Tuesday, January 31, 2012

DIA SEGALANYA BAB 16

BAB 16

Suraya berjalan laju menuju ke kereta. Entah kenapa dia terasa sangat bosan. Tambahan pula Fatima masih belum pulang dari bercuti. Rugi pula rasanya kerana dia tidak dapat ikut serta dengan Fatima ke kampung kawannya yang pulang ke Pulau Pinang. Setelah meminta izin daripada mamanya, dia ingin ke kedai buku yang berdekatan untuk mencari beberapa buah novel bagi mengisi masa lapangnya.

Belum sempat dia membuka pintu kereta, Faizul tiba-tiba sahaja menghalangnya dengan berdiri di depan pintu keretanya itu. Suraya agak terperanjat. Kemudian dia terus sahaja melihat ke arah garaj kereta yang terletak tidak jauh dari tempat keretanya dipakir. Kelihatan kereta Angahnya ada terpakir di sana.

“Kenapa ni? Angah tak pergi kerja ke hari ni?” Tanya Suraya kelihatan sedikit cemas. Jantungnya masih lagi belum berhenti daripada berdegup dengan kencang akibat terperanjat dengan tindakan Faizul sebentar tadi.

Faizul tersengeh betul-betul menampakkan giginya yang tersusun rapi dan bersih. Suraya kaget. Apa kena dengan dia ni hari ni? Tersengeh macam kerang busuk. Dah buang tebiat agaknya. Selama ni tak pernah pun dia tersengeh sebegitu di depannya.

“Hari ni aku minta cuti dengan papa, nak rehat….penat sangat kerja,” jawab Faizul masih lagi tersengeh memandang Suraya.

“Oh, baguslah tu….pergilah rehat kat dalam, kat luar ni panas, tepi sikit, adik nak keluar,” ujar Suraya sambil menolak lembut badan Faizul yang masih lagi berdir kaku di depan pintu keretanya.

“Siapa cakap aku nak berehat kat rumah, aku pun nak keluar jugak,” Faizul membalas. Dia tahu Suraya masih belum memaafkannya sepenuhnya. Hari ini, dia akan pastikan Suraya akan memaafkan dirinya.

“Ok, keluarlah, sekarang boleh bagi laluan tak? Adik nak keluar,” suara Suraya sedikit tegas, namun sedikitpun tidak menakutkan Faizul, malah dia masih tercegat sambil tersengeh memandang Suraya. Suraya pula yang naik takut melihat kelakuan Faizul yang selama ini tidak pernah berkelakuan seperti itu.

“Apa yang Angah nak ni? Adik nak keluar la, Angah cakap tadi Angah nak keluar kan, keluarlah, kereta Angah kan ada,” Suraya bersuara lembut kembali. Dia mulai rimas dengan apa yang sedang berlaku.

“Ya, aku memang nak keluar…tapi aku nak keluar dengan kau, kita keluar jalan-jalan nak? Tengok wayang, dah lama aku tak keluar tengok wayang,” ajak Faizul tanpa sedikit rasa segan. Tetapi pada hakikatnya hanya tuhan sahaja yang tahu macam mana jantungnya berdegup kencang di kala itu.

“Buang tebiat ke apa? Angah ngigau apa semalam?” Tanya Suraya langsung tak menunjukkan reaksi dia bersetuju dengan ajakan Faizul. Faizul hanya mencebik sambil menggeleng. Dia tahu Suraya masih belum boleh menerima dengan perlakuannya pagi ini.
“Aku kena ngigau dulu ke baru boleh ajak kau keluar jalan-jalan?” Tanya Faizul kembali. Suraya makin rimas. Apa yang sedang berlaku sebenarnya pagi ni.

“Ya Allah, apa kena dengan Angah ni, dah la, malas la nak layan, adik nak keluar ni, cepat la bagi laluan,” pinta Suraya lagi, namun Faizul langsung tak berganjak dari tempat dia berdiri. Dia hanya tersenyum sahaja memandang Suraya di kala itu.

“Kau nak keluar kan? Jom, kita keluar bersama, kau nak pergi mana? Aku boleh bawa kau ke tempat yang kau nak pergi tu?” Tanya Faizul lantas menarik tangan Suraya ke arah keretanya. Sekali lagi Suraya terperanjat lantas menarik perlahan tangannya dari genggaman Faizul. Faizul berhenti melangkah. Dia tahu dia perlu berusaha lebih sedikit untuk memastikan gadis itu sudi keluar dengannya.

“Adik nak keluar sorang. Angah tak payah susah-susah nak temankan,” ujar Suraya lantas kembali melangkah menuju ke arah keretanya.

“Adik, apa salahnya keluar dengan Angah, dia dah beritahu mama tadi nak temankan adik keluar, lagipun hari ni Angah cuti, katanya nak release tension. Dia pun bukan selalu dapat cuti, nasib baik hari ni hati papa baik je, bagi dia cuti,” tiba-tiba kedengaran suara Datin Rafidah. Suraya berhenti melangkah dan memandang ke arah mamanya yang sedang tersenyum memandangnya. Kemudian pandangannya beralih pula kepada Faizul yang sedang tersengeh memandangnya.


“Tapi ma…
“Pergilah, lagipun bila lagi adik nak rasa Angah tu belanja adik….hari ni adik suruh saja dia yang bayar semua apa yang adik nak beli tu,” ujar Datin Rafidah lagi. Faizul terbeliak memandang mamanya. Pandai-pandai saja mamanya mengatakan dia nak belanja Suraya hari ni.

“Hahaha…Angah nak belanja adik ma? Adik silap dengar kot,” ujar Suraya sabil ketawa yang sengaja dibuatnya. Faizul kembali memandang tepat ke arah Suraya dengan pandangan yang tajam.

“Ok, setakat belanja makan, no hal,” jawab Faizul.

“Belanja makan je, baik tak payah, tadi mama cakap adik boleh suruh Angah bayar semua apa yang adik nak beli hari ni kan, betul tak ma?”

“Betul tu! Angah tu banyak duit dik, gaji yang dia dapat berbulan-bulan bukan sikit, tapi banyak, adik mintak je apa-apa yang adik rasa nak beli,” Datin Rafidah bersuara sambil tersenyum. Dalam masa yang sama dia cuba mengusik anak lelakinya itu. Dia sebenarnya masih terperanjat dengan tindakan Faizul yang tiba-tiba meminta izin untuk menemani Suraya keluar pada pagi itu. Namun dia langsung tak menolak niat baik anaknya itu. Inilah masa untuk memulihkan hubungan anaknya yang tengah itu dengan anaknya yang bongsu yang selama ini tak pernah kelihatan baik.

“Boleh Ngah…kalau boleh, adik bolehlah ikut Angah keluar, kalau tak, baik adik keluar sorang-sorang,” sambung Suraya. Faizul termenung seketika seakan-akan sedang memikirkan sesuatu. Kemudian dia tersenyum sambil mengangguk.

Kali ini giliran Suraya pula berubah wajah. Dia langsung tak menyangka Faizul akan bersetuju dengan apa yang baru sahaja dia bicarakan. Mulutnya pun satu lancar sahaja mengeluarkan kenyataan tersebut. Kan tak pasal-pasal hari ini dia perlu keluar betul-betul dengan Angahnya itu.

******************

Suraya lebih banyak mendiamkan diri. Dia langsung tak selesa berada di sebelah Faizul di kala itu. Peristiwa malam sewaktu pulang dari Port Dickson masih belum dilupakan sepenuhnya. Malah perasaan marahnya masih lagi berbaki walaupun dia sudah maafkan lelaki tersebut sewaktu Faizul meminta maaf dengannya tiga hari yang lepas.

“Kau nak ke mana? Apa kata kita pergi tengok wayang nak?” ajak Faizul. suraya menoleh sambil mencebik.

“Kenapa ni? Takkan marah lagi pasal malam tu kot, aku kan dah minta maaf. Aku tahu aku salah, aku tak sepatutnya tuduh kau yang bukan-bukan, tapi kau kena faham jugak, waktu tu aku marah sangat bila teringatkan perempuan tu panggil kau dengan panggilan yang bukan-bukan, kau pulak diam je, langsung tak melawan, patut la selalu kena buli,” Faizul meluahkan perasaannya yang sebenar pada malam itu.

“Buat apa nak marah, janji adik tak buat apa yang dia tuduh, adik masih boleh bersabar selagi boleh, tapi adik tak boleh bersabar bila Angah yang tuduh adik benda yang bukan-bukan, adik masih boleh terima kalau kata-kata tu keluar dari mulut orang yang tak ada kena mengena dengan adik, tapi Angah…………..

Suraya berhenti berbicara. Sekilas Faizul memandang Suraya yang berada di sebelahnya. Dia tahu apa yang ingin diperkatakan oleh Suraya seterusnya. Bagi Suraya, dia adalah abangnya, walupun hakikat itu susah untuk dia terima.

“Ok….aku tahu aku terkasar malam tu dan sekali lagi aku minta maaf. Kau sudi maafkan aku kan?” tanya Faizul.

“Adik dah lama maafkan Angah, adik pun nak minta maaf jugak sebab keluarkan kata-kata yang tak sepatutnya keluar dari mulut adik pada malam tu. Angah tentu marah dengan kata-kata adik pada malam tu kan?” tanya Suraya. Dia sebenarnya masih belum dapat mempercayai hakikat bahawa dia mengeluarkan kata-kata tersebut pada malam itu. Mungkin waktu itu dia terlampau marah dengan tuduhan Faizul yang langsung tak berasas.

“Tak…mungkin kata-kata kau tu ada benarnya, aku tak pernah ambil berat tentang kau selama ni kan, aku dengan urusan aku saja, tapi kau mungkin tak mengerti apa yang aku rasa selama ni,” ujar Faizul perlahan.

“Maksud Angah?”Suraya langsung tak mengerti dengan apa yang baru diperkataka oleh Faizul.

“Tak ada apa-apalah, yang penting kau dah maafkan aku kan, jom kita pergi tengok wayang kat times square, lepas tu aku bawa kau pergi tempat yang kau nak pergi tadi, kau nak kemana sebenarnya?” tanya Faizul sambil tersenyum ke arah Suraya dan Suraya membalas senyuman tersebut.

“Adik nak pergi kedai buku je, kat Times Square pun boleh juga nak cari buku yang adik nak tu, janji Angah yang belanja, adik tak kisah je Angah nak bawa adik ke mana sekalipun,” Suraya bersuara sambil tergelak kecil.

“Siapa cakap aku nak belanja, aku saja je tadi cakap depan mama,” Faizul cuba menduga. Nampaknya Suraya mulai kembali seperti biasa.

“Mana boleh, janji kena tepati, kalau tak, tak naklah adik ikut, baik adik balik je,” giliran Suraya pula menduga walaupun dia tahu Angahnya sekadar bergurau.

“Ish, mana boleh, kau kena teman aku tengok wayang hari ni. Yalah-yalah aku belanjalah hari ni…tapi hari ni je tau, hari lain tak boleh,” balas Faizul kembali.

“Siapa cakap nak keluar dengan Angah lain kali?” Suraya bersuara sambil mencebik. Faizul terkena. Lantas tangannya pantas menumbuk mesra lengan Suraya dan mereka tertawa bersama.

***************

Faizul berjalan beriringan dengan Suraya menuju ke arah kaunter tiket. Suraya terpaksa akur dengan ajakan abangnya untuk kali ini. Walaupun jauh di sudut hatinya dia masih belum selesa dengan keadaan yang sedang berlaku di kala itu.

Dia masih lagi resah sendirian dan tidak selesa namun tidak ditunjukkan pada ekspresi mukanya. Mana mungkin dia boleh berlagak seperti biasa sedangkan sebelum ini dia langsung tidak rapat dengan Suraya. Malah gadis itu kelihatan cukup takut untuk dekat dengannya. Mungkin kerana sejak kecil dia langsung tidak menunjukkan kemesraan apabila berada dengan Suraya. Malah gadis itu sering sahaja menjadi mangsa maki hamunnya sekiranya dia berada dalam mood yang tidak baik. Dia sering kali melepaskan kemarahannya kepada gadis itu dan setiap kali itu jugalah Suraya akan menangis dan mendapatkan abang kembarnya.

Suraya hanya memerhatikan Faizul yang sedang memerhatikan senarai filem yang ditayangkan pada hari itu di skrin yang terdapat di bahagian atas hadapan kaunter. Dia turut sama memerhati namun dia langsung tidak tahu cerita apa yang harus ditontonnya. Dia bukannya tahu sangat dengan perkembangan filem-filem ini. Orang yang paling tahu tentang filem-filem terbaru adalah Fatima. Dia kerap kali juga mengikut Fatima, sekiranya temannya itu mengajaknya keluar menonton.

“Kau nak tengok cerita apa?” Tanya Faizul dan sedikit membuatkan Suraya terperanjat akibat mengelamun buat seketika.

“Tak kisahlah, adik layan je cerita apa-apa pun,” jawab Suraya spontan. Faizul mengangguk faham. Sekejap lagi sampai gilirannya untuk membeli tiket.

Setelah membeli tiket, mereka beriringan menuju ke kedai pakaian sukan yang berada tidak jauh dari tempat membeli tiket. Lebih kurang satu jam lagi tayangan filem yang akan ditonton oleh mereka bermula, jadi Faizul mengajaknya ke kedai pakaian sukan. Suraya sekadar mengangguk dan melangkah menuruti langkah abangnya itu.

“Kau tak nak beli apa-apa ke kat sini? Bila lagi kau nak merasa aku belanja, just for today!” Faizul tersenyum sambil memandang Suraya yang sedang meneroak ke setiap pelusuk kedai yang agak luas.

“Buat apa, adik dah banyak baju sukan kat rumah, belambak lagi, tak habis nak pakai,” jawab Suraya. Faizul hanya tersenyum. Sebenarnya dia tahu gadis itu pasti menolak dengan tawarannya itu. Dia kenal dengan gadis yang terkenal dengan sikap yang suka berjimat cermat, jauh berbeza dengan dirinya yang sering kali membeli belah pakaian setiap bulan, pakaiannya memang terlalu banyak sehinggakan ada sesetengahnya dia berikan kepada kawan-kawan tanpa ada perasaan sayang sedikitpun. Malah ada sesetengah pakaiannya hanya dipakai sekali, sekiraya dia rasa tak berkenan dia terus hadiahkan kepada kawan-kawannya yang tidak pernah menolak pemberiannya itu.

“Kalau tak nak sudah. Aku boleh beli untuk aku sendiri,” ujar Faizul lantas menuju ke arah pakaian jenama sukan Nike yang sering kali menjadi pilihan hatinya. Suit sukan bewarna hitam putih dicapainya dan tidak lupa cap yang sering menjadi alas kepala setiap kali dia bersenam. Dia melangkah masuk ke bilik persalinan tanpa mempedulikan Suraya yang masih lagi tidak puas meneliti setiap inci kedai tersebut.

“What do you think?” Faizal bertanya sebaik sahaja keluar dari bilik persalinan. Suraya yang kebetulan sedang memandang ke arah bilik tersebut terpegun seketika. Kenapalah lelaki ni boleh minat dalam bidang perniagaan daripada bidang peragaan atau lebih tepat lagi model. Semua pakaian yang dikenakannya cukup sesuai dan langsung tidak boleh dikritik oleh sesiapapun. Dia percaya sekiranya lelaki yang sedang berdiri di hadapannya di kala itu melibatkan dirinya dalam bidang peragaan, tentu dia akan menjadi terkenal dalam sekelip mata sahaja.

“Hei, aku tanya pendapat kau, aku tak suruh kau tengok aku macam nak telan,” tegur Faizal. Suraya terperanjat. Rupa-rupanya sudah jauh dia mengelamun. Dia malu sendiri. Dia pasti di kala itu sudah tentu mukanya merah menyala.

“Hah? Sesuai….sesuai sangat-sangat, belilah,” jawabnya sambil tersengeh yang sengaja dibuatnya.

“Nampak sangatlah sengehan kau tu buat-buat, kalau tak suka cakaplah terus terang tak payah nak sembunyi-sembunyi, mungkin warna lain lebih sesuai,” ujarnya sendirian. Suraya mencengilkan matanya. Dia langsung tak cakap yang baju tu tak cantik. Kenapa pulak abangnya itu nak terasa hati.

“Baju tu dah ok lah Ngah. Sesuai sangat dengan Angah, tak payah nak tukar warna lain, cepatlah, lenguh kaki adik ni kalau lama-lama, Angah ambil je baju tu ek, adik malas la nak jalan-jalan lagi,” suara Suraya manja, kali ini dia lebih berterus terang dengan Faizul. mungkin kerana sikap mesra yang ditunjukkan oleh Faizul menghilangkan sedikit rasa takutnya itu.

“Yalah-yalah, baru jalan kejap pun dah lenguh,” ngomel Faizul dan terus masuk kembali ke bilik persalinan. Tidak lama kemudian dia keluar dan membawa bajunya ke kanter pembayaran. Suraya hanya mengikut sambil tersenyum. Dia gembira kerana Faizul hanya mengikut sahaja kata-katanya tanpa banyak soal.

Faizul terpaksa beratur kerana ada dua orang lagi yang sedang membayar di kaunter tersebut. Suraya pula hanya mengikut tanpa bersuara. Namun riak mukanya jelas menunjukkan dia bosan.

Setelah beberapa minit, barulah tiba giliran Faizul. Suraya yang sedang mengikutnya dari belakang mulai rasa rimas dengan keadaan dalam kedai yang semakin lama semakin sesak dengan orang ramai.

“Ngah…adik tunggu Angah kat luar ek, tak selesalah kat dalam ni, adik tunggu Angah kat depan tu,” selepas meminta izin Suraya terus sahaja melangkah. Faizul hanya memerhati Suraya buat seketika, kemudian dia mengeluarkan beg duit dalam poket seluarnya dan mengeluarkan sekeping kredit kad platinum lalu diserahkan kepada lelaki yang menjaga kaunter tersebut.

“La…adik abang ke tadi tu, mati-mati saya ingatkan awek abang, cantik!” Ujar lalaki yang menjaga kaunter tersebut. Rupa-rupanya lelaki tersebut mendengar perbualannya dengan Suraya sewaktu Suraya mahu keluar dari kedai tersebut.

“Banyak cakap la kau, buat kerja kau sudahlah,” jawab Faizul agak kasar dan terus menjeling tajam ke arah lelaki tersebut. Entah kenapa, kata-kata lelaki tersebut mengundang kemarahannya. Dia sedikit marah dan sedikit cemburu kerana Suraya menjadi perhatian lelaki lain.

Sebaik sahaja selesai membuat pembayaran, Faizul terus melangkah menuju ke pintu keluar. Dia mencari kelibat Suraya, sebaik sahaja dia terpandangkan Suraya dia terus mendapatkan gadis tersebut. Tangan Suraya ditarik lembut dan dibawa berjalan menuju kea rah pintu masuk panggung wayang. Suraya yang terkejut dengan tindakan Faizul hanya mengikutnya tanpa sebarang bantahan. Sebaik sahaja sampai ke tempat penyerahan tiket barulah dia menarik tangannya dari genggaman Faizul. Faizul tersenyum sendirian. Setelah selesai menyerahkan tiket, Suraya lebih dulu berjalan walaupun di kala itu dia langsung tidak tahu bilik yang mana satu yang terdapat dalam tiket wayang yang dipegang Faizul. sampai di satu persimpangan dia berhenti.

“Sebelah sinilah sayang,” ujar Faizul lembut betul-betul di telinganya. Jantung Suraya berdegup dengan pantas. Dia kaku seketika. Kemudian dia tersedar dan mengikut langkah Faizul yang agak jauh meninggalkannya.

“Ngah…adik nak beli pop corn dengan air dulu, Angah nak tak?” tanya Suraya sebaik sahaja ternampak tempat menjual makanan ringan dengan air sebelum masuk ke dalam panggung.

“Tak naklah…aku tak suka makan sambil menonton,” jawab Faizul ringkas. Namun dia sempat menghulurkan duit kepada Suraya. Suraya tersengeh sambil mengambil duit tersebut dari tangan Faizul. Setelah selesai mereka beriringan masuk ke dalam panggung wayang dan mencari tempat duduk. Dia hanya mengikut Faizul memandangkan Faizul yang memegang tiket wayang itu.

Sebaik sahaka dia mendapatkan tempat duduknya. Lampu dalam panggung terus terpadam. Dia hanya fokus ke arah skrin besar yang berada di depannya.

“Cerita apa yang kita tengok ni Ngah?” Tanya Suraya. Faizul sedikit tergelak dengan pertanyaan yang diajukan oleh Suraya. Rupa-rupanya gadis tersebut langsung tak tahu cerita apa yang mereka bakal tonton nanti memandangkan pada waktu itu iklan-iklan ditayangkan.

Faizul yang mendengar soalan yang baru sahaja dikemukakan oleh Suraya tersenyum kemudian menggelengkan kepalanya. Sedikit kelucuan timbul.

“Kau ni memang selalu macam ni ek…nak tonton filem tapi tak tahu filem apa yang kau nak tonton, main beli tiket je, pas tu masuk panggung….macam tu?” Faizul sengaja mahu mengenakan Suraya yang baru pertama kali keluar menonton bersama dengannya.

Suraya yang mendengar hanya mencebik. Malas dia nak bergaduh dengan Angahnya di dalam panggung wayang. Dia bukannya tak kenal dengan Faizul, nanti tak pasal-pasal lelaki tersebut mengamuk di situ, tak ke malu nanti.

Suraya hanya memandang ke arak skrin besar di hadapannya tanpa mempedulikan Faizul yang berada di sebelah. Walaupun dia masih belum mengetahui cerita apa yang bakal ditayangkan dia terus sahaja mengunyah pop corn yang berada di tangan. Air yang dibelinya tadi telahpun diletakkan di tempat letak minuman yang berada di kerusi yang didudukinya.

“Senyap je…..merajuk ke?” tanya Faizul kembali. Dia menyiku Suraya yang berada di sebelah. Suraya hanya mencebik tanpa sepatah kata. Faizul tersenyum tetapi dalam masa yang sama dia juga sedikit bimbang, manalah tahu Suraya sekali lagi marah dengannya. Lagipun dia baru sahaja berdamai dengan Suraya.

Suraya hanya mengunyah satu demi satu pop corn tanpa mempedulikan langsung dengan teguran Faizul. Filem yang mahu ditontonnya sudahpun bermula. Suraya hanya mendiamkan diri dan memandang terus ke arah layar di hadapannya. Kemudian dia mengangguk faham, rupa-rupanya Faizul belanja dia menonton filem action bercampur lucu lakonan Jackie Chan. Walaupun watak utama pelakon cerita tersebut bukannya pelakon yang dia gemari namun dia suka menonton filem lakonan pelakon tersebut bersama dengan Fatima. Sebenarnya Fatima yang gilakan pelakon lelaki tersebut. Tentu Fatima marah nanti bila mengetahui dia pergi menonton tanpa memberitahunya terlebih dahulu.

Faizul mulai gelisah. Dia langsung tidak dapat menumpukan perhatiannya terhadap filem yang sedang ditayangkan. Kemudian dengan sengaja dia merampas pop corn yang berada di tangan Suraya lalu dia pula mengunyah pop corn yang hanya tinggal separuh sahaja di dalam kotak yang dipegang oleh Suraya tadi. Suraya cuba merampasnya kembali namun Faizul dengan pantas melarikan kotak yang berisi kotak tersebut sehingga Suraya sudah tidak mampu untuk mencapainya.

Faizul mengekek ketawa. Gembira rasanya dapat mengusik Suraya. Walaupun dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah Suraya di kala itu namun dia tahu Suraya pasti sedang menahan kemarahannya.

Suraya merengus agak kuat. Apa yang tidak kena dengan Faizul hari ini? Kadang-kadang lelaki itu berlagak mesra dengannya dan kali ini lelaki tersebut suka menyakitkan hatinya seperti selalu. Menyesal pula rasanya mengikut cakap mama agar keluar dengan abangnya yang tengah itu. Suraya mencapai minuman yang berada di sebelahnya dan terus sahaja disedut dengan straw yang telah dibekalkan. Hatinya sedikit sejuk. Nasib baiklah dia membeli air mineral sejuk tadi. Namun belum sempat dia menyambung minum untuk kali kedua sekali lagi Faizul marampas minuman tersebut dan terus sahaja meneguk minuman tersebut dengan menggunakan straw yang sama tanpa teragak-agak.

Suraya semakin menahan kemarahan. Bukan dia tak biasa berkongsi straw yang sama dengan orang lain tetapi dengan lelaki yang berada di sebelahnya itu dia sedikit rasa tidak selesa.

“Angah…apa ni, tadi Angah ambik pop corn adik, sekarang ni Angah rampas air adik plak, bak la balik,” Suraya bersuara perlahan namun cukup manja seperti dia berbicara dengan Alongnya.

“Tak boleh…aku nak makan benda ni lepas tu aku nak minum air supaya aku tak tercekik,” Faizul menjawab dengan nada biasa namun perlahan. Dia masih tahu yang waktu itu mereka masih berada dalam panggung wayang.

“Tapi benda tu adik punya…Angah yang tak nak tadi, Angah cakap Angah tak suka makan ngan minum bila menonton,” Suaraya merengek lagi. Faizul tergelak kecil. Lucu mendengar suara Suraya yang sedikit merayu kepadanya. Namun dia suka mendengar suara itu lagi.

“Tak boleh, kalau kau nak juga kita kongsi nak?” Faizul cuba menduga Suraya.

“Tapi…

“Kenapa? Kau tak suka kongsi dengan aku ke?” Tanya Faizul lagi.

“Apa salahnya…memang dah kongsi dah pun,” Suraya terus merampas minuman yang masih berada di tangan Faizul lalu disedutnya. Malah pop corn yang berada di riba Faizul turut diambil sedikit dan dikunyahnya sambil memandang ke arah skrin besar di hadapannya. Faizul sedikit terkejut namun dia tersenyum sendirian. Sepanjang berada dalam panggung wayang mereka berkongsi makanan dan minuman tersebut.

**********************

Suraya melangkah laju meninggalkan Faizul di belakangnya dan menuju ke kedai buku yang berdekatan. Faizul merengus. Takkanlah gadis tersebut masih lagi merajuk dengannya. Tadi di dalam panggung wayang Suraya kelihatan gembira sahaja menonton cerita tersebut sehingga habis.

“Hai cik adik, boleh jalan sama?” Tiba-tiba terdengar suara lelaki yang berada di situ menegur Suraya. Suraya hanya berjalan tanpa melayan sedikit pun lelaki tersebut.

“Sombongnya, nak berkenalan pun tak boleh ke?” lelaki tersebut rupa-rupanya mengikut Suraya dari belakang. Tiba-tiba terdengar suara garau lelaki berdehem dan suraya cam sangat dengan suara tersebut.

“Sorry bang…awek abang ke? Sorry bang saya tak tahu,”

“Lain kali kalau nak kacau perempuan, pandang kiri kanan dulu….gadis tadi hak aku dan aku tak suka pada sesiapa pun yang cuba merampas gadis yang sememangnya dah jadi hak aku, faham!”

Suraya menoleh, kelihatan Faizul menjeling tajam ke arah lelaki tersebut dan lelaki yang menegurnya tadi berlalu dengan cepat, mungkin takut dengan jelingan Faizul. Siapa yang tak takut dengan jelingan lelaki tersebut. Dia sendiri pun naik seram setiap kali Faizul menjeling tajam menahan kemarahan dengannya.

Suraya mencebik namun kemudian dia tersenyum. Entah kenapa dia merasakan sedikit lucu dengan adegan yang berlaku sebentar tadi. Apa yang hendak dihairankan wajah dia dan Faizul langsung tiada iras kerana dia hanyalah adik beradik angkat dengan lelaki tersebut.

Suraya terperanjat apabila menyedari tangannya direntap dan digenggam erat oleh Faizul. dia cuba untuk menarik tangannya di dalam genggaman tangan lelaki tersebut namun dia gagal kerana genggaman tersebut terlalu kuat. Kemudian Faizul menarik lengan Suraya lalu dipautkan di lengannya. Suraya semakin tidak selesa. Dia tidak pernah berkeadaan sedemikian dengan Faizul kecuali Alongnya. Faizul pula di kala itu seperti biasa seperti tiada apa yang sedang berlaku.

“Angah…apa ni? Lepaslah,” pinta Suraya dan cuba untuk menarik lengannya itu namun Faizul dengan pantas memperkemaskan lengannya agar tangan Suraya yang sedang memaut lengannya di kala itu tidak dapat dikeluarkan.

“Angah!”

“Apa? Along boleh buat, aku tak boleh buat….aku pun abang kau jugak kan?” soal Faizul agak tegas. Dia sebenarnya langsung tak berniat untuk menggunakan alasan tersebut namun di kala itu dia terpaksa. Hanya dengan alasan tersebut sahaja boleh mendiamkan gadis tersebut dan ternyata dia betul. Suraya terus mendiamkan diri dan hanya membiarkan sahaja lengannya dipaut sebegitu. Faizul tersenyum dan mereka beriringan menuju ke kedai buku yang berhampiran.

*********************

Faizul hanya mendiamkan diri sahaja sambil memandu menuju pulang ke rumah. Kalau diikutkan hatinya dia mahu berjalan-jalan lagi dengan Suraya, namun gadis tersebut megajaknya pulang denga alasan dia malas nak bersembahyang di luar. Faizul terpaksa mengikut. Mereka hanya membeli burger di KFC sebiji seorang dan makan sambil berjalan menuju ke kereta.

“Kau gembira tak hari ni?” tanya Faizul setelah dia merasa kurang selesa kerana agak lama mereka mendiamkan diri.

“Gembira? Biasa saja. Dah selalu dah keluar macam ni dengan kawan baik adik. Cuma kali ni dengan Angah je,” jawab Suraya perlahan namun dia angsung tak memandang wajah lelaki tersebut. Entah kenapa perasaannya di kala itu langsung tidak selesa untuk memandang tepat ke arah wajah yang tenang memandu di sebelahnya.

Suraya agak terperanjat apabila kereta yang dipandu oleh Faizul tiba-tiba berhenti di bahu jalan. Dia mulai tak keruan. Apa kena pula kali ni? Perangai Faizul selalu sangat berubah-ubah sehinggakan dia sendiri pun langsung tak dapat mengagak apa yang dimahukan oleh lelaki tersebut.

“Kenapa ni Ngah? Angah ok ke?” Suraya cuba bertanya. Namun lelaki tersebut hanya mendiamkan diri. Suraya memerhatikan lelaki yang berada di sebelahn ya di kala itu. Wajah Faizul agk tegang seperti cuba menyatakan sesuatu namun susah untuk diluahkan.

“Angah…kenapa ni? Cepatlah…adik belum Zohor lagi ni, dah lewat dah ni,” Suraya bersuara manja dan lembut. Namun masih belum mendapat apa-apa reaksi daripada lelaki tersebut. Faizul masih mendiamkan diri dan merenung ke depan tanpa sepatah kata. Hanya kedengaran suara nafasnya yang agak kuat dan kadang kala Suraya dapat mendengar dengan jelas lelaki tersebut mengeluh.

“Boleh aku minta sesuatu?” tiba-tiba terdengar suara Faizul dan lelaki tersebut memandang tepat ke arah Suraya. Suraya sedikit terperanjat dan terus terang dia memang tidak selesa dengan situasi tersebut di kala itu.

“Minta? Minta apa Ngah? Adik tak faham” Suraya cuba untuk berlagak tenang. Dia tak mahu wajahnya yang agak cemas dapat dilihat oleh Faizul.

“Itulah…..

“Hah!”

“Tak…maksud aku, cara kau bercakap dengan aku,” Faizul hanya mampu memberitahu niatnya sedikit demi sedikit.

“Kenapa? Adik tak bercakap elok dengan Angah ke selama ini?” tanya Suraya yang masih belum jelas lagi dengan permintaan Faizul.

“Itu yang aku tak suka…kau memang tak pernah berkasar dengan aku, kecuali malam tu, tapi aku tahu waktu itu kau marah dan aku tak kisah, sebab aku pun salah waktu tu. Maksud aku, aku tak suka kau panggil aku Angah dan bahasakan diri kau adik, aku tak boleh! Aku tak selesa dengan panggilan tu, sebab tu kau tak pernah dengar aku bahasakan diri aku sebangai Angah dan aku juga tak pernah panggil kau dengan panggilan adik. Aku bukan Along, aku tak boleh, jadi aku minta kau jangan panggil aku Angah dan jangan bahasakan diri kau adik lagi bila kau bercakap dengan aku, boleh?” seperti batu besar yang baru dibuang dari terus menimpa bahunya. Itulah perasaan Faizul sebaik sahaja berbicara apa yang diinginkannya selama ini.

“Jadi…adik nak panggil Angah apa? Dan adik nak bahasakan diri adik apa?” Suraya pula seperti dipukau langsung tak membantah apa yang diingini oleh Faizul.

“Kau boleh panggil aku Joe….dan kau boleh bahasakan diri kau Su, senang kan?” Tanya Faizul sedikit ketakutan. Dia masih takut permintaannya ditolak oleh Suraya sedangkan dia berharap sangat agar Suraya mengikuti permintaannya itu.

“Joe, Su…pelik je bunyinya…..

“Itu sebab kau tak biasa….tapi kalau dah lama-lama nanti kau biasalah,” ujar Faizul yang masih dalam proses meyakinkan gadis tersebut agar bersetuju dengan permintaannya itu.

“Tapi…

“Jangan tanya kenapa? Boleh?” Faizul seakan-akan dapat mengagak apa yang ingin ditanyakan oleh Suraya.

“Ok….tapi kalau mama dan papa dengar, dia tentu dia marah. Along lagilah dia marah kalau dia tahu hal ni,” ujar Suraya pula. Dia masih belum pasti adakah dia mampu mengikut permintaan Faizul di kala itu.

“Kenapalah kau ni lurus sangat? Belajar tinggi-tinggi, course yang kau ambil bukan calang-calang course. Benda ni pun kau tak boleh nak handle ke? Kau tak pernah dengar orang Malaysia selalu cakap…pandai-pandailah nak hidup. Yang kau nak cakap depan mama dan papa tu kenapa? Yang kau teringin sangat nak beritahu Along tu kenapa?,”

“Jadi…kalau depan mama dan papa dengan Along, adik kena cakap macam biasa? Begitu?” Suraya berbicara seperti kanak-kanak yang sedang cuba memahami sesuatu yang selama ini dia langsung tak faham.

“Yalah sayang oi! Takkan la kau tak faham lagi kot……

“Tak biasalah adik,” Suraya bersuara sambil mengeluh.

“Suraya…..aku minta tolong dengan kau, aku tak pernah merayu dengan sesiapa pun selama ni, kali ni sahaja aku minta tolong dengan kau. Please,” wajah Faizul cukup berbeza di kala itu. Entah kenapa wajahnya waktu itu dilihat oleh Suraya seperti lelaki yang penuh dengan kelembutan bukannya lelaki yang selalu panas baran dan langsung tak pedulikan perasaan orang lain seperti kebiasaannya.

“Ok!” agak lama mendiamkan diri akhirnya Suraya bersetuju dan kelihatan Faizul tersenyum.

“Angah….

“Suraya?”

“Joe….ya…Joe…boleh kita balik sekarang? Adik…ops! Maaf….Su dah lewat dah ni, Su belum zohor lagi la….cepatlah kita balik,” Suraya bersuara agak lambat namun ia mampu membuatkan Faizul tersenyum lebar dan manis ke arahnya dan mengangguk faham. Kemudian kereta tersebut meluncur laju pulang ke rumah.

1 comment:

  1. best sgt... x sabar nk tgu baca versi cetak....

    ReplyDelete