Tuesday, January 31, 2012

DIA SEGALANYA BAB 15

BAB 15

Faizal hanya mendiamkan dirinya. Jantungnya mula berdegup kencang. Peluhnya mula sudah terasa menitis di muka walaupun pada ketika itu penyaman udara di dalam keretanya sememangnya sentiasa terpasang. Zurina yang berada di sebelahnya mula menyedari perubahan yang berlaku kepada Faizal.

“Awak ok ke? Saya tengok lain macam saja? Awak demam?” Tanya Zarina bertubi-tubi. Faizal yang sedang memandu di kala itu hanya tersenyum memandang ke arahnya tanpa sepatah kata.

“Awak takut nak jumpa dengan ayah saya ke?” akhirnya soalan yang ditunggu-tunggu oleh Faizal terkeluar juga dari mulut Zarina. Faizal tersengeh lalu mengangguk. Zurina tergelak kecil. Sebenarnya dari awal tadi dia sudah dapat mengagak apa yang sebenarnya yang sedang terjadi kepada teman lelakinya itu.

“Kenapa awak ketawa..memang saya takut nak berjumpa dengan ayah awak…matilah saya kalau ayah awak tu tak sukakan saya,” Faizal meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya. Sekali lagi Zarina ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Dia sebenarnya lucu melihat lelaki yang setenang Faizal ada juga perasaan takut yang boleh menyebabkan wajah tenangnya selama ini langsung tidak kelihatan.

“Ayah saya tak makan orang la awak…..pasal suka tu saya percaya tentu ayah saya sukakan awak seperti mana saya sukakan awak, awak jangan takutlah, tapi kan hari ni semua abang-abang saya berada kat rumah..mereka pun nak kenal jugak dengan awak,” Zarina menambahkan lagi kerungsingan Faizal. Namun sebenarnya dia sekadar mengusik. Suka pula dia melihat wajah Faizal yang kelihatan cemas begitu. Jarang sekali dapat melihat wajah Faizal panik.

“Awak memang nak kenakan saya kan, awak janganlah bergurau, takkan la semua abang awak berada dekat rumah ayah awak sekarang ni semata-mata mahu berkenalan dengan saya,” Faizal menean air liurnya. Macam manalah pula perwatakan abang-abang Zarina, adakah sama dengan perangai ayah Zarina yang sering diceritakan oleh teman wanitanya itu sebagai lelaki yang mempunyai perwatakan yang tegas.

“Yalah, takkanlah saya nak menipu pula, tapi awak tak payahlah takut, abang-abang saya sporting la, mereka semua pun tak sabar nak berjumpa dengan awak bila saya ceritakan pasal awak pada mereka,” Zurina mulai kesian melihat teman lelakinya itu. Dia cuba untuk menenangkan Faizal sebaik yang mungkin.

“Harap-harap macam tulah,” tutur Faizal perlahan-lahan. Kemudian keretanya membelok masuk ke simpang yang diarahkan oleh Zarina. Setelah hampir lima minit keretanya menyusur jalan raya yang agak sempit akhirnya mereka sampai ke rumah Zarina. Rumah kayu yang bercat kuning itu kelihatan cantik ditambah dengan hiasan pokok bunga di sekeliling rumah tersebut. Halaman rumah itu juga agak luas. Kelihatan empat orang kanak-kanak dalm lingkungan lima tahun dan empat tahun sedang berkejaran di hadapan rumah. Faizal mematikan enjin kereta. Dia menarik nafas sedalam mungkin dan dihembus kuat.

“Jom kita turun, mak saya pun sedang tunggu depan pintu tu,” ujar Zarina. Faizal menoleh ke arah Zarina lantas melemparkan senyuman. Kemudian dia mengangguk. Pintu kereta dibuka dan mereka sama-sama keluar dari perut kereta.

Sebaik sahaja mereka keluar kelihatan empat orang kanak-kanak tadi meluru ke arah Zarina dan salah seorang terus memeluk Zarina dengan erat.

“Mak usu…kenapa mak usu dah lama tak balik…Aiman rindu sangat dekat mak usu,” suara kanak-kanak itu mesra dan manja sekali.

“Ye ke? Mak Usu sibuk lah sayang,” jawab Zarina manja. Boleh dikatakan kesemua anak buahnya manja sangat dengannya sehinggakan ada di antara mereka sanggup tinggal di kampung sepanjang cuti sekolah semata-mata mahu menghabiskan masa bersamanya. Tambahan pula Zarina merupakan seorang gadis yang pandai melayan kerenah budak-budak.

“Mak Usu, sapa tu?” datang seorang lagi anak buahnya lalu bertanyakan tentang Faizal yang masih lagi berdiri di pintu kereta. Dari tadi dia hanya memerhati Zarina melayan kerenah budak-budak sehinggakan dia terlupa seketika perihal tujuan sebenarnya bertandang ke rumah Zurina hari ini.

“Kawan Mak Usu…Abang Ejal nama dia, pergi salam,” arah Zarina dan tanpa berlengah kesemua anak saudaranya yang berada di situ pada hari itu terus berlari dan bersalaman dengan Faizal. Faizal agak terhibur buat sementara waktu tambahan pula ada seorang anak saudara Zarina dengan selamba mengatakan dia adalah teman lelaki Zarina apabila mereka bersalaman. Ah, kanak-kanak zaman sekarang terlalu cepat faham dengan perihal orang dewasa.

“Jom, kita naik,” ajak Zarina. Faizal hanya mengangguk dan mengikut Zurina dari belakang menuju ke tangga. Di pintu rumah kelihatan seorang wanita yang dalam lingkungan 50-an tersenyum ke arahnya dan Faizal dapat mengagak siapakah gerangan yang sedang berdiri itu. Lantas dia membalas senyuman tersebut dan bersalaman dengan wanita tua itu.

“Oh, jadi nilah Faizal yang selalu Usu ceritakan ye! Jemputlah naik, jangan malu-malu, buat macam rumah sendiri saja,” perwatakan wanita itu yang cukup mesra memberi sedikit kelegaan kepada Faizal. Sekurang-kurangnya dia tahu wanita itu menyukainya. Sebaik sahaja dia melangkah naik kelihatan lima orang lelaki sedang merenung tepat ke arahnya. Pandangan lelaki yang kelihatan tua itu agak menakutkan, tiada sebaris senyuman pun di bibir lelaki itu manakala empat orang lelaki lagi tersenyum kepadanya. Faizal melangkah dengan penuh berhati-hati ke arah setiap lelaki tersebut dan bersalaman.

Zarina hanya memerhati sambil tersenyum kemudian dia menuju ke dapur sambil membawa buah tangan yang dibeli oleh Faizal. Dia tahu kali ini Faizal terpaksa berhadapan dengan mermacam-macam jenis soalan yang mungkin agak susah untuk Faizal menjawabnya. Tapi dia percaya dengan lelaki tersebut. Dia yakin Faizal akan dapat mengambil hati ayah dan abang-abangnya. Dia yakin lelaki itu pasti akan mampu menjawab setiap persoalan yang bakal yang disoal oleh ayahnya.

Faizal terus sahaja duduk sebaik sahaja diarahkan oleh lelaki tua tersebut. Di kala itu Tuhan sahaja yang tahu betapa jantungnya berdegup kencang apabila semua mata yang berada di situ memandang tepat ke arahnya.

“Dah lama awak kenal dengan adik saya?” Adam abang sulung Zarina membuka bicara.

“Dah lama juga, hampir dua tahun,” jawab Faizal tenang.

“Dua tahun? Setahu aku Zarina cakap kau dekat UK sebelum ni, macam mana kau boleh kenal dengan dia?” Ariz abang keempat Zurina agak tegas bertanyakan soalan, malahan lebih selesa membahasakan dirinya ‘aku’.

“Betul tu bang, tapi saya kenal dengan dia waktu Zarina ke sana dua tahun lepas, lepas tu saya berhubung dengan dia dengan internet dan kadang-kadang dengan telefon,” Faizal langsung tak menyembunyikan satu perkara sekalipun. Matanya asyik memandang ke arah ayah Zarina. Lelaki itu kelihatan tenang tanpa sebaris senyuman. Malaham dia hanya membiarkan anak-anaknya sahaja yang bertanyakan soalan kepadanya.

“Oh, jadi kau hanya berhubung dengan dia sacara jarak jauh la ya? Habis tu macam mana kau boleh pasti yang adik aku ni pilihan kau yang tepat?” Ariz masih bertanyakan soalan. Dia bukan apa, antara mereka empat beradik dialah yang paling rapat dengan Zarina memandangkan abang-abangnya yang lain sudah berkahwin dari awal hanya dia sahaja baru mendirikan rumah tangga tiga bulan yang lepas.

“Walaupun kami hanya beberapa kali sahaja bertemu dan selama ini hanya berhubung jarak jauh, saya tahu Zarina gadis yang baik, dia tak pernah menipu dengan saya, segala yang dia cakap semuanya benar malah dia pun kerap cerita mengenai keluarga, dan saya suka dengan gadis yang selalu dahulukan keluarga dalam segala hal,” Faizal mulai mati akal dengan soalan yang diajukan oleh lelaki yang baru dikenalinya sebagai Ariz. Dia tak tahu bagaimana dia harus menyusun ayat dengan soalan ang diajukan oleh lelaki tersebut.

“Aku tahulah adik aku tak pernah menipu, sebab kami tak pernah ajar dia menipu tapi kau…boleh percaya ke kau tak pernah menipu dia?”

“Uda! Kau ni bercakap biarlah bertapis sikit,” teguran kedengaran dari mulut Azman, abang kedua Zarina. Dia menyiku adiknya yang duduk di sebelah di kala itu. Dia kemudiannya tersenyum ke arah Faizal. Pertama kali dia bersalaman dengan lelaki itu pertama kali tadi, dia tahu lelaki itu betul-betul ikhlas dengan adiknya.

“Tapi…

“Uda…dah, biar ayah pula bertanya, asyik kamu sahaja yang bertanya, ayah pun nak kenal juga dengan lelaki pilihan adik kamu ni, tambahan pula nilah satu-satunya lelaki yang adik kamu suka, kamu sendiri kan tahu macam mana adik kamu selama ni kan,” akhirnya Encik Sulaiman bersuara. Faizal menghembus nafas perlahan. Dia sedikit lega sebaik sahaja Ariz dilarang bercakap oleh ayahnya sendiri.

“Uda ni bukan apa ayah, dia cemburu la tu adik kesayangan dia bakal dirampas dari tangan dia, lepas ni tak bolehlah dia nak menyakat Usu lagi, kau ni kan Uda dah kahwin pun masih nak berkepit dengan Usu,” Afiq abang ketiga Zarina pula bersuara. Ariz hanya mencebik. Sebenarnya kata-kata Alangnya betul. Sedikit sebanyak ada perasaan cemburu di dalam hatinya apabila melihat lelaki itu. Dia terlalu rapat dengan Zarina tambahan umurnya pun tidaklah jarak sangat berbanding dengan abang-abangnya yang lain. Dia kenal sangat dengan adiknya itu, selama ini adik kesayangannya itu tidak pernah meminati mana-mana lelaki apatah lagi untuk jatuh cinta sebab itulah dia amat terkejut apabila Zarina tiba-tiba sahaja menyatakan dia mahu membawa pulang seorang lelaki untuk diperkenalkan kepada keluarga.

Sejak hari tu dia mulai tertanya-tanya bagaimanakah lelaki yang mampu mencairkan hati adiknya yang sekeras batu itu. Zarina tidak pernah tunduk dengan mana-mana lelaki. Selama ini sudah ramai yang mahu memiliki hati adiknya itu namun Zarina menolak keras. Adiknya itu agak kasar sejak dari kecil mungkin disebabkan hanya Zarina sahaja perempuan di antara mereka adik beradik. Malahan sejak kecil lagi pakaian Zarina tidak ubah seperti lelaki sehinggalah adiknya itu menjejakkan kaki ke menara gading.

Sejak melanjutkan pelajaran ke universiti dia mulai lihat perubahan adiknya terutamanya dari segi penampilan dan cara pemakaian, malahan adiknya sudah mahu menjenguk ke dapur, satu tempat yang paling dibencinya suatu ketika dahulu kecuali untuk makan. Nasib baik hubungannya dengan Zarina masih belum berubah, adiknya itu masih mahu mengikutnya untuk memancing sekiranya diajak. Malah, adiknya sentiasa melawan sekiranya dia cuba menyakat. Sebab itulah dia langsung tak terkilan dengan perubahan yang berlaku kepada Zarina.

Namun, lelaki yang sedang duduk di depannya di kala itu menimbulkan persoalan yang bertubi-tubi di benak fikirannya. Dia akui pertama kali melihat lelaki itu tadi, hatinya berdetik, boleh tahan lelaki pilihan adiknya. Lelaki yang baru melangkah masuk ke rumahnya tadi adalah seorang lelaki yang mempunyai rupa paras yang menarik, pemakaian yang kemas malahan dia sempat mengintai kereta yang dipandu oleh lelaki tersebut. Kereta mewah yang berada di perkarangan rumah hanya calang-calang orang yang dapat memilikinya, dia sendiri pun belum tentu dapat memilikinya walaupun dia seorang jurutera. Namun dia tidak memandang kepada kemewahan, dia hanya mahu lelaki yang bakal dikahwini adiknya merupakan lelaki yang mampu untuk membahagiankan Zarina sampai ke tua.

“Kamu bekerja dekat mana?” tanya Encik Sulaiman.

“Saya bekerja dengan keluarga pak cik, kami berniaga,” jawab Faizal lembut malahan sempat melemparkan senyuman kepada lelaki tersebut. Lelaki tersebut hanya mengangguk. Terukir sedikit senyuman di bibirnya dan situasi tersebut sedikit sebanyak melegakan Faizal.

“Pak cik tak pernah melarang dengan pilihan anak pak cik, malahan abang-abang Zarina yang lain pun semuanya kahwin dengan pilihan hati masing-masing, dan pak cik percaya dengan pilihan anak pak cik, kalau Zarina sudah pilih kamu sudah tentu ada keistimewaan yang tertentu ada pada diri kamu, tidak begitu?” Encik Sulaiman bersuara dengan tenang. Sebenarnya dia kesian melihat Faizal yang dari tadi seperti dalam keresahan. Dia faham dengan situasi begitu.

“Tapi ayah, mana kita tahu lelaki ni baik, tadi dia sendiri yang cakap selama ni dia hanya berhubung dengan Usu dari jarak jauh, terlalu awal la ayah nak buat kesimpulan,” Ariz terus membangkang. Dia masih belun berpuas hati selagi tidak ditanya tentang lelaki tersebut secara mendalam.

“Ish kamu ni, tak baik bercakap macam tu, ayah percaya dengan pilihan adik kamu, kalau dia kata Faizal ni baik, maksudnya baiklah tu, apa lagi yang kamu tak puas hati, tanyalah dia,” Encik Sulaiman tersenyum dengan kerenah anak bongsu lelakinya ini. Sejak kecil perangainya tak pernah nak berubah.

“Kau kerja kat mana?” Ariz terus bertanyakan soalan.

“Seperti yang saya cakapkan tadi, saya bekerja dengan keluarga, kami berniaga, dan Alhamdulillah perniagaan kami sekeluarga setakat ini bagus,” Faizal menjawab dengan sebaik mungkin. Dia tahu dia sudah memenangi hati semua orang di dalam keluarga tersebut kecuali lelaki yang dikenali sebagai Ariz ini.

“Perniagaan yang macam mana?”

“Perniagaan………..

Belum sempat Faizal menjawab pertanyaan tersebut Zarina keluar bersama ibunya sambil membawa minuman dan sedikit makanan. Dia tersenyum ke arah Zarina dan di dalam hatinya dia meminta agar gadis tersebut membantunya dengan persoalan yang asyik disoal oleh bakal abang iparnya.

“Jawablah solan aku, kau berniaga apa?” Ariz mengulangi kembali soalan yang masih belum terjawab.

“Kot iya pun minumlah dulu, Faizal ni tentu haus kan memandu jauh,” Puan Azizah pula bersuara setelah duduk di sebelah suaminya. Zarina pula terus duduk di samping ibunya setelah selesai hiding air tersebut keada tetamu.

“Entah Uda ni, apa yang penting sangat Faizal berniaga apa? Tahulah Uda tu jurutera dekat syarikat besar,” Zarina tanpa segan silu menjampuk. Dia sudah biasa berperang mulut dengan abangnya yang seorang ini.

“Eh, tentulah penting, manalah tahu dia berniaga yang bukan-bukan,” Ariz menjawab selamba. Ibunya mula menjeling tajam ke arah anaknya itu.

“Dah la, minum Faizal, jangan dilayan sangat anak mak cik yang seorang ni,” puan Azizah terus menjemput Faizal minum. Faizal hanya tersenyum lalu dicapai sirap bandung yang dihidangkan oleh Zurina tadi.

“Kau kata kau berniaga, apa nama syarikat kau, agak-agak perniagaan kau sama maju tak dengan syarikat tempat aku kerja?” Ariz masih dengan sikap degilnya. Selagi dia tak berpuas hati selagi itulah dia akan terus bertanya.

“Ek, eleh nak berlagak la tu, tahulah dia bekerja kat Putera Holdings,” balas Zurina. Serentak dengan itu Faizal tersedak. Hampir-hampir sahaja air yang diminumnya tersembur. Segera dia meletakkan kembali gelas yang berisi air ke tempat asal.

“Awak tak apa-apa?” tanya Zarina agak cemas.

“Tak, saya ok…tersedak sikit,” jawab Faizal sambil mengurut dadanya.

“Kenapa terperanjat, kau kenal ke dengan syarikat tu?” Ariz ingin menduga. Sesiapa yang melibatkan diri dalam perniagaan sudah tentu akan kenal dengan nama syarikat tempat dia bekerja. Syarikat tersebut merupakan Syarikat Hartanah yang terbesar di Malaysia. Syarikat tersebut akan membina bangunan-bangunan pencakar langi, hotel-hotel dan bangunan tersebut kemudiannya dijual dengan harga yang cukup lumayan. Dia bersyukur kerana diberi peluang untuk bekerja di syarikat tersebut sebagai salah seorang jurutera yang bertanggungjawab untuk menguruskan berkenaan dengan bangunan-bangunan yang didirikan oleh syarikat tersebut.

“Ya, dah tentu saya kenal, sebuah syarikat hartanah yang terbesar di Malaysia kan,” jawab Faizal agak terketar-ketar. Kecilnya dunia. Namun macam mana selama ini dia tidak pernah bertemu dengan lelaki tersebut. Tapi apa yang mahu dihairankan syarikat itu mempunyai ramai jurutera tambahan pula dia baru sahaja bekerja. Di dalam hatinya di kala itu memohon agar jangan Ariz tanya lagi berkenaan syarikat keluarganya. Dia tidak mahu menipu. Untuk memberitahu perkara sebenar, dia segan, dia tak mahu memalukan bakal abang iparnya itu. Dia tidak mahu dikatakan berlagak dengan apa yang dimilikinya. Biarlah dia beritahu perkara sebenarnya kepada lelaki tersebut pada waktu yang lain. Lagipun lelaki itu hanya satu syarikat dengannya, cuma yang dia tak tahu bakal abang iparnya itu bertugas sebagai jurutera di projek yang mana satu.

“Faizal makan tengah hari di sini ya, semua menantu mak cik dah sediakan makan tengah hari kat dapur tu,” Puan Azizah terus ingin bermesra dengan bakal menantunya itu. Walaupun dia tahu anaknya itu tidak akan berkahwin dalam masa terdekat tapi naluri keibuannya menyatakan pemuda inilah yang bakal menjadi suami anak bongsunya itu.

“Tak apalah mak cik, menyusahkan saja,” jawab Faizal untuk menolak pelawaan tersebut secara lembut. Sebenarnya dia takut untuk berada di situ dengan lebih lama lagi. Dia khuatir Ariz, abang keempat kepada Zarina akan bertanya dengan lebih lanjut lagi berkenaan dengan syarikatnya nanti.

“Ish, awak ni, kalau ya pun makan la dulu, awak tak makan lagi kan,” Zarina pula yang cuba memujuknya untuk lebih lama di situ. Dia hanya tersenyum, sudah kehilangan modal untuk menolak pelawaan tersebut.

“Jemputlah makan dekat sini, bila lagi kamu nak merasa makanan kampung kan, jangan malu-malu, buat saja kami ni macam keluarga Faizal sendiri,” giliran Encik Sulaiman pula mengajaknya. Dia sudah tidak mampu untuk menolaknya lagi. Akhirnya dia mengangguk bersetuju dengan pelawaan tersebut. Dia memandang setiap wajah abang-abang Zarina, semua mereka tersenyum ke arahnya, hanya Ariz sahaja yang memandangnya tanpa sebaris senyuman.

********************

Suraya termenung sendirian di buaian di taman. Bertemankan lampu-lampu neon yang menghiasi taman membuatkan dia seringkali teringatkan peristiwa yang mahu dia lupakan selama ini. Peristiwa ini kadang-kadang mengajar dia agar lebih tabah dan kuat. Zaman persekolahan adalah merupakan zaman yang banyak mengajar dia untuk lebih berhati-hati untuk menilai seseorang. Dia seringkali diperdaya dan diperbodohkan gara-gara sikapnya yang terlalu mudah untuk mempercayai seseorang.

“Kau tahu, kalau tak kerana keluarganya yang kaya tak hingin aku nak berkawan dengan budak kolot macam tu, dia ingat dia boleh berkawan dengan orang yang up to date macam aku ni,” suara yang cukup dikenalinya jelas kedengaran. Gara-gara dia terlupa membawa beg duit untuk ke kantin dia berpatah balik semula ke kelas. Belum sempat dia melangkah masuk kedengaran suara yang sedang bercakap sesuatu yang menarik minatnya.

“Kau tak kesian ke dekat dia V?” tanya salah seorang pelajar yang sedang berkumpul di sebuah meja yang menempatkan seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai V.

“Kesian buat apa? dia dah besar panjang, sudah jejakkan kaki ke tingkatan enam pun masih lagi bodoh! Dia ingat aku ni gila sangat nak berkawan dengan dia, kalau tak kerana aku dapat makan free setiap kali keluar dengan dia, tak hingin aku nak berkawan dengan budak yang macam tu tau,” suara itu semakin jelas. Jantungnya mula berdegup kencang. Rasanya dia tahu siapa yang menjadi topik perbualan tiga orang pelajar perempuan kelasnya.

“Aku pun terkejut juga masa mula-mula kau berkawan dengan budak tu masa kita mula-mula naik tingkatan enam rendah dulu, ye la, tiba-tiba saja kau ketepikan kita orang, kawan kau yang berkawan dengan kau dari tingkatan satu lagi,”

“Itulah kau, lain kali jangan mudah nak melatah, aku tak akan tinggalkan korang la, ini V tau tak, masa mula-mula aku tengok dia waktu kita nak daftar masuk tingkatan enam di sekolah ni aku dah tahu, budak tu memang bodoh, yang buat aku nak berkawan dengan dia aku tengok dia datang dengan driver, kereta Mers lagi, aku pun apa lagi, ambil peluang la, takkan korang tak kenal dengan V kot,” serentak dengan itu meledak ketawa yang kuat. Dia terduduk di tepi pintu sambil menangis. Baru dia ingat pertama kali dia mandaftarkan diri di sekolah baru gara-gara sekolah lamanya tidak menempatkan pelajar tingkatan enam, V lah yang datang menghulurkan salam perkenalan, malah gadis itu kelihatan begitu ikhlas mahu berkawan dengannya.

Dia menyambut salam perkenalan tersebut dengan tangan yang terbuka. Dia langsung tak menyangka, gadis yang dianggap kawan selama ini hanya mahu memperalatkan dirinya. Dia bernasib baik kerana tidak semua perihal dirinya diceritakan kepada gadis tersebut.

Dia mengesat air matanya dan menarik nafas sepanjang mungkin dan dihembus kuat. Kemudian dia bangun dan melangkah masuk ke dalam kelas dengan tenang. Suasana yang riuh pada mulanya bertukar menjadi sunyi sepi.

“Su, awak cakap nak ke kantin?” V bersuara agak tergagap-gagap di kala itu. Wajahnya terpacar riak terkejut.

“Saya tertinggal beg duit, awak betul tak nak ikut saya ke kantin?” dia cuba untuk bersuara dengan setenang yang mungkin.

“Tak apalah, saya dah makan dekat rumah tadi,” V tersenyum padanya. Di kala itu entah kenapa dia merasakan senyuman itu cukup jijik pada pandangan matanya. Dia mulai keliru sama ada mahu membiarkan sahaja apa yang baru saja didengarnya ataupun bersemuka dengan gadis hipokrit tersebut.

“Kalau macam tu, saya pergi ke kantin dulu,” dia meminta diri sebaik sahaja mengambil beg duitnya di dalam beg sekolah. Dia melangkah perlahan menuju ke pintu. Hatinya pada waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya dia rasakan. Dia tahu, dia sudah tidak mampu lagi membiarkan dirinya diperbodohkan.

“V, berkenaan dengan ajakan saya ke rumah untuk majlis ulangtahun kelahiran saya, saya rasa awak tak payahlah datang,” dia tiba-tiba menoleh dan bersuara.

“Kenapa?” tanya gadis tersebut kehairanan.

“Sebab saya hanya jemput kawan saya saja, saya tak jemput orang yang hipokrit dan berhati busuk macam awak,” sebaik sahaja dia mengeluarkan kata-kata tersebut dia terus sahaja melangkah tanpa mempedulikan sedikit pun reaksi gadis tersebut. Baginya itu semua tak penting. Apa yang paling penting, dia tidak memerlukan orang sebegitu untuk meneruskan hidup.

Semenjak dari peristiwa tersebut, dia langsung tak bertegur sapa dengan V. Baginya V adalah sebahagian daripada sejarah hitam hidupnya. Alhamdulillah, dia mampu meneruskan pelajarannya di situ sehingga peperiksaan STPM selesai dan dia bersyukur kerana peristiwa tersebut langsung tak menghalangnya daripada memperolehi keputusan yang cemerlang.

Bunyi enjin kereta yang memasuki perkarangan rumah menghentikan lamunannya. Dia menoleh dan melihat dengan jelas kereta yang baru sahaja dimatikan enjin oleh tuannya. Lain orang yang diharapkan pulang di kala itu lain orang pula yang pulang. Awal pula tu. Mengigau ke apa?

Suraya hanya mendiamkan diri sambil menghayun buaian perlahan-lahan. Dia tidak mahu melangkah masuk ke rumah di kala itu takut kelihatan sangat dia cuba untuk mengelak dari lelaki tersebut. Harapannya di kala itu, hanya satu. Janganlah Angahnya datang ke arahnya.

Jantungnya berdegup kencang di kala itu apabila terdengar langkah kaki berjalan menuju ke arahnya. Dia cuba bertenang sebaik mungkin, namun dia tidak mampu dan terus bangun dan cuba melangkah masuk ke rumah.

“Suraya tunggu dulu!” suara Faizul cukup jelas. Suraya terus menghentikan langkahnya. Lelaki ini tak pernah berubah, dia langsung tak panggil aku dengan panggilan adik seperti ahli keluarga yang lain. Detik hatinya.

“Aku tahu, kau masih marahkan aku kan?” Faizul bertanya. Dia melangkah dan berhadapan dengan gadis tersebut. Suraya hanya memandang ke mukanya sekilas sahaja kemudian menunduk kembali ke tanah. Dia tak mahu memandang muka lelaki tersebut lama-lama. Jantungnya sering sahaja berdegup tak menentu setiap kali memandang wajah lelaki tersebut.

“Suraya, kau tak boleh nak salahkan aku, aku tak tahu apa yang sebenarnya berlaku kat PD hari tu, yang aku tahu perempuan tu marahkan kau sebab kau cuba rampas teman lelaki dia,” Faizul masih mahu menegakkan benang yang basah. Entah kenapa terlalu berat untuk dia mengungkapkan kata maaf di hadapan gadis tersebut sedangkan apabila dia bersendirian hampir beratus kali dia mengungkap kata maaf pada gadis tersebut apabila teringatkan kata-kata kasarnya pada Suraya pada malam itu.

“Angah ni kenapa? Tak boleh ke sekali Angah mengaku kesalahan Angah? Oh, adik lupa selama ni pun mana Angah pernah ungkapkan kata maaf setiap kali Angah sakitkan hati adik kan!” Suraya terus sahaja melangkah meninggalkan Faizul namun lelaki itu cukup pantas lalu menghalang langkahnya sekali lagi.

“Suraya dengar sini, aku tak nak kita terus bermasam muka, nanti mama dengan papa tahu…tambah pula kalau Along yang tahu, macam mana?”

“Biarlah, mereka tak akan hairan pun, lagipun ini bukan kali pertama kita bermasam muka dan tak bertegur sapa kan?” Suraya membalas setiap kata-kata Faizul. Entah dari mana dia mendapat kekuatan pada malam ini untuk terus melawan cakap lelaki tersebut. Entah kenapa malam ini dia tak mahu mengalah.

“Ya aku tahu, tapi sampai bila?” Faizul mulai resah. Dia sudah tidak mampu untuk berterusan tanpa melihat senyuman gadis tersebut.

“Sampai bila-bila pun adik tak kisah, dan Angah pun lagilah tak kisah kan,” Suraya cuba malangkah lagi. Kali ini tangannya pula dipegang Faizul. Dia tersentak seketika lantas menarik kasar tangannya.

“Tapi aku kisah….kalau kau mahukan kata maaf dari aku, ok! Aku minta maaf, aku tahu aku yang salah sebab tuduh kau dengan perkara yang bukan-bukan, aku minta maaf ok,” akhirnya Faizul terpaksa mengalah. Dia sudah tidak mampu menegakkan keegoannya.

Hati Suraya tiba-tiba sejuk. Kemarahan kepada lelaki itu terus luput sebaik sahaja dia mendengar kata maaf daripada lelaki tersebut. Dia tersenyum dan dia tahu lelaki itu langsung tak dapat melihat senyumannya kerena tempat dia berdiri di kala itu agak gelap.

“Dengan apa yang berlaku, entahlah adik tak tahu sama ada mahu memaafkan Angah…tengoklah dulu,” Suraya sengaja ingin mendera lelaki tersebut. Biar dia sedar sikit kesilapan yang dia lakukan sebelum ini. Lantas dia berlari anak menuju ke pintu meninggalkan Faizul yang agak kaget sendirian berdiri dalam gelap.

“Tengok dulu….aku punyalah susah nak ungkapkan kata maaf, alih-alih dia cakap tengok dulu, dia memang sengaja nak mendera aku!” marah Faizul seorang diri. Dia merengus lantas melangkah menuju ke arah buaian yang diduduki oleh Suraya tadi. Dia menanggalkan jaket kulit yang dipakainya di kala itu. Walaupun suasana malam itu cukup dingin namun dia berasa panas dan hatinya pula sakit dan jiwanya resah. Ah! Suraya kau betul-betul buat hidup aku kacau! Detik hatinya. Dia termenung seorang diri.

“Kau buat apa kat sini malam-malam Ngah?” tiba-tiba satu suara mengejutkan Faizul lantas dia menoleh dan melihat abangnya tersenyum kepadanya.

“Bila kau balik? Aku tak dengar pun enjin kereta kau!” ujarnya lantas menoleh ke perkarangan rumah. Kelihatan kereta abangnya diparking elok di sebelahnya.

“Jauhnya kau mengelamun sampai bunyi kereta aku pun kau tak sedar, apa yang kau fikirkan?’ tanya Faizal lantas duduk di sebelah adiknya di atas buaian. Faizul hanya mendiamkan diri kemudian tersenyum. Soalan abangnya hanya dibiarkan tergantung sahaja.

“Jarang aku tengok kau termenung begini…nak kata ada masalah dekat pejabat setahu aku tak ada sebarang masalah kan, kalau ada dah lama aku tahu,” ujar Faizal masih lagi mahu mencungkil apakah masalah yang dihadapi oleh adiknya itu sehinggakan jauh termenung sebegitu rupa.

“Takkanlah aku nak termenung pun tak boleh kot?”

“Bukan tak boleh, tapi pelik pulak aku tengok ataupun kau dah jatuh cinta…siapa pulak gadis yang kau jatuh cinta kali ni?” Tanya Faizal mahu menduga walaupun dia tahu perkara tersebut tak mungkin bagi adiknya yang sememangnya terkenal dengan ramai teman wanita.

“Kau jangan nak mengarut la Long, mana ada aku jatuh cinta, dan buat pengetahuan kau Long, aku tak pernah cintakan mana-mana gadis yang rapat dengan aku selama ni faham….semua mereka itu aku hanya anggap kawan je cuma dia orang saja yang perasan lebih,” luah Faizul. Faizal terus sahaja tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia sememangnya maklum dengan sikap adiknya itu selama ini. Adiknya itu terkenal dengan sifat ‘playboy’ di kalangan gadis. Dulu sewaktu di UK pun dia dah naik pening kepala memikirkan perangai adiknya yang seorang ini. Boleh dikatakan hampir setiap bulan adiknya itu akan memperkenalkan gadis baru kepadanya.

“Habis tu, kalau bukan sebab perempuan sebab apa? Ataupun kau gaduh lagi dengan adik?”

“Ish, mana ada, aku ok je dengan Suraya,” cepat sahaja Faizul menafikan tekaan abangnya itu. Dia tak mahu abangnya itu dapat menghidu hubungan dinginnya antara Suraya sejak kebelakangan ini.

“Betul ke? Aku tengok kau jarang sangat bercakap dengan adik sejak kau ambil dia kat PD hari tu, betul ke kau orang ni ok?” Faizal kurang percaya dengan pengakuan adiknya sebentar tadi lagipun nada suara Faizul seakan-akan cemas dengan persolan yang diutarakan olehnya sebentar tadi.

“Betul la, takkan tak betul pulak, kau ni Long, asyik tak percayakan aku jer, kau ingat aku ni jenis yang suka berbohong ke?” Faizul bersuara dengan nada merajuk, terasa hati dengan abangnya yang tak pernah percayakannya selama ini.

“Tahu tak apa, kau dah banyak kali bohong dengan aku Ngah, macam mana aku mudah nak percaya apa yang kau cakapkan. Cuba kau tanya diri kau sendiri, masa kita kat UK, berapa kali kau bohong aku? Tapi setiap kali kau bohong dengan aku setiap kali tu jugaklah rahsia kau terbongkar, sama jugaklah macam sekarang ni, esok atau lusa tentu aku tahu apa yang terjadi antara kau dengan adik. Dah la, malas aku nak bercakap dengan kau lama-lama, silap hari bulan aku gaduh dengan kau tak pasal-pasal, aku nak masuk, nak tidur, penat sangat ni,” Faizal terus bangun dan mahu melangkah, namun pantas bahunya ditarik oleh Faizul dan menyebabkan dia terduduk kembali di atas buaian.

“Asyik kau saja yang tanya pasal aku, aku pun nak tanya jugak pasal kau, kau dari mana tadi, aku tengok kau letih semacam je? Kau gi jumpa dengan buah hati kau eh? Siapa dia Long, aku hanya dengar dari mulut mama je pasal awek kau tu, kau tak pernah nak cerita kat aku,” giliran Faizul pula memulakan siasatannya terhadap abangnya itu. Faizal tersengeh tanpa bersuara. Dia langsung tak menyangka dia pula yang jadi mangsa persoalan yang sukar untuk dia jawab terutamanya sekiranya soalan tersebut datangnya dari mulut Faizul. Kalau dia tahu dari awal, sudah tentu dia akan terus masuk ke rumah tadi.

“Macam mana aku nak beritahu kau, kau tak pernah tanya pun?” Faizal langsung tak menjawab persoalan yang diajukan oleh adiknya itu. Kepalanya yang tak gatal digaru berkali-kali.

“Habis tu sekarang ni aku dah tanya, kau jawablah soalan aku tadi, siapa buah hati kau tu, dia tinggal kat mana? Berapa umur dia? Dia kerja apa? Apa nama dia?” bertubi-tubi soalan yang terkeluar dari mulut Faizul.

“Kau ni, tahulah nak bertanya soalan pun, tapi takkanlah kau nak suruh aku jawab soalan kau yang bertubi-tubi tu, kau ingat aku ni apa? Robot?” marah Faizal. Kini giliran Faizul pula menggarukan kepalanya yang tak gatal sambil tersengeh. Dia bukannya apa, tapi dia nak tau tentang gadis yang telah mencuri hati abangnya yang selama ini tidak pernah terpikat dengan mana-mana gadis sekalipun.

“Ala kau ni….kalau macam tu kau beritahulah semua pasal awek kau tu,” pinta Faizul. Faizal hanya tersengeh kemudian menceritakan serba sedikit tentang Zarina namun bukan kesemuanya. Dia langsung tak menyentuh mengenai abang Zarina yang bekerja di syarikatnya itu.

“Bila aku dengar kau bercerita tentang awek kau ni, teringin pulak aku nak jumpa dia, bila kau nak bawa dia balik jumpa family kita?” Tanya Faizul. menarik juga teman wanita abangnya itu. Tentu gadis itu terlalu istimewa sehinggakan dapat menarik minat abangnya yang dianggap berhati batu semasa berada di UK dulu.

“Tengoklah dulu, tapi mungkin dalam masa terdekat ni. Eh, kau kenal tak jurutera kat syarikat kita yang bernama Ariz?” Faizal mula bertanyakan perihal abang Zarina yang bekerja di syarikatnya.

“Ariz? Entah, kau kan tahu syarikat kita tu dah la besar, bilangan jurutera tak payah cakap. Memang ramai, lagipun aku baru je kerja kat syarikat, tak sampai setahun lagi mana sempat nak kenal semua staff, aku rasa kalau aku bekerja bertahun-tahun kat sana pun belum tentu aku kenal dengan semua staff kat sana? Kenapa?” jawab Faizul yang langsung tak syak apa-apa dengan pertanyaan yang diajukan oleh abannya itu.

“Tak ada apa-apa la, saja tanya. Dah la, jom masuk, makin sejuk la pulak kat luar ni, yang kau ni, tak sejuk ke? Jaket ada tapi tak pakai?” Tanya Faizal. Faizul memandang jaketnya yang dipegang dari tadi kemudian tersengeh lantas berjalan beriringan dengan abangnya masuk ke dalam rumah.

1 comment:

  1. ha berlagak ya ariz, tunggu la nti bila tau tu bos dia.haha.
    hohoho suraya wat keras hati, pdn muka jo tu la berlagak ego sgt.

    ReplyDelete