"Woi! Jauh kau termenung Adam?" Asyraff menyapa Adam yang sedang terduduk di tengah-tengah gelanggang bola keranjang yang terdapat di kawasan villa. Ada sesuatu yang menganggu fikirannya. Kebiasaannya pada hujung minggu begini dia akan bangun setelah matahari ada di atas kepala. Namun, pagi-pagi lagi dia sudah terjaga malah sukar untuk dia melelapkan semula matanya.
"Kau pun tak sambung tidur ke?" Adam membalas soalan Asyraff dengan soalan juga. Malas dia nak menjawab pertanyaan adik kembarnya tadi.
"Aku ada ingat nak keluar kejap lagi. Yang kau ni pulak, awal-awal pagi dah main basketball, kau ok ke? Biasanya petang-petang baru kau sentuh bola ni," Asyraff turut sama duduk di atas gelanggang bola keranjang itu sambil memeluk lututnya. Memandang wajah abang kembarnya dengan kerutan di dahi. Dia yakin ada sesuatu yang sedang menganggu fikiran kembarnya itu.
"Kau ada nampak budak tu?"
"Siapa?" Asyraff langsung tidak dapat meneka individu yang dimaksudkan oleh Adam.
"Edlynn la," Adam terus bangun lalu mencapai bola lalu melemparnya ke arah jaring yang berada di hadapannya.
"Ada! Kalau tak silap aku ada dekat tepi tasik sana, kenapa kau tanya pasal dia? Bik Yah ada beritahu aku memang aktiviti budak tu setiap pagi dia akan jogging keliling villa," Asyraff memang terasa pelik. Apa yang tidak kena dengan abangnya ni? Apatah lagi apabila bertanya akan seseorang yang cukup tidak disukai oleh mereka.
"Kau tak rasa kita ni kejam sangat ke?" Adam menoleh memandang adiknya yang masih lagi terduduk di atas gelanggang. Adam mula bangun. Berjalan perlahan menuju ke arah Asyraff.
"Apa maksud kau?"
"Adam...kita tak tahu cerita yang sebenar. Daddy tak cakap apa-apa pun apa yang terjadi antara dia dengan mummy. Daddy hanya beritahu kita yang dia dengan mummy dah tak boleh duduk bersama. Dan kau kena ingat, orang lain yang beritahu kita hal yang menyakitkan tu. Kau percaya semua tu?" Adam mula melemparkan pandangannya jauh ke kawasan tasik yang dapat dilihat dari tempat dia berdiri. Dari jauh dia dapat melihat Edlynn yang sedang duduk di bangku kayu mengadap tasik. Ada perasaan yang sukar untuk dia tafsirkan mula menular. Perasaan yang menyesakkan dada.
"Kalau apa yang diberitahu pada kita tu tak betul. Kenapa mummy langsung tak datang cari kita? Kenapa mummy terus lupakan kita macam kita ni bukan anak dia, aku malas la nak fikir pasal benda ni Adam. Buat menyakitkan hati tahu tak. Kenapa? Kau dah mula kesiankan budak tu ke? Kau sayangkan dia ke?" Asyraff bertanya dengan sinis. Telinganya masih lagi terngiang-ngiang dengan kata-kata seseorang mengenai ibunya. Cerita yang sungguh menyakitkan hati dan menyebabkan dia begitu membenci ibunya sendiri.
"Kau? Kau tak sayangkan EJ?" Adam bertanya kembali kepada Asyraff. Wajah adiknya itu ditenung lama sebelum melangkah meninggalkan Asyraff yang terdiam seribu bahasa. Asyraff melirik memandang abangnya yang melangkah meninggalkan dirinya. Kemudian, dia menoleh ke belakang, memandang ke arah tasik. Dia termenung lama di situ sebelum melepaskan keluhan berat.
**********************
Edlynn beberapa kali menoleh memandang ke arah kandang kuda yang jaraknya agak jauh dari tasik namun masih dapat melihat dengan jelas beberapa orang pekerja sedang membawa kuda-kuda berjalan dan ada di antaranya sedang menunggang. Edlynn mengeluh. Dia begitu teringin mahu ke sana, namun kakinya berat untuk melangkah.
"Kenapa mummy suka kuda?" dia pernah bertanya kepada arwah mummynya suatu ketika dahulu. Waktu itu mereka berdua sedang menunggang kuda di salah satu tempat menunggang kuda yang menjadi kegemaran mummynya sejak dia kecil lagi.
"Sebab kuda mengingatkan mummy pada daddy. Banyak kenangan mummy dengan daddy yang ada kena mengena dengan kuda. Jasmin percaya tak kalau mummy beritahu yang mummy kenal dengan daddy masa menunggang kuda, daddy melamar mummy pun dekat sini dan yang paling istimewa sekali, masa mummy temankan daddy menunggang di sini bersama-sama Along dan Angah, masa itu jugalah mummy sakit nak lahirkan Jasmin," senyuman mummynya begitu indah sekali sepanjang dia bercerita. Waktu itu dia turut sama tersenyum. Walaupun di dalam kepalanya timbul pelbagai soalan yang masih belum terjawab. Namun dia tidak mahu merosakkan suasana indah dia dan mummynya.
"Patut la Jasmin pun gilakan kuda," dia tergelak sendiri.
"Tapi sebetulnya, mummy rasa daddy lagi gilakan kuda. Sampaikan daddy ada beritahu mummy yang dia akan pastikan rumah idaman kami nanti akan ada kandang dan gelanggang kuda...tapi cuma jodoh mummy dengan daddy tak panjang, tapi satu yang mummy nak cakap pada Jasmin. Jangan salahkah daddy dengan apa yang terjadi antara mummy dan daddy, ada perkara yang mummy tak boleh beritahu Jasmin tapi suatu hari nanti, Jasmin mesti faham"
"Sampai sekarang Jasmin tak faham mummy. Jasmin perlukan penjelasan. Kenapa semua orang dekat sini seakan-akan bencikan mummy. Buat macam mummy tak pernah wujud!" Edlynn memberontak seorang diri. Setiap kali teringatkan arwah mummynya, jiwanya pasti tidak tenteram. Malah rasa marah yang selama ini cuba ditahan seakan-akan membuak-buak menunggu saat mahu meletup. Edlynn mencapai sebiji batu kecil yang ada di kakinya lalu dilontarkan jauh ke dalam tasik. Mahu melepaskan tekanan yang dia rasai waktu itu.
"Cara daddy seakan-akan dia langsung tak sayangkan mummy. Tapi kalau mummy nak tahu, dekat Villa ni memang ada kandang kuda, memang ada tempat untuk menunggang kuda. Tapi Jasmin tak pasti, daddy buat semua ni sebab dia sayangkan mummy ataupun sekadar hobi daddy," tanpa dia sedari air matanya jatuh membasahi pipi. Cepat-cepat Edlynn menyeka air matanya. Dia tidak boleh lemah. Dia tidak boleh cepat menyerah kalah. Dia pasti, mesti ada sebab tertentu mengapa arwah mummynya mahu dia bertahan dan sentiasa berada di sini sampai bila-bila.
"Wei Edlynn!" satu suara melaung memanggil namanya menyebabkan Edlynn mahu sahaja terjun ke dalam tasik dan menghilangkan diri. Minah seorang ni memang tidak boleh melihat dia senang sikit. Dekat mana sahaja asyik wajah yang sama sahaja muncul di hadapannya. Dia sudah muak mengadap wajah ini di kolej, tetapi di rumah pun dia terpaksa mengadap wajah yang membencikan itu. Lama-lama boleh gila!
"Apa dia Sofia?" Edlynn tersengeh penuh hipokrit.
"Uncle suruh kau bersiap. Dia nak bawa kita semua keluar, tapi aku rasa kau tak payah bersiap pun tak apa. Pakaian yang kau pakai ni memang dah sesuai dengan kau," nada suara Sofia cukup sinis. Edlynn masih mampu tersenyum. Dia juga tidak percaya dia masih mampu mengawal amarahnya.
'Hadui pompuan! Kau memang tak sayang mulut betul la! Ada juga yang nak kena selam dalam tasik pagi-pagi buta ni' Edlynn hanya mampu melepaskan rasa marahnya di dalam hati. Sebenarnya dari tadi dia melihat pakaian yang dikenakan oleh Sofia. Entah mengapa, setiap kali dia melihat Sofia mengenakan 'mini skirt' hatinya terdetik rasa lucu.
'Dah la betis tak berapa nak cantik. Dengan kurus cekeding dan langsung tak ada isi. Itu belum tengok badan kau yang dah macam papan! Harapkan pakaian kau je berjenama. Yang aku hairan boleh pula aku dengar lelaki kat kolej puji kau cantik. Memang tak ada taste langsung' Edlynn akhirnya tersenyum kelucuan. Dia cuba menahan tawanya dari meletus.
"Yang kau pandang aku macam nak telan ni kenapa? Marah ke?"
"Eh tak adalah. Cantik pakaian kau? Baru beli ke?" tekak Edlynn seakan-akan mahu termuntah untuk mengungkapkan kata-kata tersebut. Tetapi nak buat macam mana. Dia terpaksa walaupun perit.
"Excuse me! Aku tak pernah pakai pakaian aku lebih daripada tiga kali ok! Tentu la baju baru," dengan bongkak Sofia menjelaskan mengenai pakaiannya.
'Mak aih! Kau ingat kau Paris Hilton ke apa? Dia tak apalah, harta keluarga dia tak habis nak guna! Kau tu tengah habiskan harta daddy aku tahu tak!' mahu sahaja dia tenyeh-tenyeh kepala Sofia. Berlagak sangat. Padahal setahu dia, mamanya, Maria hanya mempunyai sebuah spa. Tetapi anaknya berlagak macam spa kepunyaan ibunya itu sudah ada cawangan di setiap negeri di Malaysia ni.
"Patut la. Sepanjang aku duduk sini aku tak pernah nampak kau pakai pakaian yang sama,"
"Tahu tak apa! Dah la, cepat sikit! Terhegeh-hegeh!" Sofia terus memusingkan badannya dan berjalan dengan penuh lenggok meninggalkan Edlynn di tepi tasik itu. Edlynn terduduk semula di atas bangku kayu di tepi tasik. Cuba untuk menenangkan perasaannya.
***********************
Kalau dia tahu hatinya akan sakit sampai begini, dia tidak akan ikut 'keluarga bahagia' ini keluar berjalan-jalan. Dia lebih rela terperuk di rumah mengadap dinding batu. Paling tidak dia boleh mengadap muka Melati yang suka menyanyi dangdut sambil membuat kerja rumah. Perasaan itu tidaklah menyakitkan walaupun membosankan. Dia memerhati telatah Sofia yang terlebih mesra dengan abang-abangnya. Sejak tadi gadis itu berjalan dengan berdiri di tengah-tengah abang-abangnya sambil memaut lengan mereka.
"Edlynn pilih la baju apa yang Edlynn suka. Daddy dengan Aunty Maria nak ke sana," Edlynn sekadar mengangguk. Walaupun kata-kata daddynya itu agak dingin malah sebaris senyuman langsung tidak terukir namun sekurang-kurangnya daddynya itu mahu juga berbicara denganya jika mahu dibandingkan dengan abang-abangnya yang langsung tidak berbicara dengannya walaupun sepatah.
Edlynn hanya membiarkan abang-abangnya dan Sofia masuk ke dalam butik pakaian mewah. Dia pula lebih suka melayan perasaan sambil menjamu mata melihat telatah manusia. Kemudian dia tertarik melihat dua orang kanak-kanak dalam lingkungan umur lima tahun sedang menari tarian hip-hop sambil diperhatikan oleh kedua ibu-bapanya. Malah ada juga beberapa pengunjung pusat membeli belah itu mula berhenti melangkah melihat gelagat mereka. Edlynn terhibur buat seketika. Lupa segala kepedihan yang dia rasakan ketika itu. Kalau masa kecil-kecil dulu dia suka sangat menari di hadapan abang-abangnya. Malah abang-abangnya itu suka sangat melayan kerenahnya walaupun Adam dan Asyraff langsung tidak berminat dengan tarian.
"Wow! Hebatnya!" Edlynn menepuk tangannya dengan girang. Dia melangkah menghampiri lantas duduk mencangkung berhadapan dua orang kanak-kanak lelaki tersebut.
"Hebatlah! Mana adik belajar?" soal Edlynn cuba beramah mesra dengan kanak-kanak itu. Dia memang kagum. Walaupun umur kanak-kanak itu dalam lingkungan lima tahun, namun teknik tarian hip-hop yang mereka tunjukkan agak memberangsangkan jika dibandingkan dengan umur mereka.
"Ayah dengan ibu hantar kami pergi kelas tarian. Akak pandai menari tak?" soal salah seorang kanak-kanak itu. Cukup petah sekali dia berbicara.
"Dulu akak pandai la. Sekarang dah tak pandai," jawab Edlynn tanpa berfikir panjang.
"Kenapa?" soal salah seorang lagi pula.
"Sebab akak tak ada ayah dan ibu macam adik yang sentiasa support adik. Akak sorang-sorang je. Malas nak menari kalau tak ada siapa yang nak tengok," Edlynn tidak pasti sama ada jawapan yang dia berikan itu difahami oleh dua orang kanak-kanak itu mahupun tidak.
"Ehem!" suara seseorang berdehem menyebabkan Edlynn terus menoleh. Dengan spontan dia berdiri.
"Along!"
"Daddy suruh panggil," hanya itu sahaja ayat yang keluar dari mulut Adam. Dia melangkah meninggalkan Edlynn seorang diri.
"Akak pergi dulu ya. Teruskan menari tau! Akak suka tarian yang adik buat," Edlynn sempat menyentuh lembut kepala dua orang kanak-kanak tersebut sebelum melangkah meninggalkan mereka. Dia juga sempat menghadiahkan senyuman kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut.
"Edlynn dah beli apa yang Edlynn nak?" soal Firdause sebaik sahaja anak perempuannya itu menghampiri.
"Tak apalah. Tak ada yang Edlynn suka," jawapan Edlynn begitu ringkas. Dia sempat memandang ke arah abang-abangnya yang melihatnya dengan pandangan yang cukup membuatkan dia terkilan.
"Pakaian yang kau suka mana ada dekat sini. Dekat Chow Kit adala," terdengar suara halus Sofia berbicara perlahan. Asyraff mula mengekek ketawa, Adam pula hanya tertunduk, langsung tidak memandang wajah Edlynn.
"Sofia! Jaga mulut tu sikit. Maafkan Sofia ya Edlynn. Dia bergurau saja tu," Maria cuba untuk menutup kesalahan anaknya. Di depan Firdause dia kena sentiasa menjaga kelakuannya. Dia juga selalu mengingatkan anak tunggalnya itu akan perkara tersebut, namun Sofia selalu sangat mengingkari arahannya.
"Eh! Memang betul pun aunty!" Asyraff pula menyambung.
"Asyraff!" tiba-tiba Adam dan Firdause bersuara serentak.
"Jomlah! Dah lewat petang dah ni," Firdause terus mengajak pulang. Seharian mereka berjalan-jalan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, badannya mula terasa penat.
'Tak apa! Hari ni hari kau. Kita lihat nanti apa akan jadi bila tiba hari aku! Jangan buat sampai aku dah tak kenal darah daging sendiri' hati Edlynn berbisik geram. Dia mula melangkah laju meninggalkan semua yang lain di belakang. Sudah tidak sanggup melihat kemesraan keluarga yang menganggap dirinya sebagai orang asing.
*****************************
Edlynn menyembamkan wajahnya ke bantal. Dia menangis semahu mungkin. Rasanya sudah lama dia bersabar. Sudah lama dia cuba menahan segala tomahan dan cacian yang dilemparkan kepadanya. Tetapi hari ini adalah hari yang betul-betul mencabar tahap kesabarannya. Hari dia merasakan dia betul-betul terasing.
"Maafkan Jasmin mummy kalau suatu hari nanti, Jasmin tak mampu bersabar lagi," Edlynn bangun lalu menyapu air matanya dengan tangan. Dia mula teringatkan sesuatu. Dia membuka salah sebuah almari pakaian lalu mengeluarkan satu beg besar yang belum pernah dibukanya walaupun sekali sepanjang dia berada di sini. Beg itu diletakkan di atas katil lalu dibuka. Dia berdiri lama sambil memerhatikan ke arah isi kandungan beg tersebut.
'Head Phone' dipakai. Lagu yang ada di dalam 'walkman' kepunyaannya dibuka dengan volume yang paling kuat. Dia berdiri di hadapan cermin. Berpuas hati dengan pakaian yang baru dikenakan di badannya. Ini sahaja caranya untuk dia melepaskan segala tekanan yang dia rasakan. Keadaan biliknya yang luas membolehkan dia melakukan aktiviti tersebut dengan selesa. Rentak sudah kedengaran, kemudian langkah tarian mula diatur. Inilah dirinya yang sebenar. Dirinya yang cuba untuk dia ubah. Dia sendiri tidak tahu sampai bila dia mampu bertahan.

P/S: Jangan lupa tinggalkan komen ya...terima kasih banyak atas semua sokongan anda. Segala kesalahan dan kekurangan harap dimaafkan.
24 comments:
blur..tak tau nk kata apa..best sgt..adam dh mula terima edlynn ke ??
opppsssss,,,,xpuas melayan lagi kerenah EJ,,cian dia...huhuuu
kesian edlynn!! tak suka sangat dengan si sofya tu!! janganlah firdause kahwin dengan si maria.. geram sangat dengan si sofia.. tu!!
Mengharap E3 akan dth..menunjukkan sape dirinya yg sebenarnya..dia tidak pula hiprokit ...
x puas la kak.. hehehehehe... adam dah mula terima edlynn ke??? kesian kt edlynn... harap2 die blh btahan.. next n3... x sabaq nk tahu... hik..hik..hik.. ;p
adui... apesal la slalu rasa x cukup... nk lagi boleh x sha...
x sabar nk tunggu EJ mula bertindak...
ingatkn EJ pakai cantik2 kuar dr blk biar tebeliak fmily dia tngk diri dia sebenrnya.huhuu...
cntk foto dance..
rase nk nari jee..aRa
tadi baca sha & shah tu rasa dlm hati ni lain...bila dtg bab edlyynn ni mmg bikin sakit hatku. xpatutla family macam tu....
rs macam ertinggal perkataan je sha...yang masa Adam kata 'kalau apa yang kita dengar itu semua tak betul?'ke....ce ko semak balik nanti ye.....nak agi nak agi nak agi!!!!
hehe..terbaikk la sha..nk lg leh?? ^_^
kesian kt EJ, fmily sndri pun uat x thu jee....
kak sha next n3 please!!!!
Kalau apa yang kita tu tak betul... Tertinggal perkataan rasa kut Sha...... Huhuhu ciannya EJ tp suka bila Adam da mula ada rasa syg kat adik dia... Dari layan pompuan perasan bagus tu hihihi. X puas ls sha nak lagiiiiiii
ssheheheh..
kenapa la SOfia tu x sedar diri.. dah la menumpang kesenangan org.. masih nak belagak.. heheheh kesian2..
Adam dah boleh terima EJ.. gud..gud...
sangat menarik jalan ceritanya... tak sabar nak tunggu next story
wow, xterkata.... best lah plak EJ dah start menari, ngeeeee :D
best...hero sape ek..xdpt nk jgka
kesian EJ
kesian dgn EJ disisihkan oleh
keluarga sendiri... ada keluarga
pun serupa tak ada..nk lagi Sha...
Bapa si EJ ni kenapa ye memang tak
sayang anak sendiri ke? anak org
lain pula yang dimanjakan sgt..eee
geram betullah.
best!!!!!!!!!!!!!!!
apapun, i followwwwwwwwww
sedihnye kesian EJ betul2 menyakitkan hati dgn sikap sofya dan Ashraf harap2 firdause cpt sedar akan sikap si maria yg hipokrit...rasa nak lg panjang....
ala...boleh x buat adam nmpk EJ menari tu...hee...adam dgr ke ape yg EJ ckp kt budak dua org tu eh...at least kalau adam mula care psl EJ xde la EJ akn give up kn...(seriously ade ke org yg boleh tahan dibuat cm tunggul kayu ek...huu)
akk cpt2 la smbung...best sgt cite nie...
sedih la...:-(
memang tak sangka..paling sentap bila edlynn dgn budak2 tu.. betul2 sedih.. sedar2 air mata dah mengalir..but the same time happy gak..at least ade gak yg ubat sedih sy.. adam dah terima edlynn sikit2 ea? ^^ thanks..nak lagi leh? hehe..
-arisa-
owh!! sofia ni adik-beradik tiri ngan EJ ek..ceh! berlagak giler minah tu..huh!
tapi suke bila Adam dah tunjuk respon positif kat EJ..
best! Deabak! Sha.. :)
Post a Comment