Thursday, December 22, 2011

DIA SEGALANYA BAB 9

BAB 9

Faizul menandatangani borang yang dihulurkan oleh salah seorang pekerja di syarikat penghantran yang menghantarkan barang-barang yang diposkan olehnya sewaktu di England dahulu.

“Pihak kami meminta maaf pada encik di atas kelewatan kami menghantar barang-barang encik ni,” pekerja yang menghulurkan borang yang baru sahaja ditandatangani oleh Faizul bersuara.

“It’s ok, tapi barang-barang saya ni tak ada sebarang kerosakan kan?” Tanya Faizul kembali sambil melihat ke arah dua buah kotak besar yang baru sahaja diangkat oleh seorang lagi pekerja syarikat penghantaran tersebut.

“Insya-Allah encik tak ada sebarang kerosakan, sekiranya ada encik datang kembali ke syarikat kami yang berdekatan dan kami akan membayar ganti rugi sekiranya ianya adalah berpunca dari syarikat kami, kalau tak ada apa-apa kami pergi dulu,”

“Ok, thank you,”

Sebaik sahaja van yang menghantar barang-barangnya tadi berlalu Faizul terus sahaja mengangkat kotak tersebut satu demi satu. Berat kotak tersebut bukan main lagi beratnya. Rasanya sewaktu dia pergi menghantar barang-barangnya di syarikat penghantaran yang beroperasi di England dulu tidaklah seberat itu. Mungkin waktu itu dia mahu cepat apatah lagi dia hampir ketinggalan kapal terbang gara-gara menghantar barang-barang itu di syarikat penghantaran. Jadi semua itu tidak dirasainya.

Sebaik sahaja dia selesai mengangkat barang-barang masuk ke dalam rumah dia berehat seketika di sofa. Barang-barang tersebut ditinggalkan terlebih dahulu dan diletakkan di tepi berhampiran dengan tangga. Menyesal pula kerana menolak pelawaan dua orang pekerja syarikat penghantaran tadi yang mahu mengangkat barang-barangnya masuk ke dalam rumah.

“Kotak apa yang besar sangat ni Angah?” Tanya Datin Rafidah yang baru sahaja turun dari tangga.

“Hah! Kotak? Oh, tu barang Angah yang masa kat England dulu, yang tertinggal kat sana, jadi Angah suruhlah kawan Angah kat sana poskan,” jawab Faizul agak gugup dengan pertanyaan mamanya itu. Dia juga berdoa dalam hati agar mamanya tidak bertanya dengan lebih lanjut tentang kotak tersebut.

“Oh, mama nak keluar sekejap nak jumpa kawan, Angah nak guna kereta ke? Kalau Angah nak guna kereta mama suruh driver yang hantarkan mama,” ujar Datin Rafidah yang sudahpun bersiap dengan pakaian yang cukup cantik dan anggun. Ditambah pula dengan tudung yang disesuaikan dengan pakaian yang dipakainya.

“Tak apalah mama, Angah tak keluar hari ni, lagipun Angah nak rehatlah, esok Angah kan dah nak mulakan kerja,” jawab Faizul sambil tersenyum ke arah mamanya.

“Oklah, mama keluar dulu, kalau ada apa-apa hal telefon mama tau,”

“Ma, I’m twenty six! Ok!”

“Ok! mama pergi dulu, Assalamualaikum!”

“Waalaikummussalam!” Faizul menjawab salam mamanya dan terus bangun untuk menyambung kembali kerjanya mengangkat kotak yang tersadai di tepi tangga untuk dibawa masuk ke dalam biliknya. Dia tak mahu sekiranya ada sesiapa pula yang bertanyakan mengenai perihal kotak tersebut. Terutama Alongnya, nasib baik hari itu Alongnya ke pejabat. Papanya juga berada di pejabat dan Suraya berada di kampus. Sekarang hanya dia sahaja berada di rumah bersama dengan dua orang gajinya yang sentiasa ada di dalam rumah. Senang sikit kerjanya kerana tiada sesiapa pun yang boleh mengacaunya dan tanya benda yang bukan-bukan mengenai kotak yang sebesar kotak tv 29 inci itu.

Sebaik sahaja Faizul meletakkan kedua-dua buah kotak tersebut ke dalam biliknya dia terus sahaja mengunci pintu biliknya dan pantas membuka kotak tersebut dan barang-barang yang ada di dalam kotak diperiksa satu-satu. Nasib baik semua barang yang berada dalam kedua-dua buah kotak tersebut berada di dalam keadaan elok dan tiada sebarang kerosakan walaupun sedikit.

Faizul mengambil sebuah buku yang agak tebal di daam salah sebuah kotak dan dibukanya. Dia tersenyum sendirian melihat isi kandungan buku tersebut. Sekiranya ada orang lain yang tahu dan nampak dia membaca buku tersebut tentu orang itu akan terkejut sekiranya diberitahu bahawa dia mengambil jurusan perniagaan sewaktu belajar dahulu. Alongnya sendiri pernah terkejut melihat dia sedang membaca buku tersebut dengan penuh teliti sewaktu dia mula-mula membeli buku itu. Nasib baiklah waktu itu dia dapat memberikan alasan yang munasabah yang menyebabkan Alongnya terima dengan alasannya itu.

Kemudian dia beralih pandang ke arah sebuah kotak lagi yang dipenuhi dengan bungkusan-bungkusan kecil yang dibalut cantik dan cermat. Dia mengangkat satu demi satu kotak tersebut dan diletakkan dia atas katilnya. Dia mengeluh sendirian setelah kotak-kotak kecil yang terbalut cantik itu selesai dikeluarkan semua sekali. Dia sendiri tidak pasti apa yang dia harus lakukan dengan kotak-kotak tersebut. Kemudian dia menyimpan kotak-kotak tersebut ke dalam salah sebuah alamari pakaiannya. Manakala buku-buku diletakkan dengan cermat ke atas rak buku yang sememangnya ada di dalam biliknya yang tersimpan pelbagai jenis buku yang digemarinya. Nasib baik masih ada banyak ruang kosong untuk dia menyimpan buku-buku yang paling diminati dan disayanginya itu.

*****************

Suraya berjalan seorang diri menuju ke salah sebuah kedai buku yang paling diminatinya. Di kedai tersebut terdapat pelbagai jenis buku-buku yang menarik perhatiannya terutamanya novel dari penulis-penulis yang menjadi pujaannya. Damya Hanna dan Noorhayati Berahim merupakan penulis novel yang paling diminatinya kerana terdapat pelbagai unsur-unsur pengajaran yang terselit di setiap novel yang ditulis oleh mereka. Malah dengan membaca novel-novel tersebut dia dapat mengetahui banyak perkara yang selama ini dia tidak pernah tahu. Contohnya novel Damya Hanna yang bertajuk Rela Ku Menanti yang baru habis dibacanya minggu lepas telah memberi pendidikan kepadanya bagaimana cara untuk mengambil anak angkat walaupun dia tidak pernah terfikir untuk mengambil anak angkat, tetapi perkara tersebut sekurang-kurangnya memberikan pendidikan kepadanya yang selama ini langsung tidak pernah diambil peduli olehnya. Dengan membaca novel tersebut, dia juga pernah terfikir adakah mama dan papanya menggunakan cara yang sama sewaktu mengambilnya sebagai anak angkat dahulu. Namun perkara itu cepat-cepat disingkirkan dari benak fikirannya kerana dia tidak mahu dibebani dengan masalah yang selama ini ingin dilupakan olehnya.

“Suraya! What are you doing here?” tiba-tiba sahaja dia ditegur oleh seorang pemuda yang tidak dikenalinya. Namun dia pasti dia pernah melihat pemuda tersebut tapi dia tidak ingat di mana.

“Maaf, saya kenal awak ke?” Tanya Suraya agak gugup.

“Dah agak dah, Su mesti tak kenal abang punya, Abang Man, kawan baik abang Su, Faizul,” Deraman memperkenalkan dirinya. Suraya terdiam seketika kemudian dia tersenyum.

“La, Abang Man, maaflah Su tak cam sebab dah lama tak jumpa kan!” Jawab Suraya yang mula mengingat kembali satu-satunya kawan Angahnya yang melayan dirinya dengan baik sekali sewaktu berada di sekolah menengah dahulu. Deraman selalu membantunya sekiranya dia sering dibuli dengan kawan-kawan Angahnya yang terdiri daripada anak-anak orang kaya yang bongkak dan sombong.

“It’s ok. Su tak jawab lagi pertanyaan abang, Su buat apa kat sini?”

“Su nak cari buku kat kedai tu, abang pulak?” Tanya Suraya kembali.

“Abang baru saja balik dari mesyuarat dekat bangunan tu, biasalah Su,
akauntan macam abang ni, sibuk saja memanjang,” beritahu Deraman yang cuba beramah mesra dengan gadis yang sudah lama dia tidak ditemuinya. Dulu sebelum Faizul ke luar negara dia selalu juga berkunjung ke rumah Faizul dan dalam masa yang sama dapat berbual-bual dengan Suraya, tetapi setelah Faizul melanjutkan pelajaran ke luar negara dia langsung tak berpeluang untuk berjumpa dengan Suraya. Malah apabila bertemu kembali dengan Suraya di depan sebuah pub malam itu, baru dia sedar sudah lima tahun dia tidak berjumpa dengan gadis itu dan dia betul-betul terperanjat dengan penampilan yang ada pada diri Suraya waktu itu. Gadis itu cukup cantik, dengan wajahnya yang putih dan berbentuk bujur sireh memang manarik perhatian mana-mana lelaki ditambah pula dengan tubuhnya yang tinggi lampai dan potongan badan yang sesuai dengan ketinggiannya itu pasti membuatkan ramai lelaki terkejar-kejar untuk memiliki dirinya. Fesyen yang dikenakan pula memang sesuai dengan trend masa kini yang digilai ramai oleh para remaja yang bertudung.
Suraya yang dahulu dengan Suraya yang kini sangat jauh bezanya. Suraya yang dahulu terlalu ringkas dan tidak mementingkan penampilan. Suraya yang dahulu juga seorang yang agak pemalu dan tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Tetapi Suraya yang sedang berdiri di hadapannya pada hari ini sudah jauh bezanya, yang langsung tak berubah mungkin pada sifatnya yang tak pernah bersikap sombong dengan sesiapa sama sahaja seperti dahulu. Walaupun Suraya dibesarkan dalam keluarga yang kaya namun dia sentiasa bersifat rendah diri. Sifat itulah yang menyebabkan dia menghulurkan salam persahabatan pada gadis itu sewaktu mula-mula mengenali Suraya semasa mereka berada di bangku sekolah dahulu.

“Abang dah jadi akauntan la ni, jadi cita-cita abang selama ni dah tercapai la ek?” sambung Suraya dan menyebabkan Deraman agak terperanjat. Nampaknya sudah jauh dia mengelamun memikirkan gadis yang sedang berdiri di depannya di kala itu.

“Nampaknya macam tulah Su, hei, Su masih ingat lagi cita-cita abang nak jadi apa? Abang ingatkan Su dah lupa, yalah kita kan dah lama sangat tak jumpa,” bicara Deraman yang kagum dengan daya ingatan yang ada pada Suraya. Sebenarnya dia langsung tak menyangka yang Suraya akan mengingati kata-katanya yang sudah bertahun-tahun lamanya.

“Tentulah Su ingat, abang kan satu-satunya kawan lelaki Su yang betul-betul ikhlas nak berkawan dengan Su masa kita kat bangku sekolah dulu, masa tu kan Su langsung tak ada kawan lelaki, budak-budak lelaki lain pulak tak habis-habis nak kenakan Su, apa yang Su buat sampai mereka marah sangat dengan Su, Su pun tak tahu,” Suraya mula mengungkit semula peristiwa lama yang banyak meninggalkan kesan di dalam hidupnya.

“Abang percaya Su, kalau mereka tengok Su sekarang ni pasti dia orang menyesal sebab tak berbaik dengan Su dulu,” ujar Deraman dengan senyuman yang penuh makna. Patutlah kawan baiknya Faizul langsung tidak boleh melupakan gadis yang berdiri di depannya waktu ini. Kalau macam nilah, nampaknya sampai bila-bila pun kawan baiknya itu tidak akan mampu melupakan gadis itu.

“Maksud abang?” Tanya Suraya yang langsung tidak memahami dengan apa yang dimaksudkan oleh Deraman.

“Tak ada apa-apa lah, oh ya, abang dengar Su pun sedang belajar dalam jurusan kedoktoran kan, jadi cita-cita Su selama ni pun akan tercapai jugak kan?” Deraman cuba untuk mengubah tajuk perbualan.

“Insya-Allah kalau tidak ada sebarang aral,”

“Ish, abang tak boleh lama ni, abang kena balik ke pejabat, kalau ada masa boleh abang ajak Su minum ke? Makan ke? Boleh?” Tanya Deraman. Dia mengajak dengan ikhlas. Sudah bertahun-tahun dia tak berbual-bual dengan gadis itu. Sebenarnya dia suka sangat berbual-bual dengan Suraya. Suraya bukannya seorang gadis yang hipokrit, dia jenis yang jujur dan sentiasa bercakap benar. Sebab itulah dia lebih selesa berbual-bual dengan gadis itu dan bukannya dengan gadis-gadis lain.

“Boleh, tapi Su tak berani nak keluar dengan abang berdua je, nanti tak pasal-pasal Su kena serang dengan teman wanita abang,” Suraya cuba bergurau dan ternyata gurauannya itu menjadi kerana Deraman ketawa di depannya.

“Abang mana ada teman wanita, kalau ada pun dia tak boleh marah sebab abang keluar dengan gadis yang abang dah anggap macam adik abang sendiri,” Deraman berbicara ikhlas. Memang tidak dinafikan pada mulanya dia memang menaruh minat terhadap Suraya tetapi setelah mengetahui sesuatu dia nekad untuk melupakan sahaja perasaan yang muncul dalam hatinya pada waktu itu dan syukur dia mampu melakukannya. Mungkin pada waktu itu dia hanyalah seorang remaja dan perasaan cinta yang timbul tidaklah seteguh mana.

“Kalau macam tu abang datanglah ke rumah, tak salah kan seorang abang datang melawat adiknya, lagipun Angah kan kawan baik Abang Man, esok Angah nak mulakan kerja dengan papa, abang tahu ke pasal tu?” Tanya Suraya yang mula membincangkan soal abangnya yang tengah.

“Tahu, dia ada beritahu abang, tak sangka pulak dia dah nak mulakan kerja awal, dia cakap dia nak rehat dulu, tapi tak apalah kan, bukannya dia buat kerja yang bukan-bukan pun, eh, kita ni dah jauh sangat melarat, abang kena balik pejabat sekarang ni, abang pergi dulu ok, nanti kalau ada masa abang datang rumah, abang pun dah lama sangat tak datang rumah Su, dah rindu sangat dengan masakan mama Su,” beritahu Deraman dengan nada bergurau. Tetapi pada hakikatnya itu memang kenyataan. Datin Rafidah melayannya dengan baik sekali selama ni. Kadang-kadang dia merasakan bahawa rumah Datin Rafidah seperti rumahnya sendiri malah kadang-kadang dia merasakan layanan Datin Rafidah terhadapnya seperti dia adalah salah seorang anak kepada wanita itu.

“Ok lah, Assalamualaikum,”

“Waalaikummussalam!” Jawab Deraman dan melangkah girang menuju ke tempat parking kereta. Di dalam hatinya dia tahu kenapa Faizul enggan melepaskan gadis itu. Gadis itu terlalu istimewa.

Suraya terus masuk ke dalam kedai buku. Dia melilau mencari sekiranya terdapat buku-buku baru yang ditulis oleh penulis kegemarannya. Namun dia hampa. Semua buku yang ada sudahpun ada dalam koleksinya. Dia kemudian melangkah menuju ke arah buku tentang sains perubatan. Agak lama dia berada di kawasan rak tersebut, membelek dan melihat sekiranya terdapat buku yang boleh membantunya dalam pelajaran. Namun pencariannya turut hampa. Banyak buku yang tidak memenuhi apa yang dikehendakinya.

“ Hai baby, you sihat, I tengah cari buku untuk adik I sekarang ni, buku apa entah yang dia nak I belikan, kalau ikutkan hati I, I memang tak nak you tahulah kan, I bencilah nak buat kerja yang remeh macam ni, you tak nak keluar dengan I ke? I rindu tau!”

Satu suara perempuan yang sedang berbual melalui telefon menarik perhatian Suraya. Dia tersenyum sendirian. Manja sungguh suara itu. Dia terpandang ke arah perempuan tersebut dan dia agak terperanjat dengan apa yang dilihatnya. Dia kenal perempuan tersebut. Suraya terus melangkah laju untuk keluar dari kedai buku tersebut. Dia tak mahu terserempak dengan perempuan yang cukup membuatkan dirinya meluat dan benci. Sesungguhnya dia tidak pernah membenci sesiapapun selain gadis itu.

3 comments:

  1. salam, thank you for the new entry :) saya telah hantar satu e-mail pada cik sha, saya amat berharap agar cik sha sudi luangkan masa untuk membacanya.. -nur-

    ReplyDelete
  2. spekah gadis yg dia xsuke tu...ape gknye dlm kotak2 angah tu...hadiah xjd bg kt su eh

    ReplyDelete
  3. jln cite ny semakin menarik..sy ske..hehe

    ReplyDelete