebanyak 10% agak melampau.

“Huh, alasan, bagi I kan, harga yang syarikat tawarkan sebelum ni terlalu murah, you kena tahu kawasan bangunan pejabat yang kita tawar tu terletak di kawasan yang strategik, banyak kemudahan, tengah-tengah bandar pula tu, I rasa kalau kita naikkan dengan lebih tinggi pun, tetap ada ramai lagi syarikat lain yang berebut nakkan bangunan tu, come on la Amira, kita peniaga, kita inginkan keuntungan, peniaga mana yang nak rugi, cuba you beritahu I, you sebenarnya ni tak puas hati apa dengan I ?” Tanya Faizul yang seakan-akan dapat mencium unsur kebencian yang terdapat dalam diri gadis tersebut terhadapnya.

“Apa yang you merepek ni?” Tanya Amira dan terus sahaja bangun dari tempat duduknya. Lelaki di hadapannya dipandang dengan pandangan yang tajam.

“I tak merepek. You bencikan I kan? Ye la, hari pertama kita bekerjasama, syarikat dah luluskan proposal I, sedangkan proposal you yang selalu dapat menarik minat semua orang tiba-tiba sahaja ditolak,” lancar sahaja Faizul bersuara.

Wajah Amira terus sahaja berubah. Dia mencengilkan matanya terhadap lelaki di hadapannya itu. Sebenarnya apa yang diteka oleh lelaki itu ada kebenarannya. Dia sendiri terkejut apabila kertas cadangannya kali ini ditolak. Lelaki yang bekerjasama dengannya kali ini mempunyai pemikiran yang cukup kreatif dan berfikiran jauh.

“Nonsense! I tak pernah rasa tergugat dengan itu semua, I lebih lama bekerja dengan syarikat papa you ni, dan kalaupun syarikat papa you pecat I, I percaya I akan dapat kerja dekat tempat lain dengan mudah saja,” ujar Amira dengan bongkak. Itu sahaja cara dia untuk menegakkan benang yang basah.

“Huh, you know what, I tak pernah jumpa gadis yang sombong dan bongkak macam you ni, dah la, I malas nak layan orang yang budget diri dia bagus sangat padahal tak ada apa-apa pun!” Faizul tiba-tiba sahaja tidak dapat menahan kemarahannya. Dia terus sahaja melangkah menuju ke pintu ingin keluar daripada bilik pejabat gadis bongkak itu. Tapi dia terperanjat apabila tiba-tiba sahaja jalannya dihalang oleh Amira sambil memandangnya dengan mata yang tajam dan muka yang merah menahan marah.

“Kenapa tak puas hati?” tanya Faizul sinis.

“You jangan nak naikkan kemarahan I ok!” marah Amira.

“ Siapa yang naik kemarahan siapa ni? Dah la, malas I nak layan you, I langsung tak takut dengan pandangan you tu, cuma you tu yang patut takut pandang I macam tu, I takut you terpikat pulak dengan I, nanti tak pasal-pasal nangis pula teman lelaki you nanti, bye!” Faizul terus sahaja berjalan menuju ke pintu lantas keluar dari pejabat tersebut dengan perasaan yang puas. Amira terkedu sendirian.

*********************

Faizul memandu sendirian menuju ke Port Dickson. Tiba-tiba sahaja dia teringat kembali peristiwa pagi tadi. Selepas peristiwa tersebut dia dengan Amira tidak bertegur sapa walaupun mereka keluar bersama untuk berjumpa dengan pelanggan. Amira langsung tak memandang wajahnya sepanjang berurusan dengan pelanggan. Dia tersenyum sendirian. Puas hati rasanya dapat mengenakan gadis yang bongkak dan sombong seperti Amira. Dia sendiri hairan, bagaimanalah teman lelakinya sanggup bertahan dengan gadis yang sebegitu. Baginya perempuan begitu hanya boleh memeningkan kepalanya.

Lamunan Faizul terhenti sebaik sahaja dia terdengar deringan telefon bimbitnya. Nombor yang kelihatan pula amat memeranjatkannya. Dia terus memasukkan earphone ke telinganya dan terus menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum Ngah, mama cakap Angah nak datang ambil adik, tak payahlah Ngah, adik dah ok la,” suara yang dirindui Faizul kedengaran. Suara tersebut sedikit berubah. Mungkin kesan daripada kesihatan gadis tersebut yang sedikit terjejas.

“Aku on the way dah pun, yang kau ni degil sangat kenapa? Kau tahu tak semua orang dekat rumah bimbang pasal kau, mama tu sampai tak lalu nak makan, kau suka mama macam tu?” Tanya Faizul. Seperti biasa suaranya tetap tidak menunjukkan kemesraan walaupun bukan itu kemahuan fikirannya. Dia ingin berbicara lembut dengan gadis itu. Dia ingin bertanyakan kesihatan gadis itu yang sedikit sebanyak telah meresahkannya sepanjang hari ini. Tapi bila terdengar sahaja suara gadis tersebut, nada suaranya terus sahaja berubah. Dia tak mampu nak lakukan seperti kemahuan fikirannya.

“Adik dah sihatlah Ngah, kan adik dah beritahu mama yang adik dah bertambah sembuh, lagipun susahkan Angah saja datang jemput adik,” suara tersebut tetap memberikan alasan.

“Aku hanya mengikut arahan, papa yang suruh datang jemput kau, kau just tunggu saja kat hotel tu, dalam pukul lapan aku sampai,”suara Faizul tegas. Terdengar rengusan lemah dari Suraya. Tiada suara yang membalas. Faizul turut terdiam walaupun dia tahu panggilan tersebut masih belum terputus.

“Tapi……..

Hanya perkataan itu sahaja yang kedengaran. Kemudian hanya terdengar batuk kecil sahaja di corong telefon. Tiba-tiba sahaja Faizul diruntun rasa simpati terhadap gadis tersebut. Dia tahu gadis itu tidak mahu cutinya terpaksa disingkatkan gara-gara kesihatannya yang sedikit terjejas akibat terkena hujan.

“Suraya, dengar sini, bukannya aku saja nak rosakkan percutian kau, tapi kau kena faham mama, dia bimbangkan kau, tambah pulak kau kalau demam bukannya macam orang lain, dua tiga hari dah ok, kau paling sekejap pun seminggu, tu yang papa suruh datang jemput kau, kalau kau tak puas nak bercuti lain kali kau boleh bercuti lagi, janji kesihatan kau ok,” Suara Faizul mendatar lembut menunggu jawapan yang bakal diberikan oleh gadis tersebut.

“Baiklah, adik tunggu Angah kat sini, tapi kan, kita balik pagi esok nak tak? Malam ni kawan-kawan adik buat BBQ kat tepi pantai, adik nak join sekali, Angah pun boleh join sama, bolehlah Ngah ek?” suara yang baru sahaja didengar oleh Faizul telah membuatkan jantungnya berdegup kencang. Suara tidak pernah bersuara manja begitu dengannya. Inilah kali pertama dia dengar suara itu cukup lembut dan manja sehingga meresap masuk ke dalam jiwa raganya.

“Angah…boleh tak? Bolehlah…lagipun adik teringin sangat nak BBQ tepi pantai, mesti best…bolehlah, Angah tak payahlah pergi kerja esok, papa mesti tak marah punya…Angah?”

Faizul terkedu seketika. Dia tak tahu jawapan yang bagaimana dia harus beritahu gadis tersebut.

“Yalah, yalah,” Akhirnya dia bersetuju. Nasib baik pagi tadi sebelum datang kerja dia sudah membawa beberapa helai pakaian. Walaupun dia tidak berniat untuk bermalam di situ namun itu adalah tabiatnya apabila berjalan jauh sedikit. Dia tak suka memakai pakaian yang sama dalm masa satu hari suntuk. Sebelum datang tadi dia sudahpun menukar pakaiannya di hotel tempat dia bertemu pelanggan.

“Terima kasih Ngah, jumpa malam ni, Assalamualaikum,” panggilan terus sahaja terputus sebaik sahaja mengucapkan terima kasih dan memberi salam. Faizul menggelengkan kepala dan tersenyum. Dalam masa yang sama dia menjawab salam yang diberikan Suraya perlahan. Dia terus memberikan perhatian sepenuhnya ke arah jalan raya dengan harapan dia selamat sampai dan bertemu dengan gadis yang amat dirinduinya sepanjang minggu ini.

*****************

Faizul melemparkan badannya ke katil di dalam sebuah bilik hotel yang sama dengan tempat penginapan Suraya. Badannya terasa sedikit penat dan matanya cukup layu. Tadi sebaik sahaja dia malangkah masuk ke bilik hotel itu, dia mendapat sekali lagi panggilan dari Suraya bertanyakan tentang kedatangannya. sebaik sahaja dia memberitahu dia sudahpun sampai dan baru sahaja mendaftar masuk, Suraya terus menyuruhnya supaya turun ke tepi pantai dalam pukul sembilan malam. Belum sempat dia memberikan jawapan, Suraya mematikan talian.

Faizul terlelap seketika sebelum dikejutkan dengan deringan telefon bimbitnya. Dia ingatkan mamanya yang telefon bertanyakan keadaannya, namun sebaliknya orang yang langsung tak diharapkan pada ketika ini.

“Hello,” suaranya lemah menjawab panggilan tersebut. Malas dia nak melayan pemanggil itu.

“Joe, you kat mana? You kan janji dengan I nak jumpa I kat kelab malam ni?” suara manja di corong telefon itu langsung tak dapat menghilangkan kepenatannya di kala itu.

“Ala, sorry Reen, I lupa lagipun sekarang ni I kat PD,” jawab Faizul. Dia langsung tak ingat yang dia sudahpun berjanji akan berjumpa gadis itu pada malam ini semalam.

“You buat apa kat sana?”

“I ada hal sikit, kita jumpa lain kali la ek, oklah I baru jer check in kat hotel ni, letih, I call you back ok, lagipun esok pagi I balik, ok Reen, bye!” Faizul terus mematikan taliannya. Dia malas nak menunggu lama-lama. Nanti bermacam-macam soalan yang ditanya oleh gadis tersebut yang boleh membuatkannya semakin penat.

********************

Suraya sedang berbual-bual dengan Fatima sementara menunggu kedatangan Angahnya. Harapannya agar lelaki itu turun. Lagipun dia tahu tentu abangnya itu belum makan malam lagi dan dia juga tahu tentu abangnya itu kepenatan kerana agak lama memandu.

“Kau cakap Angah kau dah sampai, mana dia?” Tanya Fatima sambil melilau mancari kelibat abang Suraya yang selama ini hanya mendengar namanya sahaja.

“Kat bilik la, penat kot, lagipun dari KL ke PD boleh tahan jauhnya,” jawab Suraya lemah. Tekaknya terasa sedikit perit dan kadang-kadang batuknya kedengaran. Entah kenapa malam ini, badannya terasa semakin lemah mungkin keadaan suhu yang agak sejuk pada malam itu membuatkan badannya semakin tak bermaya. Dari tadi dia hanya terduduk di sebatang kayu yang besar yang sedia ada di kawasan mereka membuat BBQ. Dia tak mampu untuk menolong kumpulannya itu membuat sebarang kerja. Kepalanya semakin berdenyut-denyut.

“Kau ok ke? Aku tengok kau makin lemah je? Ok juga Angah kau datang ambil kau malam ni, aku pun bimbang jugak kesihatan kau ni, walaupun cuti kita masih berbaki tapi kesihatan kau lebih penting, nanti bila kau sihat kita datanglah bercuti lagi, kita berdua je, boleh menyetan sikit kan?” ujar Fatima yang membuatkan Suraya tergelak kecil. Kemudian terdengar nama Fatima dipanggil. Fatima terus sahaja meminta diri dan melangkah meninggalkan Suraya.

“Sorang nampak?” tiba-tiba sahaja Suraya dikejutkan dengan suara yang langsung tidak terlintas olehnya.

“Mila, awak tak join mereka ke?” tanya Suraya lembut.

“Malas, asap banyak sangat, nanti tak pasal-pasal I pulak yang jatuh sakit, kalau you tak apalah, semua orang nak ambil berat pasal you, jaga you, kalau I sakit, I cuma boleh harapkan Iwan saja, tu pun belum tentu dia ambil berat pasal I sama dengan dia ambil berat pasal you,” kata-kata itu cukup sinis. Suraya sedar Mila sedang memerlinya. Dia tahu Ridwan agak mengambil berat tentang dirinya semenjak dia jatuh sakit dua hari yang lepas. Kadang-kadang dia langsung tak dapat menolak pertolongan yang ingin dihulurkan oleh lelaki itu walaupun hatinya ingin melakukan sedemikian. Dia takut lelaki itu akan berkecil hati.

“Awak ni macam-macam la, Iwan kan teman lelaki awak, tentulah dia ambil berat pasal awak,” Hanya itu yang mampu dijawab oleh Suraya di kala itu. Fikirannya tak dapat mencari ayat yang paling sesuai untuk meyakinkan gadis itu yang dia sebenarnya tiada niat langsung mahu mengacau hubungan gadis itu dengan teman kuliahnya Ridwan.

“Oh, tahu pun you yang Iwan tu teman lelaki I, habis tu yang you terhegeh-hegeh dekat dia tu kenapa?”

“Apa maksud awak ni, saya tak pernah pun nak tarik perhatian Iwan, dia sekadar tolong saya sebab saya demam, itu saja, awak janganlah salah faham,” jelas Suraya diikuti dengan batuk kecil.

“Salah faham, hei, you dengar sini, I bukannya bodoh sangat sampai tak perasan yang Iwan tu ada hati dengan you, dan you pun jangan nak pura-pura langsung tak ada hati dekat dia,” bidas Mila kasar. Sudah lama dia memendam perasaan benci terhadap gadis tersebut.

“Ya Allah, percaya ataupun tidak, saya memang tak ada hati langsung dengan Iwan, dia sekadar kawan saya,” jelas Suraya lagi.

“You nak nafikan lagi, habis tu yang pagi-pagi hantar sarapan dekat bilik you tu siapa? Macamlah tak ada pekerja hotel yang boleh hantarkan makanan dekat you, you boleh perbodohkan orang lain tapi you tak boleh nak perbodohkan I, dasar perempuan murahan!”

“Hei perempuan, kau jaga sikit mulut kau tu,” tiba-tiba sahaja terdengar suara lelaki membalas kata-kata Mila. Mila agak terperanjat, begitu juga dengan Suraya walaupun dia tahu tentang kedatangan lelaki itu.

“You ni siapa nak masuk campur urusan I, ataupun you ni salah seorang yang lelaki yang dia cuba goda?” tanya Mila dengar kasar. Dia hairan kenapa kebanyakkan lelaki yang mendampingi gadis yang dianggapnya penggoda terdiri daripada lelaki yang memiliki perwatakan yang menarik. Cantik sangat ke Suraya? Hatinya berdetik.

“Mila, dia ni abang saya, sudahlah, saya minta maaf kalau saya salah,” ujar Suraya lemah. Matanya semakin berpinar.

“Ye ke? Boleh percaya ke? Kalau you bohong pun bukannya I tahu, you kan perempuan sundal!” sebaik sahaja Mila menghabiskan ayatnya. Tangan Faizul hampir sahaja menampar muka gadis itu, namun suara kuat Suraya memanggilnya, membuatkan tangan Faizul berhenti serta merta. Semua orang yang berada di pantai terkejut dengan suara Suraya yang kuat itu.

“Kau jaga sikit mulut kau tu kalau tak kena penampar dari aku, kau jangan ingat kau senang-senang saja nak buli dia selagi aku ada,” Faizul meninggikan suaranya.

“Aku peduli apa, kau ada ke kau tak ada ke? Aku tak takut la, perempuan yang macam ni patut kena ajar,” suara Mila pula meninggi.

“Apahal ni?” tanya Fatima dan terus mendapatkan Suraya.

“Kenapa ni? Mila, kenapa?” Ridwan yang agak terperanjat sebaik sahaja mendengar jeritan Suraya tadi terus sahaja mendapatkan Mila.

“Oh, jadi kaulah boyfriend perempuan ni? Kau suruh girlfriend kau ni, jaga sikit mulut dia tu, jangan celupar sangat,” marah Faizul sebaik sahaja melihat lelaki yang dianggapnya sebagai punca pentengkaran di antara Suraya dengan perempuan itu.

“Kau ni siapa? Apa yang girlfriend aku buat sampai kau marah sangat?” Tanya Ridwan inginkan kepastian. Lelaki itu tak pernah dilihatnya sebelum ini.

“Kau tanya sendiri teman wanita kau tu...jom Suraya, kita balik malam ni juga, tak payah tunggu esok pagi,” suara Faizul agak keras dan terus menarik tangan Suraya.

“Tapi Ngah……..

“Tak ada tapi-tapi lagi, kau masih nak duduk dekat sini dan dengar saja orang hina kau, kenapa kau ni baik hati sangat,” marah Faizul dan terus manarik kasar tangan Suraya. Fatima yang masih lagi mendengar cerita daripada Suraya sudah dapat mengagak apa sebenarnya yang sedang berlaku. Dia memberi isyarat agar Suraya mengikut sahaja kemahuan abangnya.

“Dan kau, jaga sikit girlfriend kau tu, suruh dia sayang mulut sikit,” Faizul bersuara dengan nada yang berbaur amaran. Suraya yang lemah di kala itu hanya melangkah dan membiarkan tangannya ditarik kasar oleh Faizul. Dia tahu kali ini, dia terpaksa mengikut apa sahaja kehendak lelaki itu. Dia sudah tidak mampu memberikan sebarang alasan untuk berada lebih lama di situ. Kali ini, dia tewas. Nampaknya dia terpaksa pulang ke KL pada malam ini juga.

Suraya hanya menyepikan dirinya di dalam kereta. Sedikitpun dia tak memandang ke arah Faizul. Wajah lelaki itu terlalu bengis untuk ditatap. Sudah sekian lama dia tidak melihat wajah bengis itu. Dulu wajah itu sering saja dilihat sewaktu dia masih kecil dan remaja, namun wajah yang dilihatnya sekarang lebih menakutkan.

“Kalau kau dah kemaruk sangat nak bercinta cari lelaki yang belum berpunya, jangan gatal sangat nak ambil boyfriend orang!” kata-kata yang cukup pedas keluar dari mulut Faizul. Perasaan marahnya masih belum padam.

“Apa yang Angah merepek ni, jangan tuduh adik yang bukan-bukan boleh tak!” Suraya menjawab. Hatinya terasa sedih sangat apabila dituduh sebegitu oleh abangnya sendiri. Ditambah pula dengan kepalanya yang masih belum berhenti dari berdenyut.

“Habis tu apa yang aku dengar kat pantai tadi tu apa? Kalau tak ada angin pokok tak akan bergoyang!” balas Faizul. Hatinya sedikit diselubungi api cemburu mendengar kata-kata daripada gadis yang bergaduh dengan Suraya berkenaan dengan lelaki yang dikenali sebagai Iwan yang terlalu mengambil berat terhadap Suraya.

“Jangan nak menuduh kalau tak ada bukti, jangan nak meneka kalau tiada sebarang klu, dan jangan nak mengata kalau tak ada sebarang isi yang munasabah, Angah baru saja sampai, banyak benar ke yang Angah dengar sampai Angah dah boleh menuduh adik yang bukan-bukan, Angah kenal ke siapa Iwan? Angah kenal ke siapa Mila? Dia jenis perempuan yang macam mana? Angah tak tahu semua tu, jadi tolong jangan tuduh adik yang bukan-bukan!” tiba-tiba sahaja suara meninggi. Demamnya masih belum lagi kebah, ditambah pula dengan tuduhan yang langsung tak berasas daripada Faizul. Tiba-tiba sahaja darahnya menggelegak.

“Oh, jadi kalau aku tak kenal mereka aku tak boleh nak tahu yang mana benar dan yang mana salah, begitu?” Tanya Faizul yang turut meninggikan suara. Dalam masa yang sama dia menambahkan kelajuan keretanya. Hatinya cukup panas di kala itu. Tambahan pula Suraya sekarang sudah pandai menjawab, agak berbeza dengan Suraya yang dahulu yang lebih suka mendiamkan diri jika dia meninggikan suara.

“Memang tak boleh, Angah tak pernah tahu apa-apa pun pasal adik, malah Angah tak pernah nak ambil tahu apa-apa pun pasal adik, jadi Angah tak berhak nak menuduh adik yang bukan-bukan, adik boleh terima kalau Along yang marah adik sebab selama ni dia yang saja yang layan adik macam adik ni adik dia!” jerit Suraya kuat. Serentak dengan itu, kereta berhenti dengan tiba-tiba di tepi jalan di kawasan yang agak sunyi. Hanya jarang-jarang kenderaan yang sahaja yang kelihatan lalu lalang di kala itu. Tubuh Suraya sedikit terpelanting ke depan, nasib baik dia sudah memakai tali pinggang keledar.

Faizul memandang tepat ke arah Suraya yang berada di sebelahnya. Di kala itu gadis itu juga tepat memandang ke arahnya. Faizul kaget seketika apabila terpandang air mata Suraya yang berjujuran jatuh membasahi pipi.

“Betul kan, selama ni Angah tak pernah nak anggap adik ni adik Angah, adik tahu Angah bencikan adik, tambahan pula bila Angah tahu yang adik ni bukan anak kandung papa dengan mama!” Suraya bersuara lagi. Namun sejurus itu dia terus sahaja meluru keluar dari kereta. Faizul yang terperanjat dengan tindakan Suraya turut meluru keluar dari kereta.

Suraya terus bertinggung di tepi jalan dan terus memuntahkan segala isi kandungan yang berada di dalam perutnya. Dari tadi dia menahan dari muntah ekoran daripada tindakan Faizul yang membawa kereta terlalu laju dan berhenti secara tiba-tiba. Dia menekan perutnya. Dalam masa yang sama dia memicit kepalanya yang semakin berdenyut.

“Kau ok ke?” Tanya Faizul sambil menyentuh bahu gadis itu. Dengan pantas Suraya menepis tangan Faizul dengan kasar. Faizul sedikit bengang dengan tindakan Suraya namun ditahannya. Perasaan simpati lebih melebihi dari segala-galanya. Tiba-tiba sahaja perasaan menyesal menyelubungi hatinya. Dia tak seharusnya menuduh Suraya dengan tuduhan yang bukan-bukan. Seharusnya dia lebih bersifat tenang dalam situasi begitu, tambahan pula Suraya tengah sakit. Tapi perasaan cemburu yang ada dalam dirinya telah membuatkannya berfikiran tidak matang.

Suraya cuba bangun dengan sedaya upaya untuk menuju ke arah kereta semula. Namun kepalanya cukup sakit dan berdenyut-denyut. Matanya mula berpinar. Selangkah dia berjalan dia berhenti, untuk langkah yang kedua, kakinya sudah tidak mampu menahan tubuhnya daripada terjatuh. Nasib baik Faizul yang berada di sisinya di kala itu cepat bertindak dengan memegang kedua-dua bahunya dan menahannya daripada jatuh.

“Kau ok ke? Kita ke hospital ok?” Tanya Faizul.

“Tak nak, nak balik,” suara Suraya kedengaran lemah. Faizul merengus. Dengan perlahan dia memapah membantu gadis itu untuk masuk ke dalam kereta. Sebaik sahaja dia meghidupkan enjin kereta semula, kelihatan Suraya sudahpun tidur. Faizul terus sahaja membawa kereta menuju pulang ke rumah.

Setelah hampir tiga jam Faizul memandu keretanya, akhirnya dia memasuki ke perkarangan villa mewah milik keluarganya. Dia mematikan enjin keretanya dan menoleh ke sisi. Suraya masih lagi tertidur. Jam sudahpun menunjukkan hampir pukul dua pagi. Kemudian kedengaran pintu utama banglo dibuka. Faizul memang sudah dapat mengagak siapa yang terpancul di depan muak pintu di kala itu.

“Angah, malam tadi telefon mama cakap nak balik pagi esok, tapi kenapa pula terpancul kat depan rumah lewat macam ni?” Tanya Datin Rafidah dan berjalan menuju ke arah anaknya yang baru keluar dari perut kereta. Faizul menjadi serba salah. Dia tak tahu jawapan yang bagaimana yang harus dia beritahu mamanya.

“Adik yang ajak balik ma, adik rasa demam adik makin teruk, tu yang adik ajak Angah balik terus tadi,” dengan lemah Suraya bersuara. Pintu kereta ditutupnya. Rupa-rupanya Suraya mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Datin Rafidah kepada Faizul. Faizul agak terperanjat dengan jawapan yang tiba-tiba diberikan oleh Suraya. Dia ingatkan Suraya masih lagi tertidur di dalam kereta. Dia terus menutup pintu kereta dan berjalan menuju ke arah Suraya dan ingin membantu gadis tersebut berjalan. Namun Suraya menyentap lembut tangannya yang baru sahaja memegang tangan Suraya. Dengan cepat Suraya mendapatkan mamanya dan dipeluk manja.

Datin Rafidah terus sahaja menyentuh dahi anak kesayangannya. Dia agak terperanjat apabila mendapati dahi Suraya panas sangat.

“Kan mama dah cakap suruh Along jemput awal-awal lagi, tapi adik degil, tengok sekarang demam dah makin teruk, kita pergi hospital ye sayang?” ujar Datin Rafidah. Suraya hanya mendiamkan diri. Dia sudah tidak mampu untuk bersuara lagi. Badannya terasa penat sekali. Tambahan pula tadi dalam perjalanan dia sudah muntahkan kesemua isi perutnya.

Faizul hanya memerhati. Kemudian kelihatan Datuk Rashid dan abangnya turut keluar. Faizal terus sahaja mendapatkan adiknya dan dahi adiknya disentuh lembut.

“Adik ok? Kita pergi hospital eh? Demam adik ni teruk sangat ni,” Faizal pula bersuara. Suraya menggelengkan kepala. Datuk Rashid terus mendapatkan anak perempuan kesayangannya dan dipeluk manja.

“Adik tak nak pergi hospital la pa, esok adik ok la, adik kurang rehat je, adik letih sangat,” Lemah sahaja kata-kata yang dituturkan oleh Suraya. Faizul pula di kala itu hanya mendiamkan diri. Dia tahu malam ini sekali lagi Suraya menyelamakannya dari dimarahi oleh papa dan mamanya. Dia tahu kali ini dia silap. Seharusnya dia tidak memaksa Suraya untuk pulang ke rumah serta merta, tetapi peristiwa yang berlaku di tepi pantai malam tadi, cukup membuatkannya geram dan marah.

“Kenapa kau tak telefon ke rumah awal-awal beritahu adik sakit kuat?” Tanya Faizal.

“Manalah aku tahu dia demam teruk sangat, lagipun masa balik tadi aku tegok dia tak ada la teruk macam ni,” jawab Faizul. Dia tahu Faizal seakan-akan menyalahkan dirinya. Macamlah dia seorang sahaja yang bimbang tentang keselamatan Suraya. Rungutnya di dalam hati.

“Sudahlah tu, jom kita masuk, adik bukannya boleh duduk dekat luar lama sangat, kat luar ni sejuk, Angah pun tentu penat drive tadi kan, dah pergi masuk,” arah Datuk Rashid. Dia terus memapah anak bongsunya untuk bersama masuk ke eumah. Faizul menghembus nafas sekuat mungkin. Dia turut rasa bersalah dengan apa yang berlaku pada malam ini.

*******************

Faizul melemparkan tubuhnya ke atas katilnya. Dia memandang tepat ke arah syiling rumah dan mengeluh. Kenapa dia berkasar sangat dengan Suraya walaupun di kala itu dia langsung tak mendengar sebarang penjelasan daripada Suraya. Tambahan pula dia langsung tak memberi sedikit pun peluang kepada Suraya untuk menjelaskan segalanya yang terjadi di tepi pantai. Malah dia menuduh Suraya dengan tuduhan yang bukan-bukan sehingga menimbulkan kemarahan gadis tersebut. Dia seharusnya memberi peluang kepada Suraya untuk menjelaskan segalanya.

“Betul kan, selama ni Angah tak pernah nak anggap adik ni adik Angah, adik tahu Angah bencikan adik, tambahan pula bila Angah tahu yang adik ni bukan anak kandung papa dengan mama!”

Faizul tiba-tiba teringat kembali kata-kata yang keluar dari mulut Suraya sebentar tadi. Dia mengeluh kuat. Matanya dipejam rapat untuk melupakan kata-kata yang asyik terngiang-ngiang di telinganya. Sesungguhnya dia tidak pernah membenci gadis tersebut. Kalaulah Suraya mengerti perasaan yang dialaminya selama ini. Namun jauh di sudut hatinya dia lebih rela sekiranya Suraya tidak mengetahui langsung tentang perasaannya itu daripada dia ditolak mentah-mentah oleh Suraya sekiranya dia meluahkan perasaannya terhadap gadis itu.

5 comments:

  1. Kak... best sgat2 bab ni.. like2.. ^_^

    ReplyDelete
  2. best2. oh ya er lupa samada dah tya ke belum; bila buku ni keluar?

    ReplyDelete
  3. best2... puas bce..... :)

    ReplyDelete
  4. salam...
    kak ble novel ni nk keluar dipasaran..
    sy dh bace novel ni until bab 51 kt penulisan2u.my....
    xcited sgt...

    ReplyDelete